Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan, bagaimana cara yang terbaik untuk menenangkan masyarakat mengikut panduan Nabi SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ
Maksudnya: “Kalian (umat Islam) merupakan umat terbaik yang diutuskan kepada manusia; (hal itu kerana) kalian menyuruh kepada kebaikan dan mencegah perkara yang mungkar, dan beriman kepada Allah SWT.”
Surah Ali ‘Imran (110)
Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 143)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah berdiri di khalayak ramai yang sedang duduk seraya bersabda:
أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ؟ ” قَالَ: فَسَكَتُوا، فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا نَبِيَّ اللهِ، أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا، قَالَ: ” خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ، وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ، وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ، وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ
Maksudnya: “Mahukah kalian aku beritahukan sebaik- baik dan seburuk-buruk orang dari kalian?” Lanjut Abu Hurairah: Mereka terdiam, dan Nabi bertanya demikian sebanyak tiga kali, lalu ada seorang berkata: ‘Ya. Kami mahu wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami sebaik-baik dan seburuk-buruk kami.’ Baginda bersabda: “Sebaik-sebaik kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan terpelihara keburukannya dan seburuk-buruk kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak terpelihara keburukannya.”
Riwayat Ahmad (8813) dan al-Tirmizi (2263)
Antara kebaikan orang yang berjaya ialah kebaikannya tersebar dalam kalangan masyarakat melalui reputasi baiknya lalu mereka pun mengharapkan kebaikannya dan tidak menjangkakan sebarang keburukan daripadanya. Lantaran itu, tercapailah kedamaian buat komunitinya.
Dia menjadi tempat berlindung mereka bagi mendapatkan bantuan daripadanya serta mengharapkan kebaikannya. Mereka selesa dengannya kerana tiada sebarang keburukan berpunca daripadanya. Dia sendiri merupakan sebuah kebaikan yang tidak didapati melalui kedudukan, nasab harta. mahupun Inilah yang membezakannya daripada orang lain. Imam al-Tibi berkata: “Yakni (hadis ini bermakna) aku khabarkan kepada kalian tentang sebaik-baik kalian bagi membezakannya dengan seburuk-buruk kalian. Ketika mereka ragu-ragu tentang tujuan tamyiz (pembezaan) tersebut, mereka pun risau dengan sebarang khabar angin lalu mereka mendiamkan diri sehinggakan Baginda SAW mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian Baginda memberi penjelasan dalam konteks umum agar mereka tidak mendedahkan aib sesiapa.”
Dia berkata lagi: “Pembahagian akal akan mengenal pasti (daripada hadis ini) empat golongan manusia. Baginda menyebutkan dua sahaja sebagai galakan dan amaran, dan meninggalkan dua golongan yang lain kerana tiada sebarang galakan mahupun amaran padanya. (Lihat Syarh Misykat al-Masabih, 10/3195)
Sehubungan dengan itu, berdasarkan hadis ini manusia terbahagi kepada empat golongan:
- Orang yang diharapkan kebaikannya dan terpelihara keburukannya, inilah sebaik-baik manusia;
- Orang yang tidak diharapkan kebaikannya namun terpelihara keburukannya;
iii. Orang yang diharapkan kebaikannya namun tidak terpelihara keburukannya; dan
- Orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak terpelihara keburukannya, inilah seburuk-buruk manusia.
(Lihat 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW, hlm. 306-310)
Marilah sama-sama kita menjadi orang yang baik, yang sentiasa memberi kebaikan kepada orang lain serta memberi manfaat. Kerana itulah, Rasulullah SAW bersabda: Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Baginda SAW bersabda:
أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Maksudnya: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (13646), al-Mu’jam al-Ausat (6026) dan al-Mu’jam al-Saghir (861). Diriwayatkan juga oleh Abu al-Syaikh dalam al-Taubikh (94); al-Syajri dalam al-Amali (2298); Ibn ‘Asakir dalam al-Tarikh (64/17). Dinyatakan sebagai hasan li ghairihi dalam Sahih al-Targhib (2623)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”