Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bila masa jihad akan menjadi kewajiban? Maksud kami adalah peperangan bagi umat Islam.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib, antara lain katanya:

Jika kita meneliti al-Quran al-Karim dan al-Sunnah al-Nabawiyyah, serta kalam para ulama’ Islam pada zaman awal, kita bakal mendapat jawapan yang jelas bagi persoalan ini, bahawa peperangan yang diwajibkan ke atas umat Islam ialah serangan balas ke atas orang yang mula menyerang. Inilah yang dinyatakan oleh al-Quran al-Karim menerusi firman Allah SWT:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu memerangi golongan yang memerangi kamu demi menegakkan agama Allah tetapi janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang melampaui batas.”

(Surah al-Baqarah: 190)

Ini merupakan ayat pertama yang diturunkan semasa peperangan di Madinah, ketika mana Rasulullah SAW memerangi mereka yang memerangi Baginda, dan Baginda tidak memerangi orang yang tidak memeranginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/387)

وَلَا تُقَاتِلُوهُمْ عِندَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّىٰ يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ ۖ فَإِن قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ ۗ

Maksudnya: “Namun, janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjid al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Jika mereka mula memerangi kamu di situ, maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 191)

Al-Tabari menafsirkan ayat tersebut, seraya berkata, ayat tersebut bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jangan kalian mulakan peperangan dengan kaum Musyrikin di al-Masjid al-Haram sehinggalah mereka yang memulakan dahulu, jika mereka mulakan dahulu, maka perangilah mereka. Sesungguhnya Allah membalas kepada kaum kafir itu dengan kehinaan di hari akhirat atas kekufuran dan perbuatan buruk mereka, pembunuhan yang mereka lakukan di dunia.” (Lihat Jami‘al-Bayan, 3/567)

Firman Allah SWT lagi:

وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً

Maksudnya: “Dan perangilah keseluruhan kaum musyrik sebagaimana mereka memerangi kamu semua..”

(Surah al-Taubah: 36)

Al-Tahir ibn ‘Asyur menafsirkan, Allah SWT berfirman: “Janganlah kamu – kaum Muslimin – mencabuli kehormatan bulan haram dengan maksiat, atau dengan kamu memulakan serangan terhadap musuh kamu. Sekiranya mereka memulakan peperangan dengan kamu, maka perangilah mereka. Sebab dibenarkan peperangan tersebut, kerana kaum Musyrikin itu yang menghalalkan peperangan terhadap kaum Muslimin di bulan-bulan haram.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 10/187)

Kita perhatikan juga kewajipan jihad – pada hari ini – terikat dengan kekuatan persenjataan sahaja; yang berkaitan dengan usaha memelihara dan mempertahankan keamanan sesebuah negara atau wilayah daripada serangan jahat pihak luar. Tanggungjawab ini merupakan beban yang dipikul oleh institusi ketenteraan dan askar di sesetengah negara yang terlibat dengan ancaman sahaja, maka ia bukanlah fardhu ‘ain ke atas setiap individu di negara Islam, melainkan apabila ada seruan atau arahan daripada pemimpin. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 1/158-159)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Leave a Reply