Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang itu mencintai dirinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abdullah bin Hisyam, katanya:

 كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَهْوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لأَنْتَ أَحَبُّ إِلَىَّ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ مِنْ نَفْسِي‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ لاَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ ‏”‏‏.‏ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ فَإِنَّهُ الآنَ وَاللَّهِ لأَنْتَ أَحَبُّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِي‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ الآنَ يَا عُمَرُ ‏”‏‏.

Maksudnya: “Kami bersama Nabi SAW dan Baginda memegang tangan Umar bin Al-Khattab. Umar berkata kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah SAW! Engkau lebih aku cintai daripada segala-galanya kecuali diriku sendiri.” Nabi SAW berkata, “Tidak, demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, (kamu tidak akan beriman sepenuhnya) sehingga aku lebih kamu cintai daripada diri kamu sendiri.” Kemudian Umar berkata kepadanya, “Namun, sekarang, demi Allah, kamu lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Nabi SAW berkata, “Sekarang, wahai Umar, (sekarang kamu telah beriman).”

Riwayat al-Bukhari (6632)

Orang-orang berjaya mereka mencintai diri mereka sendiri. Mereka yang tidak sayangkan diri mustahil untuk mengasihi orang lain. Disebabkan kasih mereka terhadap orang lain mereka berjaya. Kejayaan merupakan imbalan yang diperlihatkan oleh individu berjaya untuk dirinya kerana dia cintakan dirinya dan inginkan merasai bahagia.

Sekarang kita renungkan peristiwa bagaimana perasaan Umar bin al-Khattab cintakan Nabi Muhammad SAW sewaktu Baginda SAW memegang tangan Umar dalam keadaan kasih sepenuh hati. Umar berhajat untuk ungkapkan cintanya kepada Nabi SAW. Kata Umar, “Kamu lebih aku cintai daripada diriku sendiri.”

Nabi Muhammad SAW tidaklah menafikan perasaan Umar untuk mengasihi dirinya sendiri. Sebaliknya Baginda SAW memperbetulkan keutamaan perasaan kasih sayang ini dengan mendahulukan cinta Nabi Muhammad SAW berbanding cintakan diri sendiri. Keutamaan ini menyelamatkan kita daripada kesesatan dan membimbing ke arah petunjuk dengan kelebihan yang Allah SWT berikan.

Adalah lebih wajar untuk kita mengasihi Baginda SAW lebih daripada kita mengasihi diri sendiri kerana dengan sebab mengasihi Baginda SAW selepas Allah SWT, jiwa menjadi bahagia di dunia dan di akhirat. Perkara ini tidaklah bercanggah dengan cintakan diri sendiri yang membawa kepada keyakinan diri sekali gus mendorong manusia untuk berjaya.

Maksud keyakinan diri di sini ialah bagaimana seseorang berhadapan dengan dirinya dan penilaian umum terhadap bagaimana seseorang mengasihi dirinya. Sebahagian pihak lain pula mentarifkan keyakinan diri sebagai sifat yang merujuk kepada tahap cinta atau benci diri seseorang. (Lihat Ta’ziz Taqdir al-Zat, hlm. 2) Tidaklah mustahil seseorang untuk membenci dirinya.

Keyakinan diri mempunyai kesan mendalam ke atas setiap sudut kehidupan kita. la mempengaruhi bagaimana kita bekerja, bagaimana kita berinteraksi sesama manusia dan bagaimana kita mampu mempengaruhi orang lain. la turut mempegaruhi kesihatan jiwa kita. Demikian itu, penilaian diri sendiri lebih utama berbanding penilaian terhadap orang lain ke atas diri kita. (Lihat Ta’ziz Taqdir al-Zat, hlm. 7)

Walaupun begitu, ini tidak membawa maksud berbangga diri atau takbur. la juga tidak bererti menolak kritikan dan pandangan orang lain atau akur akan kelemahan diri. Maksud di sini ialah bagaimana seseorang insan melihat dirinya dan menerima dirinya sebagaimana yang telah Allah SWT ciptakan untuknya. Dia menerima ciptaan Allah SWT dan tidak merasa malu dengannya kerana dia adalah insan yang dimuliakan oleh Penciptanya.

 وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah mengangkut mereka (dengan pelbagai kenderaan) di daratan dan di lautan. Kamu juga telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami telah memberi kelebihan kepada mereka dengan sempurna mengatasi makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra: 70)

Berdasarkan ayat di atas, seseorang insan tidak perlu menjadikan penilaian manusia yang tidak substantif sebagai timbangan individu itu menilai dirinya, atau mengambil kira pandangan orang lain terhadap dirinya atau apa yang mereka bualkan tentang dirinya.

Semua ini demi mencari kepuasan mereka. Demikian itu, dia berjalan mengikut arah yang ditunjuk oleh orang lain dan bukan daripada matlamat dan cita-citanya sendiri. Dia berjaya untuk memuaskan orang lain. Sedangkan mereka yang ada sifat keyakinan diri ini mereka berjaya untuk diri mereka dan pencapaian peribadinya.

Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa perlunya penghargaan diri tanpa sifat sombong dan tidak mahu belajar. (Lihat Tahfiz al-Zat, hlm. 36) (Lihat 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW, hlm. 134 – 139)

Rasulullah SAW telah menyebut kepada kita berkenaan hak-hak yang mesti kita tunaikan termasuklah untuk diri kita. Terdapat sebuah riwayat daripada Salman R.A yang berkata kepada Abu Darda’ R.A:

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu ada hak ke atas kamu, demikian juga diri kamu turut mempunyai hak ke atas kamu, dan ahli keluarga kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Maka berikanlah setiap seorang itu haknya.

Riwayat al-Bukhari (1968)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Leave a Reply