Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Allah SWT tidak mengazab suatu kaum jika terdapat Rasul atau Nabi yang duduk bersama mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (٣٣) وَمَا لَهُمْ أَلَّا يُعَذِّبَهُمُ ٱللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ وَمَا كَانُوٓا۟ أَوْلِيَآءَهُۥٓ ۚ إِنْ أَوْلِيَآؤُهُۥٓ إِلَّا ٱلْمُتَّقُونَ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (٣٤)

Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun). (33) Dan mengapa mereka tidak patut diseksa oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) dari Masjidil Haram, padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya (kerana mereka kafir musyrik)? Sebenarnya orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (34)”

(Surah al-Anfal: 33-34)

Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya berkata, ucapan mereka Ini adalah disebabkan oleh kejahilan, keangkuhan, keengganan, dan kedegilan mereka dalam mendustakan kebenaran. Inilah sebab mengapa mereka dikeji. Sepatutnya mereka berkata: “Ya Allah, jika ini adalah kebenaran dari sisi-Mu, maka tunjukkanlah kami kepadanya, dan berikanlah kami petunjuk untuk mengikutinya.” Tetapi mereka mendoakan keburukan ke atas diri mereka sendiri, meminta agar azab dipercepatkan, dan mahukan hukuman disegerakan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/42)

Ayat ini diturunkan berdasarkan kisah Abu Jahal yang mencabar Allah SWT menimpakan azab kepada mereka jika al-Quran yang diturunkan itu betul-betul benar. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

قَالَ أَبُو جَهْلٍ: اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ، أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ، فَنَزَلَتْ: {وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ، وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ، وَمَا لَهُمْ أَنْ لاَ يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ المَسْجِدِ الحَرَامِ} الآيَةَ

Maksudnya: “Abu Jahal berkata: ‘Ya Allah! Jika betul (al-Quran) ini (yang benar) daripada sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.’ Maka turunlah ayat:

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ، وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ، وَمَا لَهُمْ أَنْ لاَ يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ المَسْجِدِ الحَرَامِ

(Maksudnya: Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun). Dan mengapa mereka tidak patut diseksa oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) daripada (mendatangi ) masjid al-Haram.) [Surah al-Anfal: 33-34].”

Riwayat al-Bukhari (4649) dan Muslim (2796)

Ahli Tafsir membawakan dua sebab utama mengapa Allah SWT tidak menurunkan azab atas cabaran Abu Jahal tersebut, iaitu:

  • Memuliakan kedudukan dan kehormatan Rasulullah SAW

Selama mana Nabi Muhammad SAW masih berada bersama mereka, maka Allah SWT tidak akan menimpakan azab ke atas mereka sebagai tanda penghormatan kepada Baginda. Begini juga yang Allah SWT lakukan pada semua Nabi-nabi terdahulu, di mana Dia tidak mengazab penduduk sesebuah kaum kecuali selepas Nabi mereka keluar darinya, seperti yang berlaku dalam kisah Nabi Hud A.S, Nabi Soleh A.S dan Nabi Lut A.S.

Sekiranya ada yang menimbulkan persoalan, kalaulah kehadiran Nabi SAW dalam kalangan mereka itu menjadi penghalang dari diturunkan azab, mengapa pula Allah SWT berfirman:

قَـٰتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ ٱللَّهُ بِأَيْدِيكُمْ

Maksudnya: “Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu.”

(Surah al-Taubah: 14)

Imam Fakhruddin al-Razi menjawab, azab yang disebutkan dalam Surah al-Anfal ini adalah azab yang diturunkan dengan tujuan menghapuskan satu-satu kaum tersebut. Manakala azab dalam konteks Surah al-Taubah ini pula adalah azab yang terhasil semasa berlakunya peperangan dan pertempuran.

  • Terdapat di kalangan mereka orang yang beristighfar

Allah SWT juga tidak menurunkan azab atas cabaran Abu Jahal itu kerana ada terdapat sebahagian orang yang beristighfar kepada Allah SWT. Kemudian, ayat “وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ” (mereka beristighfar) ini sendiri terdapat beberapa takwilan yang berbeza di sisi ulama:

Pertama: Allah SWT tidak mengazab kaum Kuffar itu kerana ada sebahagian orang-orang yang beriman beristighfar memohon keampunan kepada-Nya. Meskipun dalam lafaz ayat itu berbentuk umum, seolah-olah kesemua kaum Kuffar itu beristighfar, akan tetapi yang dimaksudkan sebenarnya hanyalah sebahagian mereka.

Kedua: Allah SWT tidak akan mengazab orang-orang kafir itu kerana Dia Maha Mengetahui bahawa mereka akan mempunyai anak-anak yang beriman kepada Allah SWT dan memohon ampun kepada-Nya. Maka mereka digambarkan dengan sifat anak-anak dan keturunan mereka.

Ketiga: Qatadah dan al-Suddi pula menafsirkan, yang dikehendaki dari ayat tersebut adalah: “Sekiranya mereka beristighfar, nescaya mereka tidak akan diazab.” Maka ayat ini sebenarnya menuntut kaum Kafir itu untuk memohon keampunan, dan jika mereka menyibukkan diri dengan beristighfar, maka Allah SWT tidak akan menurunkan azab.

Oleh yang demikian, sebahagian ulama Tafsir mentakwilkan ‘istighfar’ ini sebagai Islam, dengan erti kata Allah SWT tahu bahawa dalam kalangan kaum Kuffar itu akan ada orang yang memeluk Islam, seperti Abu Sufian bin Harb, Abu Sufian bin al-Harith bin ‘Abd al-Muttalib, al-Harith bin Hisyam, Hakim bin Hizam dan ramai lagi.

Ini juga membuktikan bahawa istighfar itu memberikan keamanan dan keselamatan dari azab. Ibn ‘Abbas R.A berkata: Ketika itu, mereka mendapat dua keamanan; kehadiran Nabi SAW bersama mereka dan juga istighfar. Adapun Rasulullah SAW, Baginda telah pun meninggal dunia, tetapi istighfar ini kekal sehingga tibanya hari Kiamat.

Sesudah ayat 33 dari Surah al-Anfal yang menyatakan bahawa mereka tidak akan diazab, barulah Allah SWT menjelaskan dalam ayat 34 bahawa azab itu datang apabila Rasulullah SAW telah keluar dari kawasan mereka. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/480; al-Nukat wa al-‘Uyun, 2/314)

Kesimpulan

Natijah dari tafsiran yang kami bawakan di atas, benarlah Allah SWT tidak akan menurunkan azab ke atas mana-mana kaum melainkan dikeluarkan terlebih dahulu. Banyak kisah-kisah Nabi dan Rasul terdahulu yang menjadi bukti akan hakikat ini, seperti Nabi Nuh A.S yang diselamatkan dengan bahteranya, lalu kaumnya ditimpa banjir besar. Lihatlah firman Allah SWT:

فَكَذَّبُوهُ فَأَنجَيْنَـٰهُ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥ فِى ٱلْفُلْكِ وَأَغْرَقْنَا ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا عَمِينَ

Maksudnya: “Mereka (kaum Nabi Nuh A.S) terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia (Nabi Nuh A.S) dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran).”

(Surah al-A‘raf: 64)

Nabi Hud A.S yang diutuskan kepada kaum ‘Ad juga pernah diselamatkan dari azab yang menimpa kaumnya. Allah SWT berfirman:

فَأَنجَيْنَـٰهُ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍۢ مِّنَّا وَقَطَعْنَا دَابِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۖ وَمَا كَانُوا۟ مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Maka Kami selamatkan dia (Nabi Hud A.S) dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.”

(Surah al-A‘raf: 72)

Yakni Allah SWT mengeluarkan Nabi Hud A.S serta para pengikutnya dalam keadaan baik dan selamat dari azab. Mereka menuju ke Makkah dan menetap di sana sehingga mereka meninggal dunia. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 2/420)

Begitu juga kisah kaum Nabi Soleh A.S, apabila Allah SWT membinasakan mereka dengan gempa bumi. Firman-Nya:

فَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا صَـٰلِحًۭا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍۢ مِّنَّا وَمِنْ خِزْىِ يَوْمِئِذٍ ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْعَزِيزُ

Maksudnya: “Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

(Surah Hud: 66)

Tidak syak lagi bahawa Allah SWT menyelamatkan Nabi Soleh A.S dan orang-orang yang beriman dengannya, sepertimana dalam ayat di atas. Diriwayatkan juga bahawa Baginda keluar bersama 110 orang beriman. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 8/227)

Semoga Allah SWT kurniakan kita kefahaman yang baik terhadap tafsiran al-Quran agar dapat dipertingkatkan keimanan serta ketaqwaan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketaqwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply