Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bekerja di mahkamah syari‘ah, dan saya dapati banyak pasangan suami isteri yang bercerai pasti akan berakhir dengan pergaduhan yang berpanjangan. Apakah nasihat yang sesuai kita berikan kepada mereka ini?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya, atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Imam Fakhruddin al-Razi berkata, yang dimaksudkan dengan melepaskan cara baik itu adalah si suami tetap memberikan hak-hak kewangan meskipun telah menceraikan isterinya, tidak memburuk-burukkannya selepas penceraian dan tidak juga menjauhkan orang lain dari mendekatinya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/444)
Mahkamah syari‘ah sering dihujani dengan kes-kes cerai yang kian meningkat dari tahun ke tahun. Lebih menyedihkan, fenomena ini turut memberikan kesan psikologi kepada anak-anak mereka kerana penceraian itu tidak berakhir dengan baik, bahkan berlaku pergaduhan berpanjangan yang tidak berkesudahan. Dan atas sebab ini jugalah penceraian itu amat dibenci oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talak.”
Riwayat Abu Daud (2178)
Imam Abu Sulaiman al-Khattabi berkata, kebencian dalam hadith ini disebabkan punca yang membawa kepada perceraian itu, iaitu hubungan yang buruk dan kurang keserasian, bukan kepada perceraian itu sendiri. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 3/231)
Oleh sebab itulah, Allah SWT menutup ayat penceraian ini dengan tuntutan saling maaf-bermaafan sesama lelaki dan wanita yang bercerai. Firman-Nya:
وَأَن تَعْفُوٓا۟ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۚ وَلَا تَنسَوُا۟ ٱلْفَضْلَ بَيْنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Baqarah: 237)
Apa yang dikehendaki dari firman Allah SWT ini adalah kemaafan itu lebih dekat dengan sifat ketakwaan berbanding terlalu berkeras menuntut hak. Dalam pada itu, ini tidak menafikan bahawa menuntut hak itu juga terkandung padanya ketakwaan, tetapi ini menunjukkan betapa seseorang itu bersifat keras dan sukar berurusan dengannya. Adapun kemaafan itu pula menunjukkan betapa seseorang itu bersifat toleransi dan simpati.
Hati yang terbentuk dengan sifat toleransi dan belas kasihan lebih dekat kepada ketakwaan berbanding hati yang keras. Dalam hati yang secara semula jadi penuh dengan kasih sayang dan toleransi, terdapat kelembutan yang menghalangnya daripada berbuat zalim dan berlaku kejam. Maka ketakwaan lebih dekat dengan sifat memaafkan kerana banyaknya sebab-sebab yang mendorong ketakwaan dalam hati tersebut. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/464)
Sifat kompromi antara bekas pasangan masing-masing adalah penting demi memastikan emosi anak-anak serta proses tumbesaran mereka tidak terganggu. Boleh jadi dengan kelembutan hati kedua-dua pihak ini, ia menjadi salah satu faktor yang menyuntik semula rasa kasih dan akhirnya mengembalikan semula rumahtangga mereka.
Terkadang, punca keruntuhan rumahtangga itu dari layanan yang kurang menyenangkan antara pasangan, tetapi jika kita mampu meneguhkan hati dan memaafkan pasangan masing-masing, diharapkan ia menjadi asbab dikurniakan ganjaran yang besar dari sisi Allah SWT. Renunglah firman-Nya di dalam Surah al-Syura:
فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۚ
Maksudnya: “Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya)”
(Surah al-Syura: 40)
Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda berkenaan orang yang mempunyai sifat pemaaf ini:
وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا
Maksudnya: “Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan.”
Riwayat Muslim (2588)
Kami tegaskan di sini, antara perkara yang penting adalah mengamalkan konsep ehsan oleh kedua-dua belah pihak, kerana itulah yang diajar oleh Allah apabila berlaku perceraian, sebagai firman-Nya:
أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: “Atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Talak merupakan jalan yang terakhir digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal akan tetapi perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 4/120)
Semoga Allah SWT menguatkan tautan kasih antara setiap pasangan suami isteri, menambahkan rasa kasih sayang serta cinta dalam menjalani kehidupan ini atas dasar ketakwaan kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”
Wallahu a‘lam.