Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Imam al-Syafi’i pernah memuji Imam Ahmad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Kami mulakan dengan tarikh kelahiran kedua-dua tokoh ini dan kewafatan masing-masing. Imam al-Syafi’i dilahirkan pada tahun 150 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 204 Hijrah di Kota Mesir. Sedangkan Imam Ahmad bin Hanbal lahir pada tahun 164 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 241 Hijrah di Baghdad. Adapun pertemuan antara Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i di mana Imam Ahmad belajar dengan Imam Syafi’i ketika Imam Syafi’i berada di kota Baghdad.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini pujian Imam al-Syafi’i terhadap Imam Ahmad seperti berikut:

  • Imam al-Syafi‘i berkata:

أَحْمَدُ إمَامٌ فِي ثَمَانِ خِصَالٍ: إِمَامٌ فِي الْحَدِيثِ، إِمَامٌ فِي الْفِقْهِ، إِمَامٌ فِي الْقُرْآنِ، إِمَامٌ فِي اللُّغَةِ، إِمَامٌ فِي السُّنَّةِ، إِمَامٌ فِي الزُّهْدِ، إِمَامٌ فِي الْوَرَعِ، إِمَامٌ فِي الْفَقْرِ

Maksudnya: “Ahmad adalah Imam dalam lapan perkara: Beliau imam dalam hadith, fiqh, al-Quran, lughah (bahasa arab), al-Sunnah, al-Zuhd, al-Warak, serta kefakiran.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/10)

  • Kata beliau lagi:

خَرَجْتُ مِنْ بَغْدَادَ، وَمَا خَلَّفْتُ بِهَا أَوْرَعَ، وَلَا أَتْقَى، وَلَا أَفْقَهَ، وَلَا أَعْلَمَ مِنْ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ

Maksudnya: “Aku keluar dari Baghdad, dan tidak aku tinggalkan padanya seorang pun yang lebih warak, paling bertakwa, paling faqih, dan paling berilmu daripada  Ahmad bin Hanbal.” (Lihat Tarikh Dimasyq oleh Ibn Asakir, 5/272; Tabaqat al-Hanabilah, 1/40; Tarikh Baghdad, 6/99)

  • Beliau berkata kepada Ahmad:

أَنْتُمْ أَعْلَمُ مِنَّا بِالْحَدِيثِ، فَإِذَا كَانَ الْحَدِيثُ كُوفِيًّا أَوْ شَامِيًّا، فَأَعْلِمُونِي [بِهِ] حَتَّى أَذْهَبَ إلَيْهِ

Maksudnya: “Kamu lebih ‘alim tentang hadith berbanding kami. Sekiranya hadith itu berada di Kufah atau Syam maka beritahulah kepada aku sehingga aku pergi menuju kepadanya.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 99/170; Siyar A’lam al-Nubala’, 11/213)

  • Kata beliau lagi:

كُلُّ مَا فِي كُتُبِي “حَدَّثَنِي الثِّقَةُ” فَهُوَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ، وَكُلُّ مَا فِي كُتُبِي “وَهَذَا مِمَّا يُثْبِتُهُ”، أَوْ “لَا يُثْبِتُهُ أَهْلُ الْعِلْمِ” فَهُوَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ

Maksudnya: “Kesemua yang terdapat di dalam kitab-kitabku: ‘Telah menceritakan kepadaku seorang yang tsiqah (dipercayai)’ maka dia adalah Ahmad bin Hanbal.”

Dan kesemua yang terdapat di dalam kitabku:  ‘Dan ini adalah apa yang dithabitkannya’ atau ‘ia tidak dithabitkan oleh ahli ilmu’ maka maksudnya adalah Ahmad ibn Hanbal.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 4/125; Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 5/297)

Semoga Allah merahmati kedua-dua tokoh ini yang amat besar jasanya kepada umat Islam hingga ke hari ini. Mereka menyuluh umat Islam dengan panduan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW serta ilmu yang dimiliki, yang dikurniakan oleh Allah dengan hikmah dan makrifah. Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

(Surah al-Baqarah: 269)

Leave a Reply