Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebenarnya bolehkah seorang wanita memakai perhiasan seperti cincin di hidung dan apakah hukumnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah al-Nur: 31)
Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512).
Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Ini berdasarkan beberapa dalil umum yang menunjukkan kesemuanya merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang dijadikan untuk mereka nikmati dan mengambil manfaat dalam kehidupan mereka sama ada daripada pakaian, perhiasan, kegunaan dan keseronokan hidup mereka di dunia. Firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Seterusnya, dalam menjawab soalan ini, kebiasaannya cincin dipakai pada jari-jari tangan tidak kira bagi lelaki mahupun wanita. Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ (bersepakat) akan sunnah memakai cincin pada jari kelingking bagi lelaki. Manakala bagi wanita pula, boleh dipakai pada mana-mana sahaja daripada jarinya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/71; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/463).
Sekalipun begitu tidak dapat dinafikan bahawa cincin mungkin turut menjadi perhiasan yang dipakai pada tempat lain selain jari-jari seperti pada hidung mengikut sesetengah budaya di tempat yang lain. Berkenaan hal ini, hukum asal dalam perkara-perkara berkaitan perhiasan adalah diharuskan dan tidak ada yang dilarang daripadanya melainkan apa yang telah sabit pengharamannya melalui dalil syarak. Allah SWT telah berfirman sebagai suatu jawapan balas ke atas mereka yang mengharamkan perkara tersebut atas dasar kehendaknya sendiri atau dengan mengikut (taqlid) pendapat orang lain tanpa berpandukan syariat daripada-Nya:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”
(Surah al-A‘raf: 32)
Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15)
Selain itu, al-Syaukani juga ada menyebutkan, al-Zinah (perhiasan) ialah apa yang digunakan oleh manusia sebagai perhiasan, termasuklah pakaian dan selainnya daripada sesuatu yang diharuskan seperti logam-logam galian yang tidak ada larangan daripada berhias dengannya, batu-batu permata dan seumpamanya. Jadi, tidak ada masalah bagi seseorang yang memakai pakaian yang baik lagi mahal harganya jika ia bukan termasuk dalam perhiasan yang diharamkan oleh Allah SWT. Begitu juga tidak ada masalah bagi seseorang untuk berhias dengan sesuatu yang menjadi perhiasan dan tidak ada larangan dalam syarak untuk berhias dengannya. (Lihat Fath al-Qadir, 2/292)
Begitu juga dinyatakan di dalam tafsir al-Razi bahawa setiap perhiasan itu hukumnya adalah diharuskan melainkan apabila terdapatnya dalil dalil (yang melarangnya). (Lihat Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 3/311)
Selain daripada itu, kami melihat pemakaian cincin di hidung juga berkemungkinan terjadi dengan cara menindik pada hidung. Adapun berkenaan menindik hidung bagi wanita, secara ringkasnya, kami berpendapat bahawa tidak mengapa bagi kaum wanita untuk menindik hidung mereka bagi memakai perhiasan kerana ia termasuk dalam perhiasan yang khusus buat mereka sebagaimana menindik telinga bagi memakai anting-anting. Kami pernah menjawabnya sebelum ini dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2561: Wanita Menindik Hidung.[1] Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan tambahan berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel berkenaan.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah bagi seorang wanita untuk memakai cincin mahupun perhiasan-perhiasan lain seumpamanya pada hidung, tidak kira sama ada pemakaian cincin di hidung itu boleh berlaku sama ada dengan menindik pada hidung, atau dengan menyelitnya sahaja. Ini kerana ia termasuk dalam perhiasan yang khusus buat mereka sebagaimana menindik telinga bagi memakai anting-anting. Ia adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Apatah lagi, sememangnya memakai cincin ataupun perhiasan lain di hidung termasuk dalam perhiasan wanita sebagaimana yang dapat dilihat pada sesetengah bangsa dan negara. Maka, ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَة حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَة
Maksudnya: “Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”
Hamad al-Hamad ketika mensyarahkan kaedah di atas menyebutkan, adat adalah merujuk kepada kebiasaan manusia dari segi tingkah laku, perkataan dan perbuatan, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Sebagai contoh, duduknya mereka di atas lantai atau atas kerusi ketika makan, maka hal ini termasuk dalam perkara adat dan hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga termasuk dalam perkara adat, seseorang itu makan dengan tangannya, manakala seseorang yang lain pula makan dengan menggunakan sudu, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga seseorang memakai suatu pakaian dengan cara tertentu, manakala seseorang yang lain pula memakainya dengan cara yang lain, maka hukum asal dalam hal tersebut adalah diharuskan. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/9).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/2561-wanita-menindik-hidung/. Diakses pada 22 Ogos 2024.