Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kekayaan hakiki adalah kekayaan jiwa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah R.A., beliau meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda:
لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
Maksudnya: “Bukanlah kaya itu bermaksud kaya pada harta benda. Namun, kaya yang sebenar adalah kaya pada jiwa.”
Riwayat al-Bukhari (6446) dan Muslim (1051)
Keyakinan diri apabila seseorang merasakan dirinya kaya dari segi budi pekerti, nilai, perilaku, pemberian dan berpuas hati dengan ketentuan Allah SWT untuknya selain dia menerima ketentuan ini dengan sebab imannya kepada Allah SWT dan kebergantungannya kepada-Nya. Oleh itu, kaya tidak cukup hanya dengan harta. Sebaliknya kaya itu pada jiwa. Ungkapan Nabi Muhammad SAW ini memperlihatkan keyakinan diri. Oleh itu, manusia itu tetap kaya walaupun hartanya sedikit. Ada dalam kalangan mereka yang kaya hartanya namun jiwanya fakir. Kaya itu bukanlah sebagaimana yang biasa difahami oleh manusia; iaitu dengan banyaknya harta dan benda.
Kata Imam al-Tibi: Kekayaan jiwa boleh dimaksudkan dengan kemewahan ilmu dan amal. Abu al-Tayyib mendeklamasikan maksud kekayaan jiwa ini dengan puisinya: yang menghabiskan mengumpul wangnya berjam-jam kerana takut kemiskinan, dia melakukan perbuatan si fakir. Bermakna dia harus menghabiskan masa dan masanya untuk kekayaan yang dicari, iaitu meminta kemewahan untuk menambah kekayaan demi kekayaan, bukan pada hartanya kerana dia berterusan miskin demi kemiskinan. (Lihat Syarh Misykat al-Masabih, 10/165)
Sebahagian ulama hadis menjelaskan maksudnya bersifat qanaah dan reda dengan ketentuan Allah SWT. Kata Ibn Battal: Hakikat kekayaan tidaklah terletak pada banyaknya perhiasan dunia kerana ramai yang Allah SWT lapangkan harta bendanya tetap mereka miskin pada jiwa yakni tidak merasa cukup dengan pemberian-Nya, malah terus sahaja berusaha untuk tambah kekayaan sedia ada tanpa mengira dari mana sumber kekayaan mereka. Sepertinya merekalah si fakir yang meminta-minta harta atas sebab begitu rakusnya mereka mengumpul harta kebendaan. Hakikatnya kekayaan adalah pada kayanya jiwa. la menjadikan pemiliknya rasa cukup dengan sedikit dan tidak bergelut untuk menambah-nambah kekayaan sedia ada, tidak meminta-minta. Sepertinya dia pula orang yang kaya seumur hidupnya. Kekayaan jiwa merupakan pinta reda terhadap ketetapan Allah SWT dan menyerahkan diri kepada urusan-Nya dengan perasaan yakin bahawa apa yang ada di sisi Allah SWT adalah yang terbaik untuk kaum Abrar dan dalam ketetapan-Nya untuk para auliya-Nya adalah paling terbaik. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 10/165)
Tidak dinafikan bahawa reda dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Esa adalah salah satu daripada banyak kemewahan yang menjadikan manusia kaya jiwanya. (Lihat 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW, hlm. 142 – 147)
Kami katakan, mereka yang kaya jiwa sudah tentu mempunyai akhlak yang baik dan berjiwa besar di samping merasa kecukupan apa yang ada dan dimilikinya. Mereka begitu memahami erti sebuah kekayaan. Saya kisahkan di sini seorang kaya yang amat pemurah:
Dr Khalid al-Jubair berkata: Aku pernah dihantar oleh al-Amir Sultan ke Morocco untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit di sana. Bilamana aku sampai, aku dapati tempat rawatan tidak sempurna dan banyak kekurangan.
Aku mengkhabarkan hal tersebut kepada al-Amir Sultan dan beliau menyuruhku supaya berikhtiar mencari jalan penyelesaian. Antara yang aku rawat itu, ada seorang penduduk Maghribi yang memberitahu kepadaku, terdapat seorang ahli korporat yang kaya di Morocco, yang amat pemurah.
Lantas, aku pun pergi ke rumahnya dan bercakap dengannya. Serta merta beliau memanggil keraninya dan mengarahkan supaya menyelesaikan semua kehendak dan keperluan yang diperlukan bermula sewa bangunan sehingga kepada kos rawatan.
Perkara yang tidak boleh aku lupakan adalah beliau berkata kepadaku, “Tolong ceritakan kepada sesiapa sahaja, bahawa tidaklah aku keluarkan untuk sedekahkan sejumlah wang kecuali Allah akan menggandakan kepadaku. Sebagai contoh, jika aku sedekah pada hari ini 1 Juta, maka pada akhir minggu, aku akan memiliki 3 Juta. Ceritalah. Hal ini bukan berlaku sekali kepadaku, bahkan boleh dikatakan, itulah yang sering berlaku. Aku tidak menganggap diriku kecuali pemegang harta yang Allah amanahkan.
Aku mempunyai empat orang anak. Setiap orang, aku beri kepada mereka sebuah syarikat atau kilang, dan mereka mendapat keuntungan yang banyak. Adapun wakaf yang aku lakukan, pernah aku wakafkan bangunan untuk pesakit dialisis di mana rawatan mencuci buah pinggang perlu dilakukan setiap dua hari sekali. Kemudian aku juga mewakafkan 20 hospital yang lain untuk dijadikan sebagai pusat rawatan. Begitulah yang aku lakukan. Dan semua itu adalah rezeki yang Allah kurniakan kepadaku.” (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 110-111)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”