Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat nas yang menunjukkan di antara tanda akhir zaman wujudnya golongan muda yang singkat akal, berbicara dalam isu yang besar sedangkan mereka keluar daripada agama sepertimana panah yang keluar daripada busurnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
‘Ali R.A berkata:
إِذَا حَدَّثْتُكُمْ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثًا، فَوَاللهِ لَأَنْ أَخِرَّ مِنَ السَّمَاءِ، أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَكْذِبَ عَلَيْهِ، وَإِذَا حَدَّثْتُكُمْ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ، فَإِنَّ الحَرْبَ خِدْعَةٌ، وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «سَيَخْرُجُ قَوْمٌ فِي آخِرِ الزَّمَانِ، أَحْدَاثُ الأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الأَحْلاَمِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ البَرِيَّةِ، لاَ يُجَاوِزُ إِيمَانُهُمْ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ، كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَأَيْنَمَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ».
Maksudnya: “Apabila aku menyampaikan satu hadith daripada Rasulullah SAW, maka demi Allah, sungguh aku terjatuh dari langit adalah lebih aku sukai daripada aku berdusta atas nama Baginda. Tapi apabila aku menyampaikan hanya antara aku dan kalian, maka sesungguhnya peperangan itu adalah tipu daya (taktik). Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada akhir zaman kelak, akan keluar suatu kaum yang umurnya masih muda, berakal rendah, bertutur kata dengan sebaik-baik ucapan manusia. Iman mereka tidak melepasi kerongkong mereka, mereka keluar daripada agama sebagaimana anak panah yang terkeluar daripada busurnya. Di mana-mana saja kamu menjumpai mereka, maka bunuhlah mereka kerana membunuh mereka itu mendatangkan ganjaran pahala pada Hari Kiamat bagi sesiapa yang membunuhnya.”
Riwayat al-Bukhari (6930) dan Muslim (1066)
Inilah yang dikatakan sifat Khawarij, bahkan dari kalangan merekalah yang membunuh Saidina Ali R.A iaitu Abd al-Rahman bin Muljam. Kami kisahkan sedikit kisah Abd al-Rahman bin Muljam:
Adapun kisah pembunuhan terhadap ‘Ali adalah bahawa tiga orang dari kalangan Khawarij berkumpul. Mereka adalah ‘Abd al-Rahman bin Muljam (sebahagian membaca dengan Muljim), al-Barak bin ‘Abdillah, dan ‘Amr bin Bakr al-Tamimi. Mereka membicarakan keadaan kaum muslimin dan mereka mencela para pemimpinnya. Kemudian mereka menyebut tentang Ahlun Nabr (orang-orang Khawarij yang dibunuh oleh ‘Ali dan kaum muslimin), lalu mereka mendo’akan agar Allah merahmati mereka.
Mereka berkata, “Selepas kematian mereka, kita tidak melakukan apa pun. Saudara-saudara kita yang merupakan para da’i yang menyeru manusia agar beribadah kepada Allah, mereka tidak takut kerana Allah kepada celaan orang yang mencela. Alangkah baiknya jika kita menjual diri kita. Kita datangi para pemimpin sesat itu lalu kita bunuh mereka sehingga negara dapat bebas dari mereka dan kita dapat membalas dendam terhadap mereka untuk saudara-saudara kita.”
Ibnu Muljam berkata, “Aku yang akan membunuh ‘Ali bin Abi Thalib.” Al-Barak berkata, “Aku yang akan membunuh Mu’awiyah.” ‘Amr bin Bakr berkata, “Aku yang akan membunuh ‘Amr bin al-‘Ash.” Seterusnya, mereka berjanji dan berikrar tidak akan berundur walau apa pun risikonya hingga mereka berjaya membunuh sasarannya masing-masing atau mereka yang terbunuh. Lalu mereka menyiapkan pedang dan melumurnya dengan racun.
Mereka bersepakat bahawa pelaksanaan rancangan mereka adalah 15 Ramadhan tahun 40 H. Setiap orang mesti membunuh orang yang menjadi sasarannya. Setelah itu, mereka pun berangkat ke kota di mana sasaran masing-masing berada.
Ibnu Muljam, yang termasuk daripada kalangan penduduk suku Kindah, pergi ke Kufah. Dia tidak menyebut sebarang perkataan kepada saudara-saudaranya di sana kerana khuatir rahsianya akan terbongkar.
Di Kufah terdapat seorang wanita yang bernama Qitham binti al-Syajnah. ‘Ali telah membunuh ayahnya dan saudara lelakinya ketika Perang al-Nahr. Wanita ini sangat cantik. Ketika melihat wanita itu, Ibnu Muljam terpesona dengannya sehingga dia hampir melupakan niat yang membuatnya datang ke Kufah. Ketika Ibnu Muljam melamarnya, maka wanita itu berkata, “Aku tidak menerima lamaranmu sebelum engkau memenuhi keinginanku.” Ibnu Muljam bertanya, “Apa keinginanmu?” Dia menjawab, “Tiga ribu (dinar atau dirham), seorang hamba sahaya, seorang wanita penyanyi, dan nyawa ‘Ali bin Abi Thalib.”
Ibnu Muljam menjawab, “Ia adalah mahar untukmu. Adapun ‘Ali maka aku tidak melihatmu menyebutnya untukku, sedangkan engkau menginginkanku.” Dia berkata, “Carilah waktu ketika dia sedang dalam keadaan alpa! Jika engkau berjaya membunuhnya, dirimu dan diriku akan puas dan engkau dapat hidup tenang bersamaku. Jika engkau terbunuh, apa yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal daripada dunia dan perhiasannya dan perhiasan penghuninya.
Ibnu Muljam berkata kepadanya, “Demi Allah, aku tidak datang ke kota ini kecuali dengan maksud itu.” Lalu wanita ini memilih seorang lelaki dari kaumnya untuk membantunya dan Ibnu Muljam juga memilih seorang lagi untuk membantunya.
Pada malam Jumaat 15 Ramadhan tahun 40 H, mereka pun melakukan intipan terhadap ‘Ali. Ketika ‘Ali keluar untuk mengerjakan solat Subuh, Ibnu Muljam melibas pedangnya ke atas ubun-ubun ‘Ali sambil berkata, “Hukum itu milik Allah, bukan milikmu juga bukan milik kawan-kawanmu.” Lantas orang ramai yang sedang berada di masjid terkejut. (Lihat Khulafa’ al-Rasyidin oleh Hasan Ayyub, hlm. 310-320)
Akhirnya Khalifah ‘Ali R.A menghadap kepada Rabb-nya disebabkan satu libasan pedang beracun, sebagaimana yang dialami sebelumnya oleh Umar al-Faruq R.A yang juga gugur disebabkan tikaman pisau belati.
Sebaik sahaja menerima libasan pedang di kepalanya, dia lalu diangkat ke dalam rumahnya. Dalam keadaan yang sangat kritikal itu, dia masih meminta orang-orang yang membawanya dan orang-orang yang mengerumuninya agar pergi ke masjid sehingga tetap dapat mendirikan solat Subuh secara berjemaah sebelum ia berlalu. Solat inilah yang hendak dilaksanakan oleh ‘Ali, tetapi pembunuhan keji yang penuh dosa menghalang ‘Ali untuk menghadirinya atau menyempurnakannya.
Ketika orang ramai telah menyelesaikan solat, mereka kembali kepadanya. Sebahagian kaum muslimin berjaya menangkap si pembunuh, Ibnu Muljam. Pada saat itu Khalifah Ali R.A membuka matanya. Kedua matanya tertuju kepada Ibnu Muljam. Dia menggelengkan kepalanya dengan penuh penyesalan ketika dia mengenalinya. Dia berkata, “Apakah engkau pelakunya? Sedangkan selama ini aku telah berbuat baik kepadamu!”
Ali R.A lalu memandang wajah anak-anak dan sahabat-sahabatnya sekilas. Dia melihat wajah-wajah yang memendam amarah, menahan sabar untuk membalas dendam. Dia hampir memastikan nasib yang akan menimpa Ibnu Muljam. Sebuah balas dendam yang sangat mengerikan yang akan dilakukan oleh anak-anaknya dan rakan-rakannya. Lalu dia memutuskan dengan teguh untuk memberikan perlindungan kepada pembunuhnya daripada kezaliman atau pelanggaran terhadap batasan-batasan qisas yang disyariatkan.
Dia memanggil mereka kepadanya. Kata-kata itu keluar daripada mulutnya dengan tersekat-sekat untuk menggariskan keagungan insani yang diberikan oleh al-Quran kepada ‘Ali dalam sebuah lembaran yang cemerlang. ‘Ali berkata kepada anak-anak dan keluarganya, “Perlakukan dia dengan baik. Bersikaplah dengan mulia. Jika aku hidup, aku yang lebih berhak ke atasnya dengan qisas atau maaf. Jika aku mati, susulkanlah dia denganku. Aku akan membawa perkara ini di sisi Rabb seluruh alam. Jangan membunuh sesiapa pun selainnya demi aku, kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Lihat Khulafa’ al-Rasul oleh Khalid Muhammad Khalid, hlm. 599)
Para ahli sejarah berkata: ‘Abd al-Rahman bin Muljam menikamnya di Kufah pada hari Jumaat ketika bulan Ramadhan berbaki tiga belas malam. Ada yang berkata: Malam 21 darinya, tahun 40 H. Saidina ‘Ali R.A bertahan dua hari, Jumaat dan Sabtu lalu meninggal di malam Ahad. Jenazah beliau dimandikan oleh kedua anaknya dan ‘Abdullah bin Ja’far. Al-Hasan mensolatkannya dan beliau dimakamkan pada waktu sahur. (Lihat Sifat al-Safwah, 1/135. Lihat juga Ashab al-Rasul, hlm. 312)
Marilah sama-sama kita memohon petunjuk daripada Allah agar kita sentiasa diberi kebenaran untuk diikuti:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)