Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada saya tentang hukum jihad pada masa kini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu memerangi golongan yang memerangi kamu demi menegakkan agama Allah tetapi janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang melampaui batas.”
(Surah al-Baqarah: 190)
Ini merupakan ayat pertama yang diturunkan semasa peperangan di Madinah, ketika mana Rasulullah SAW memerangi mereka yang memerangi Baginda, dan Baginda tidak memerangi orang yang tidak memeranginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/387)
Kami terangkan terlebih dahulu takrif jihad. Jihad dari sudut bahasa, ia mempunyai banyak maksud. Merujuk kepada kamus Lisan al-‘Arab, jihad berasal dari kalimah jim-ha-dal (ج.ه.د) yang bermaksud menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. (Lisan al-‘Arab, 3/133)
Dari segi istilah, jihad ditakrifkan dengan pelbagai definisi oleh para ulama. Al-Kasani mengatakan jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 7/97)
Sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah (Lihat al-Fawakih al-Dawani, 2/879), Ibn Hajar (Lihat Fath al-Bari, 1/6) dan al-Buhuti (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat: 1/716) mentakrifkan jihad dengan perang secara khusus. Ini bermakna, terdapat dua takrifan mengenai jihad iaitu jihad am dan jihad khas. Secara am ia meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib, antara lain katanya:
Apabila kita mengetahui bahawa jihad di dalam Islam bererti peperangan untuk mempertahankan sesuatu atas nama Allah, maka secara logiknya, sudah tentu hukumnya adalah wajib dan suatu kemestian, lebih-lebih lagi jika ada peristiwa atau faktor yang mendorong ke arahnya. Menerusi karya-karya turath para ulama’ Islam, kita melihat perbezaan pendapat tentang hakikat dan hukum Jihad, sama ada wajib atau tidak wajib.
Kami mampu ringkaskan dalam kesempatan ucapan kali ini, jihad adalah sebuah kewajiban ke atas umat Islam. Namun, itu tidak bermaksud semua orang Islam perlu berperang dengan mengangkat senjata atau menghunus pedangnya kemudian memerangi orang lain; perkara ini tidak masuk akal dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam sepanjang penyebarannya di Timur dan Barat. Tiada langsung rekod menyatakan umat Islam memperlakukan seperti itu, sepertimana yang ditohmah dan difitnah oleh pihak Barat kini. Bahkan, yang dimaksudkan dengan wajibnya jihad ialah seseorang Muslim itu mesti berjuang sesuai dengan keadaan dan posisinya, sama ada dengan hati, lisan, harta atau dengan al-Quran.
Adapun jihad dengan nyawa dan darah – iaitu peperangan – maka ia merupakan suatu kefardhuan yang tidak diwajibkan ke atas semua umat Islam. Maksudnya, pihak askar dan tentera telah memenuhi tanggungjawab kefardhuan tersebut dan mengangkat kewajibannya buat umat Islam, maka gugurlah kewajiban tersebut daripada individu lain, dan mereka tidak akan dipertanggungjawabkan lagi di hadapan Allah SWT berkenaannya.
Maka, jihad dengan nyawa ini bukanlah kewajipan setiap individu sepertimana kefardhuan solat, atau puasa yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim. Namun, jihad merupakan fardhu kifayah; yang merupakan tanggungjawab komuniti.
Jihad boleh menjadi kefardhuan ke atas setiap individu Muslim, apabila ada musuh menyerang negara mereka secara mengejut, memasukinya dan menjajahnya; kemudian ternyata tentera memerlukan bantuan tambahan daripada setiap warga dan rakyat, maka ketika itu jihad peperangan menjadi wajib ke atas setiap individu Muslim untuk berperang mempertahankan negaranya, dengan segala apa yang dimiliki berupa nyawa, harta atau selainnya. Perkara ini tidak akan dipertikaikan oleh sesiapa pun, kecuali mereka yang merampas hak asasi manusia untuk mempertahankan diri dan negara. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 1/158)
Semoga kita semua menjadi hamba-hamba Allah yang benar janji dengan Allah, sebagaimana firman Allah SWT:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.”
(Surah al-Ahzab: 23)
Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50).
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”