Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Islam membenarkan seseorang memakai pakaian yang cantik dan menghiasi diri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: ”Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-‘A’raf: 31)

Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat. Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah SAW. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/405)

Ibnu Kathir menjelaskan, di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256).

Firman Allah SWT juga:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddatthir: 4)

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 776)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, Islam menganjurkan untuk menghiasi diri dengan syarat tanpa sebarang rasa sombong, takabbur, angkuh, riya’ dan ujub. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, daripada Nabi SAW bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً ‏.‏ قَالَ ‏”‏ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ ‏ ‏.‏

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan.” Seorang laki-laki bertanya, “Sesungguhnya laki-laki menyukai apabila baju dan kasutnya bagus, cantik (adakah ini termasuk kesombongan)?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai yang indah. Kesombongan (maksudnya) ialah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.”

Riwayat Muslim (91)

Jika seorang yang berjaya bersikap optimistik, dia akan melihat keindahan pada alam dan seisinya. Dia akan menggunakan deria estetiknya dalam kejayaannya. Dia akan cantik pada akhlaknya, taamulnya, tutur katanya, penampilan dan pemakaiannya, serta kejayaannya. Allah SWT itu Maha Indah pada zat-Nya, nama-Nya, sifat-Nya, perbuatan-Nya.

Dia juga suka akan keindahan zahir (jamal zahiri) dan batin (jamal bathini). Jamal zahiri ialah seperti kebersihan pada tubuh, pakaian, tempat tinggal dan aksesorinya. Jamal bathini pula ialah mencantikkan diri dengan intisari dan kebaikan akhlak. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, hlm. 148)

Bercantik-cantik itu adalah ibadah kerana Allah SWT menyukai akan keindahan. Ibn Hubairah berkata: Rasulullah SAW menunjukkan bahawa perbuatan seseorang memperelok dan membersihkan pakaiannya adalah ibadah kepada Allah SWT. Perbuatannya membersihkan pakaiannya itu akan memperelok baunya serta merupakan sebuah kesyukuran kepada Allah SWT akan serta halnya perbuatannya memperlihatkan kecukupan yang menolak pemberian manusia.

Sebaliknya, mengotorkan pakaian akan menghasilkan bau dan kotoran-kotoran lain yang mengganggu orang lain di sekelilingnya, di samping aduannya kepada Rabbnya dengan tutur katanya dan juga akan mendedahkan dirinya kepada pemberian manusia disebabkan pakaiannya yang compang-camping dan menjadikannya segan termasuklah kepada orang-orang mukmin apabila dia berpenampilan sedemikian. (Lihat al-Ifsah ‘an Ma’ani al-Sihah, 2/101)

Benarlah firman Allah SWT:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Dan nikmat Tuhan kamu, maka ceritakanlah.

(Surah Al-Dhuha: 11)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di menyatakan: “(Adapun mengenai nikmat Tuhan kamu): makna (nikmat ini) meliputi nikmat agama dan duniawi, adapun makna (maka ceritakanlah): iaitu pujilah Allah atas adanya nikmat tersebut, dan sebutlah jenis nikmat tersebut kepada orang-orang yang perlu dan mempunyai maslahah atas nikmat tersebut, bahkan dibolehkan untuk menceritakan nikmat-nikmat Allah secara mutlak tanpa menyebutkan jenisnya. Hal ini kerana menceritakan nikmat Allah adalah faktor utama untuk mensyukurinya, dan menimbulkan kecintaan hati terhadap Pemberi nikmat tersebut kerana hati ini secara fitrahnya menyukai orang yang selalu berbuat baik padanya”. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 928)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply