Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah para Nabi saudara-saudara sebapa dan ibu berlainan? Begitu juga dikatakan agama mereka satu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).”

(Surah al-Syura: 13)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Akbar Dr. Ahmad al-Tayyib:

Dan Muhammad SAW telah menggambarkan kesatuan ini, yang menyatukan antara Baginda dengan saudara-saudaranya dari kalangan para nabi dan rasul berdasarkan sejarah dengan satu gambaran yang indah, sabdanya:

أَنَا أَوْلَى النَّاسِ بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَالْأَنْبِيَاءُ إِخْوَةٌ لِعَلَّاتٍ، أُمَّهَاتُهُمْ شَتَّى وَدِينُهُمْ وَاحِدٌ

Maksudnya: “Aku merupakan manusia yang paling utama (paling hampir) dengan ‘Isa bin Maryam di dunia dan akhirat. Para nabi adalah saudara-saudara sebapa daripada pelbagai ibu. Ibu-ibu mereka berbeza namun agama mereka satu.”

[Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3443) dari hadith Abu Hurairah R.A. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata dalam Ikmal al-Mu‘allim bi Fawa’id Muslim (7/337): “Maksudnya, setiap nabi itu pada zaman yang berbeza, dan sebahagian mereka zamannya amat jauh dari yang lain, dan di antara sebahagian mereka dengan para nabi yang lain juga jauh. Meskipun kesemua mereka diutuskan sebagai nabi, mereka seperti adik-beradik dari seorang bapa yang sama, kerana mereka tidak dihimpunkan dalam satu zaman yang sama, sepertimana adik-beradik sebapa tidak dilahirkan dari satu perut (ibu) yang sama. Oleh kerana zaman ‘Isa dekat dengan zaman Muhammad, dan tidak ada nabi lain di antara zaman mereka, mereka berdua umpama berada dalam satu zaman yang sama dan dari satu ibu yang sama, berbeza dengan nabi selain mereka, oleh yang demikian Baginda bersabda: ‘Aku merupakan manusia yang paling utama (paling hampir) dengannya’.”]

Yakni, para nabi itu umpama saudara dari seorang bapa yang sama, tetapi dari ibu yang berlainan.. Dan seorang bapa itu adalah satu agama yang menghimpunkan mereka semua, dan ibu yang berlainan itu pula membezakan mereka mengikut zaman dan tempat yang berbeza-beza antara seorang nabi dengan nabi yang lain, dan antara seorang rasul dengan rasul yang lain.

Perkara yang sama juga dikatakan tentang perkaitan antara al-Quran al-Karim dengan kitab-kitab samawi yang lain sebelumnya, al-Quran itu ibarat penutup dan penyempurna:

Sedangkan kami juga mempelajari dari al-Quran itu sendiri bahawa kitab Injil itu membenarkan dan menyokong kitab Taurat, manakala al-Quran pula membenarkan dan menyokong kitab Injil serta Taurat, dan termasuklah kitab-kitab samawi lain sebelumnya.. Firman Allah SWT:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ

Maksudnya: “Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.”

(Surah Ali ‘Imran: 3)

Firman-Nya lagi:

إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ ۚ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi.”

(Surah al-Ma’idah: 44)

Dan juga firman-Nya:

وَآتَيْنَاهُ الْإِنجِيلَ فِيهِ هُدًى وَنُورٌ وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرَاةِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 46)

Demikianlah kita boleh membuat memutuskan dengan keyakinan yang mutlak dan kepastian yang tidak lagi goyah:

  • Islam itu umpama satu agama yang meneruskan agama-agama ilahi yang sebelumnya.
  • Sesungguhnya Rasul-Nya mempercayai kesemua nabi dan rasul sebelum Baginda.
  • al-Quran itu diturunkan buat Muhammad bagi membenarkan kitab Injil yang diturunkan buat ‘Isa, yang mana peranan kitab Injil itu bagi membenarkan kitab Taurat yang diturunkan buat Musa sebagai wahyu dari Allah.

Inilah prinsip-prinsip al-Quran yang mengatur sudut pandang umat Islam, dan meninggalkan jejak yang kuat dan mendalam dalam hubungan mereka dengan penganut agama samawi lainnya; sejak zaman awal mereka.

Kami juga beriman dengan Musa dan ‘Isa sepertimana kami beriman dengan Muhammad; sama sahaja. Dan kami juga beriktiqad bahawa kitab Taurat adalah kitab Allah, dan kitab Injil juga adalah kitab Allah, kedua-duanya merupakan petunjuk dan cahaya buat manusia.

Dan mungkin kalian akan berasa takjub jika saya katakan: kebanyakan fuqaha’ Islam memperakui bahawa sekiranya seorang muslim yang sedang berjunub dan muslimah yang didatangi haid itu tidak boleh menyentuh al-Quran sehingga mereka bersuci, maka kedua mereka tidak boleh juga untuk menyentuh kitab Taurat atau Injil sehinggalah mereka mandi wajib. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 2/237-240)

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Leave a Reply