Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum melakukan rawatan yang beriko?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Poster:

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allh SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)

Syeikh al-Sa’di pula menyebut, bahawa ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa kita diperintahkan oleh syarak untuk berikhtiar dalam mencari rawatan yang sesuai untuk penyakit yang dihadapi. Ini kerana setiap penyakit itu pasti ada ubatnya melainkan mati. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.

 Riwayat al-Bukhari (5678)

Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit, dan ia juga sebagai isyarat bahawa kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah SWT. (Lihat A’lam al-Hadis Syarh Sahih al-Bukhari, 3/1204).

Syeikh Musa Shaheen menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘Allah akan menurunkan ubat di bumi’ ialah Allah menurunkan ilmu yang berkaitan dengan perubatan dan rawatan kepada manusia di muka bumi ini. (Lihat Fath al-Mun’im, 8/582).

Dalam isu ini Syeikh Zakariyyah al-Ansari menyatakan: dibolehkan untuk  memilih sama ada untuk memotong atau tidak memotong tangan yang terkena penyakit yang perlahan-lahan mengikis atau seumpamanya. Jika kedua-dua pilihan membawa risiko, dan dengan memotong itu lebih membawa keselamatan maka, ia perlu diutamakan. Namun, jika risiko antara memotong dan tidak memotong adalah sama atau jika risiko memotong lebih besar, maka pemotongan tidak boleh dilakukan. (Lihat Asna al-Matalib, 2/170)

Justeru, menerima rawatan yang berisiko adalah dibolehkan selagi ia tidak membawa kemudaratan pada nyawa pesakit. Dalam Islam, menjaga nyawa adalah salah satu daripada maqasid syariah. Oleh itu, sebelum menerima apa-apa rawatan, adalah penting untuk memastikan bahawa rawatan tersebut tidak mendatangkan bahaya dan kemudaratan. Terdapat sebuah kaedah yang menyatakan bahawa:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”

Syeikh Dr. Ya‘qub al-Bahasin membawakan kefahaman secara umum tentang kaedah ini, bahawa diharamkan untuk mendatangkan kemudharatan kepada orang Islam, meskipun secara fizikal atau emosi, dan sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya, atau keturunannya. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 333)

Walau bagaimanapun, kami nasihati agar merujuk kepada mereka yang berkeahlian dan mendapatkan nasihat mereka sebelum menjalani apa-apa rawatan. Ini bagi memastikan rawatan yang dijalankan tidak memberi kemudaratan kepada nyawa.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahu‘Alam

Leave a Reply