Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh contohkan kepada kami, bagaimana sikap rahmahnya Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiya’ : 107)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Sebahagian ahli tafsir seperti Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma menyatakan ayat ini menyatakan bahawa agama Islam yang dibawa Rasulullah SAW ini merupakan rahmat kepada orang beriman dan rahmat buat orang kafir juga.” (Lihat Jami’ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 16/440)

Al-Razi berkata: Allah menjelaskan pengutusan Nabi Muhammad SAW yang tidak lain melainkan membawa kesejahteraan buat sekalian alam. Segala yang datang daripada Nabi Muhammad SAW sememangnya membawa kebaikan dan rahmat buat sekalian manusia. Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan, rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW merangkumi rahmat pada agama dan pada dunia. Rahmat pada agama disaksikan dengan kehadiran Islam yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW. Ini kerana, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab Jahiliah hidup dalam kebingungan dalam urusan agama mereka lantaran pegangan agama yang terzahir dalam kalangan mereka menyaksikan terdapatnya jurang perselisihan yang besar dalam menekuni kandungan kitab-kitab samawi terdahulu. Kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi SAW ternyata meluruskan kecelaruan dalam meletakkan sempadan halal dan haram, lalu memberikan rahmat kepada mereka yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran.  (Lihat Mafatih al-Ghaib, 22/193)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ

Maksudnya:Sesungguhnya saya adalah pembawa rahmat dan penunjuk jalan.

Diriwayatkan oleh al-Bazzar (9205) dan al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Awsat (2981) dan dalam al-Mu’jam Al-Saghir (264) dan al-Hakim: 35/1, menerusi jalur Abu Salih dari Abu Hurairah. Al-Hakim berkata: Hadith yang sahih menurut syaratnya.”

Baginda yang membawa sebuah kitab dari Tuhan yang mengulang perkataan Rahmah dan kalimah-kalimah yang bersumber darinya sebanyak 280 kali, unsur menitikberatkan kasih-sayang ini tidak kita kenali dalam kitab-kitab lain semisal apa yang telah ditegaskan oleh al-Quran al-Karim, inilah bukti menunjukkan bahawa,  Nabi yang agung dan pengasih, yang rahmatnya meliputi setiap insan baik yang Muslim mahupun non-Muslim, yang melarang dan menegah dengan jelas dan tegas daripada pembunuhan perempuan non-Muslim yang turut serta berperang, serta kanak-kanak mereka, orang-orang tua mereka dan bayi-bayi mereka, baginda bersabda:

لَا تَقْتُلُوا شَيْخًا فَانِيًا ، وَلَا طِفْلًا، وَلَا صَغِيرًا، وَلَا امْرَأَةٌ

Maksudnya: “Janganlah kalian membunuh orang tua yang lemah, jangan juga kanak-kanak, jangan juga budak kecil, jangan juga wanita.

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (18153) menerusi hadith Anas ibn Malik

Baginda juga melarang daripada membunuh orang buta dalam kalangan tentera musuh, baginda juga menegah perbuatan membunuh hamba dan budak suruhan lelaki mahupun perempuan, jua warga awam yang tidak turut serta dalam peperangan, begitu juga baginda tidak mengizinkan pembunuhan para pendeta dan paderi serta melarang daripada mengapa-apakan tempat ibadat bagi agama-agama lain, bahkan rahmat baginda meliputi sekalian alam, bukan sahaja kepada semua manusia tanpa mengira jenisnya, bahkan rahmat itu juga tercucur kepada alam selain manusia; semisal alam haiwan, tumbuhan dan material dalam kalangan tentera musuh, apabila baginda melarang daripada menyembelih haiwan-haiwan yang berada dalam bersama askar musuh, melarang perbuatan memotong pokok yang berbuah, menghancurkan bangunan dan merobohkannya, mengharamkan perbuatan merosakkan badan mayat tentera musuh dalam kalangan kuffar.

Apa yang lebih menakjubkan saya, ialah apabila saya membaca sirah Nabi yang penyayang ini, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh ulama-ulama Sirah dan Sejarah Peperangan baginda yang bersesuaian dengan perbahasan kita ini, bahawa apabila baginda Nabi Muhammad SAW sedang dalam perjalanan untuk menakluk kota Mekah ketika peristiwa Fath Makkah, baginda memimpin tentera seramai lebih kurang 10,000 orang prajurit, ketika memasuki Mekah, baginda ternampak seekor anjing betina yang sedang memelihara anak-anak anjingnya, anak-anak anjing itu pula sedang menyusu di sekeliling ibu anjing tersebut. Rasulullah SAW pun menyuruh salah seorang sahabatnya yang bernama Ju’ail bin Suraqah untuk memelihara dan membentengi anjing tersebut bersama anak-anak anjing itu, supaya tidak dilanggar atau dipijak oleh mana-mana tentera Islam. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 1/388-340)

Betapa pentingnya rahmat sehingga Allah menggambarkan rahmah boleh membawa kepada hati jinak kepada Baginda SAW, sebaliknya dengan kekerasan akan meliarkan hati-hati manusia. Benarlah Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

 (Surah Ali Imran: 159)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Sekiranya kamu hai Muhammad bersikap kasar lagi jumud dalam menjalani perhubungan dengan mereka nescaya mereka akan lari darimu dan mereka tidak selesa lagi tinggal bersamamu.”  (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/988)

Rasulullah SAW menggesa kita sebagai umatnya untuk bersifat rahmah sebagaimana hadith yang diriwayatkan secara musalsal:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Maksudnya: “Orang-orang yang penyayang itu akan dikasihi oleh al-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Kasihilah sesiapa yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di atas langit.”

Riwayat al-Tirmizi (1924)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

Leave a Reply