Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Rasulullah SAW perintahkan sahabatnya pada permulaan Islam hijrah ke Habsyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya:

إِنَّ بِأَرْضِ الْحَبَشَةِ مَلِكًا لَا يُظْلَمُ أَحَدٌ عِنْدَهُ، فَالْحِقُوا بِبِلَادِهِ، حَتَّى يَجْعَلَ اللَّهُ لَكُمْ فَرَجًا وَمَخْرَجًا مِمَّا أَنْتُمْ فِيهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya di bumi Habsyah itu ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa pun di bawahnya, sehingga Allah menjadikan bagi kalian kesenangan dan jalan keluar daripada keadaan kalian sekarang.”

Potongan dari sebuah hadith yang panjang, diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (9/9) dan dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/1003), daripada hadith Ummu Salamah R.Anha.

Dan di antara mereka yang berhijrah itu termasuklah anak perempuan Baginda SAW, Ruqayyah bersama suaminya, ‘Uthman bin ‘Affan, dan sejarah merakamkan dua kisah hijrah orang Muslim kepada raja Kristian yang mulia ini.

Kita tidak seharusnya membiarkan peristiwa ini berlalu dalam sejarah Islam tanpa kita mengambil iktibar yang mendalam daripadanya, iaitu bahawa Nabi Islam tidak akan mengambil risiko kehidupan orang-orang yang tertindas yang melarikan diri kerana agama mereka ke Habasyah jika bukan kerana keyakinannya yang teguh terhadap Tuhan, bahawa risalahnya dan risalah ‘Isa adalah dari sumber yang sama. Ini juga merupakan makna yang disedari oleh Najasyi ketika dia mendengar sebahagian bacaan al-Quran dari beberapa orang Muslim, seraya berkata: “Apa yang saya dengar ini dan apa yang dibawa oleh ‘Isa adalah daripada satu sumber yang sama.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/336)

Dalam Sahih al-Bukhari telah diriwayatkan; apabila Najasyi meninggal dunia di Habsyah, Baginda Nabi mengumumkan kematian tersebut kepada sahabat-sahabatnya di Madinah pada hari dia meninggal dunia. Kemudian, Baginda membawa mereka ke masjid, menyusun mereka dalam saf, melakukan empat takbir, dan mengerjakan solat jenazah untuknya.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari (1333) daripada hadith Abu Hurairah R.A.

Apabila sekumpulan Nasrani dari Najran datang kepada Nabi SAW untuk berbincang tentang agama baru ini, Baginda menyambut kedatangan mereka dan menjamu mereka di masjidnya di Madinah. Apabila tiba masanya untuk mereka bersembahyang, mereka berkata kepadanya: “Wahai Muhammad, ini adalah waktu sembahyang kami, dan kami ingin melaksanakannya.”  Lalu Baginda menjawab: “Di sebelah masjid ini, beribadahlah kalian di sana.”

Diriwayatkan dengan lafaz yang serupa oleh Ibn Ishaq dalam al-Sirah; dan dari jalur yang sama oleh Ibn Hisyam dalam al-Sirah, 1/574; dan al-Tabari dalam tafsirnya, 5/172; dan al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah, 5/382, dan selain mereka, daripada Muhammad bin Ja‘far bin al-Zubair bin al-‘Awwam.

Walaupun mereka enggan menerima Islam, namun Nabi SAW menerima sikap mereka dengan penuh hormat dan membalasnya dengan baik. Beliau menulis sebuah piagam untuk mereka yang menyatakan: “Bagi penduduk Najran beserta kawasan-kawasannya, dan apa sahaja kampung-kampung dan tempat-tempat berdekatan, adalah di bawah perlindungan Allah dan Rasul-Nya; darah mereka, harta benda mereka, agama mereka, perniagaan mereka, pendeta-pendeta mereka, uskup-uskup mereka, saksi-saksi mereka, orang yang tidak hadir dari kalangan mereka, apa jua yang menjadi milik mereka sama ada banyak atau sedikit.

Dari persaudaraan dalam agama ini, Nabi SAW meminta perlindungan bagi orang Yahudi di Madinah dalam perjanjian yang disimpan dalam sejarah kita, yang termasuk dalam piagam sejarah yang terkenal yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Ia mengandungi akta-akta yang sangat penuh dengan sifat tolak ansur, adil, dan saksama. Ia menjamin kemerdekaan ekonomi dan material orang Yahudi, serta menjamin kebebasan mereka untuk menjalankan agama mereka sendiri. Mereka dianggap sebagai sebahagian yang tidak dapat dipisahkan dari komuniti Muslim, walaupun berbeza agama.

Benarlah firman Allah SWT:

 لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

(Surah al-Ma’idah: 82)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا’, yakni bahawa orang-orang musyrik dan Yahudi adalah orang-orang yang paling memusuhi orang-orang beriman, sedangkan orang-orang Nasrani adalah orang-orang yang paling dekat rasa cintanya kepada orang-orang beriman. (Lihat Fath al-Qadir, 2/77)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply