Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan ayat 99 Surah Yunus?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ لَـَٔامَنَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكْرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا۟ مُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Dan seandainya Tuhanmu kehendaki nescaya seluruh manusia di bumi ini beriman kesemuanya. Tetapi adakah engkau mahu memaksa keseluruhan manusia menjadi orang yang beriman?”
(Surah Yunus: 99)
Allah SWT mengatakan kepada Nabi-Nya Muhammad SAW: Sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak akan mempercayaimu wahai Muhammad, mereka tidak akan mengikutmu dan membenarkan apa yang dibawa oleh mu, kecuali mereka yang dikehendaki oleh tuhanmu untuk mempercayaimu. Mereka tidak akan sesekali mempercayaimu walau dengan cara paksaan, atau kesungguhanmu untuk menyampaikan risalah. Tetapi adakah engkau mahu memaksa keseluruhan manusia menjadi orang yang beriman denganmu? Mempercayai apa yang dibawa oleh mu dari tuhanmu? Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu, yang telah tuhanmu katakan bahawa mereka tidak akan beriman. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 15/213)
Al-Syaukani berkata: “Dan jika Tuhanmu menghendaki, pasti semua orang di muka bumi ini akan beriman. Maksudnya, mereka pasti akan bersatu dalam keimanan tanpa ada perselisihan atau pertengkaran. Namun, Allah tidak menghendaki demikian kerana hal ini bertentangan dengan kemaslahatan yang dikehendaki Allah yang penuh dengan hikmah yang mendalam. Maka adakah kamu hendak memaksa manusia supaya mereka semua menjadi orang-orang yang beriman? Kerana hal itu di luar kemampuan dan kekuasaanmu, wahai Muhammad.” (Lihat Fath al-Qadir, 2/312)
Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Wahai Rasul, jika Tuhanmu menghendaki untuk menetapkan keimanan semua manusia terhadap risalahmu dalam satu waktu, tentulah semua orang di muka bumi akan beriman seluruhnya. Namun, Allah SWT tidak melakukannya supaya mereka dapat memilih. Keimanan dan perbuatan itu adalah sesuai dengan kehendak Allah SWT. Maka, adakah kamu hendak memaksa manusia lain supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman kepada risalahmu yang mana Allah tidak menghendakinya? Itu bukanlah dalam wilayah kuasamu dan kamu tidak lain hanya menyampaikan. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 422)
Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di menjelaskan bahawa Allah berfirman kepada Nabi Muhammad bahawa jika Allah menghendaki, semua orang di bumi akan beriman. Namun, hikmah Allah menuntut adanya orang yang beriman dan orang yang kafir. Nabi Muhammad tidak mampu memaksa semua orang untuk beriman kerana hanya Allah yang mampu melakukannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 366)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَمَآ أَنتَ عَلَيْهِم بِجَبَّارٍۢ ۖ فَذَكِّرْ بِٱلْقُرْءَانِ مَن يَخَافُ وَعِيدِ
Maksudnya: “Dan engkau sekali-kali bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka. Maka berilah peringatan dengan al-Quran ini kepada orang yang takut kepada janji-Ku.”
(Surah Qaf: 45)
Allah SWT menyebutkan: Bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang layak untuk memaksa mereka mendapat hidayah, ini bukanlah perkara yang diperintahkan kepadamu. Sampaikanlah risalah tuhanmu, sesungguhnya mereka yang takut kepada Allah serta azab seksanya, dan mengharapkan janji-Nya, maka mereka akan ambil peringatan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/385)
Allah SWT berfirman:
فَإِنْ أَعْرَضُوا۟ فَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا ۖ إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ ۗ
Maksudnya: “Sekiranya mereka berpaling tidak mahu menerima, maka Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad untuk mengawasi mereka. Kamu hanya diperintahkan untuk menyampaikan.”
(Surah al-Syura: 48)
Ayat ini bermaksud, sekiranya mereka berpaling tidak mahu menerima iman, maka Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad untuk mengawasi mereka, yakni mengawasi setiap amal perbuatan mereka sehingga bertindak menilai mereka atas perbuatan mereka tersebut. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 16/47)
Oleh yang demikian, tidak ada ruang dalam falsafah Islam dan hikmahnya untuk sebarang kemungkinan memaksa kepercayaannya kepada manusia, sama ada paksaan secara moral atau paksaan dengan material. Malah, dalam hikmah Islam, tidak ada ruang untuk menyelewengkan kepercayaan dan iman demi kepentingan dunia, serta menyalahgunakan keperluan dan kepentingan manusia. Oleh itu, Islam tidak percaya kepada dakwah yang bergantung kepada pertukaran kepercayaan dengan perkhidmatan, dan tidak mengiktiraf iman yang diperoleh dengan kilauan mata pedang atau kilauan wang serta dengan kepentingan tertentu, kerana cara-cara seperti itu adalah salah dalam mendapatkan kepercayaan, yang hanya akan menghasilkan sifat munafik dalam akidah dan ketidakstabilan dalam prinsip-prinsip agama. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 1/167-168)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)