Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh syarahkan kepada kami ayat 2 daripada Surah al-Hijr mengikut ahli tafsir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

رُّبَمَا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ كَانُوا مُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Ada masanya orang-orang yang kafir merasa ingin kalaulah mereka telah menjadi orang-orang Islam.”

(Surah al-Hijr: 2)

Al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, betapa besar penyesalanmu di akhirat kelak. Allah berfirman demikian kerana Dia mengetahui bahawa manusia akan menyesal, dan janji-Nya itu lebih benar daripada kata-kata makhluk. Takwil ayat ini juga, seringkali orang yang kufur kepada Allah dan mengingkari keesaan-Nya berharap agar mereka dahulu di dunia menjadi orang Islam.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/681)

Ibn Kathir berkata: Ini adalah berita tentang golongan yang ingkar. Mereka akan menyesal atas keingkaran mereka. Mereka berangan-angan, seandainya di dunia dahulu mereka bersama orang-orang Islam. Penyesalan ini berlaku apabila mereka dihadapkan dengan neraka pada Hari Kiamat. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/342)

Al-Syaukani berkata: Setelah kebenaran tersingkap kepada mereka dan kebatilan kekafiran mereka menjadi jelas, serta agama di sisi Allah adalah Islam, mereka berangan-angan andai kata mereka dahulu memeluk agama Islam. Namun, angan-angan mereka hanya menjadi penyesalan terhadap diri mereka sendiri atas kelalaian dalam menjalankan kewajipan kepada Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 4/221)

Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, orang-orang kafir di akhirat kelak sering menginginkan sekiranya mereka semasa di dunia dahulu menjadi Muslim yang sentiasa berserah diri kepada Allah dan beriman kepada al-Quran. Kata ‘رُّبَمَا’ di sini digunakan untuk menunjukkan makna kebanyakan. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 532)

Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di pula menjelaskan bahawa akan tiba suatu masa di mana orang-orang kafir akan berangan-angan untuk menjadi orang Islam. Maksudnya, tunduk patuh kepada hukum-hukum Allah SWT. Peristiwa itu berlaku apabila tabir penutup tersingkap dan tanda-tanda kedatangan hari akhirat serta gejala-gejala permulaan tibanya ajal kelihatan. Ketika berada dalam suasana akhirat kelak, mereka berharap menjadi orang yang berserah diri, namun kesempatan itu sudah hilang. Tetapi sememangnya, di dunia ini mereka telah tertipu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 631)

Kami akhiri dengan pendapat Mujahid ketika menerangkan dan menafsirkan ayat ini dengan berkata: Apabila dikeluarkan daripada neraka, siapa yang mengucapkan dan beriman dengan kalimah ‘لَا إِلَه إِلَّا الله’ maka berkatalah orang-orang musyrikin: Alangkah baiknya sekiranya dahulu kami menjadi orang-orang Islam. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, 2/624)

Marilah sama-sama kita mengislahkan diri kita serta memantapkan akidah dan tauhid pegangan kita sehingga ke nafas kita yang terakhir. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar dithabatkan dan ditetapkan hati-hati kita di atas agama-Nya:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply