Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sejak dari bangku sekolah lagi saya melihat amalan orang yang masbuq menepuk bahu orang yang sedang solat sebagai isyarat untuk berjemaah dengannya. Adakah perbuatan ini dibenarkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat berjemaah ini sememangnya dituntut oleh syara‘, dan hukumnya adalah fardhu kifayah menurut pandangan yang paling tepat di sisi fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”

(Surah al-Nisa’: 102)

Di dalam ayat ini, Allah SWT tetap memerintahkan Rasulullah SAW untuk menjadi imam solat berjemaah kepada kaum Mukminin meskipun dalam keadaan ketakutan semasa peperangan. Maka sudah pasti lebih utama untuk didirikan solat berjemaah dalam keadaan aman tanpa peperangan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/465; al-Manhal al-‘Amim bi Hasyiah al-Manhaj al-Qawim, 3/618)

Thabit pula dalam hadith daripada Abdullah bin ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah mengatasi solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.”

Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (650)

Dikatakan juga bahawa hukum berjemaah ini adalah fardhu kifayah berdasarkan hadith Abu al-Darda’, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ ثَلاَثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلاَةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ

Maksudnya: “Tidak ada 3 orang di dalam sesebuah kampung atau penempatan Badawi yang tidak didirikan solat jemaah oleh mereka, melainkan syaitan sebenarnya telah pun menguasai mereka. Maka hendaklah kalian mendirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala akan memakan kambing yang duduk berjauhan dari kawanannya.”

Riwayat Abu Daud (547), al-Nasa’ie (847) dan Ahmad (21710)

Apabila kita membincangkan isu solat berjemaah ini, maka akan timbul beberapa persoalan, antaranya adalah; adakah niat sebagai imam itu menjadi syarat sah solat berjemaah? Bertitik tolak dari persoalan ini pula, timbul tanda tanya, adakah makmum yang masbuq perlu memberitahu orang yang sedang solat bahawa dia akan mendirikan solat jemaah bersamanya dengan cara menepuk bahu?

 

Imam Berniat sebagai Imam Bukan Syarat Sah Berjemaah

Menjawab persoalan yang pertama, Mazhab al-Syafi‘i tidak mewajibkan imam untuk berniat sebagai imam semasa solat berjemaah, kecuali semasa Solat Jumaat. Sekiranya imam tidak berniat begitu maka solat jemaah tetap sah. Perkara ini ada dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya, sebetulnya niat sebagai imam ini tidak diwajibkan dan tidak dijadikan sebagai syarat sah mengikuti imam. Beginilah yang diputuskan oleh majoriti ashab al-Syafi‘iyyah. Para makmum tetap mendapat kelebihan solat berjemaah itu meskipun imam tidak berniat sebagai imam, tetapi timbul khilaf sama ada imam itu sendiri mendapat kelebihan solat berjemaah atau tidak:

  • Pendapat yang sahih dan masyhur, imam tidak mendapat kelebihan berjemaah sepertimana yang diputuskan oleh Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini, al-Faurani dan lain-lain; kerana setiap amalan itu bergantung kepada niat.
  • Pendapat kedua, imam mendapat kelebihan tersebut kerana ada orang yang mengikutinya, maka dia juga wajib untuk mendapat kelebihan.
  • Pendapat ketiga, al-Qadhi Husain memperincikan masalah ini pada dua keadaan yang berbeza:
    • Jika imam tahu bahawa dibelakangnya ada makmum yang mengikuti, tetapi dia masih tidak berniat sebagai imam, maka dia tidak mendapat kelebihan berjemaah.
    • Jika imam tidak tahu bahawa dibelakangnya ada makmum yang mengikuti, dia mendapat kelebihan berjemaah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/98)

Disebutkan juga dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (6/207), tidak disyaratkan untuk berniat sebagai imam di sisi fuqaha’ al-Malikiyyah dan al-Syafi‘iyyah. Akan tetapi, disunatkan untuk berniat sebagai imam agar dapat keluar dari perselisihan pendapat yang mewajibkannya, serta supaya imam mendapat kelebihan solat berjemaah itu.

Makmum Masbuq Menepuk Bahu Imam

Amalan ini telah masyhur dan diketahui oleh umum masyarakat Islam di Malaysia, dan antara tujuan utamanya adalah isyarat memberitahu seseorang yang sedang solat bahawa kita ingin mengerjakan solat berjemaah bersamanya, agar dia berniat untuk menjadi imam serta mendapat ganjaran berjemaah. Sesetengah pihak menyangkan bahawa niat menjadi imam itu adalah wajib, dan ia akan memberikan kesan kepada solat tersebut sekiranya imam tidak berniat menjadi imam. Oleh sebab itulah kami bawakan terlebih dahulu perbahasan niat imam di atas supaya asas ini dapat difahami.

Kemudian, ulama membahaskan pula berkenaan orang yang solat bersendirian, tetapi dia berniat untuk menjadi imam kerana ada kebarangkalian akan datang makmum masbuq di belakangnya. Al-Khatib al-Syirbini berkata, sah niatnya untuk menjadi imam walaupun dia belum menjadi imam pada waktu itu, kerana dia akan menjadi imam kemudian, beginilah pandangan Imam al-Juwaini. Jika dia berniat menjadi imam di tengah-tengah solat, dia akan mendapat kelebihan berjemaah dari saat dia berniat.

Al-Sayyid al-Bakri al-Dimyati juga berkata, sah niat sebagai imam meskipun tidak ada makmum di belakangnya, sekiranya dia percaya akan datang orang untuk berjemaah; kerana dia tahu dia akan menjadi imam. Sekiranya dia tidak berniat begitu, dalam keadaan dia tidak tahu ada jemaah yang mengikutinya di belakang, dia tidak mendapat kelebihan berjemaah. Apabila dia berniat menjadi imam di tengah-tengah solat, dia akan mendapat kelebihan berjemaah ketika itu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/502; I‘anah al-Talibin, 2/26)

Atas dasar ingin memberikan kelebihan yang sama kepada imam, maka al-Faqih al-Habib Zain bin Sumait memberikan komentar dalam perbahasan di atas seraya berkata: “Seseorang yang mahu mengikut (berjemaah) bersama orang yang sedang solat bersendirian, hendaklah memberi isyarat kepadanya seperti menepuk bahunya agar orang yang solat bersendirian itu berniat sebagai imam. Maka dia boleh mendapat kelebihan berjemaah.” (Lihat al-Syams al-Munirah, 1/357)

Perbuatan menepuk bahu ini pada asalnya tidaklah disyariatkan kerana takbiratul ihram dari makmum yang masbuq sudah mencukupi untuk seseorang itu sedar bahawa dia ketika itu telah menjadi imam. Maka berpada dengan orang yang masbuq itu berdiri di sebelah kanan (bagi lelaki) orang yang sedang bersolat, kemudian mengangkat takbir sebagai isyarat hendak mengikuti solatnya. Inilah sunnah terdahulu yang diajarkan oleh para sahabat, seperti dalam hadith Abdullah bin ‘Abbas R.A, katanya:

بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ لَيْلَةً ، فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ اللَّيْلِ  فَلَمَّا كَانَ فِي بَعْضِ اللَّيْلِ قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَوَضَّأَ مِنْ شَنٍّ مُعَلَّقٍ وُضُوءًا خَفِيفًا – يُخَفِّفُهُ عَمْرٌو وَيُقَلِّلُهُ -، وَقَامَ يُصَلِّي، فَتَوَضَّأْتُ نَحْوًا مِمَّا تَوَضَّأَ، ثُمَّ جِئْتُ فَقُمْتُ، عَنْ يَسَارِهِ – وَرُبَّمَا قَالَ سُفْيَانُ عَنْ شِمَالِهِ – فَحَوَّلَنِي فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ

Maksudnya: “Pernah pada suatu malam, aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah. Kemudian pada malam hari, Nabi SAW bangun daripada tidurnya. Maka ketika pada sebahagian malam, Baginda SAW bangun dan berwuduk dengan ringkas menggunakan air di dalam gereba yang tergantung. – ‘Amr menggambarkan betapa ringkasnya wuduk itu dan menyedikitkannya – Setelah itu Baginda berdiri untuk solat. Aku pun berwuduk sebagaimana wuduk Baginda. Kemudian aku datang menghampiri Baginda dan berdiri di sebelah kirinya – Barangkali Sufyan menggunakan perkataan ‘شِمَال’ (ganti daripada perkataan يَسَار) – Baginda pun mengalihkanku dan menempatkanku di sebelah kanannya.”

Riwayat al-Bukhari (138) dan Muslim (763)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa menepuk bahu imam bagi makmum yang masbuq itu adalah dibenarkan kerana ia merupakan salah satu cara memberi isyarat bahawa kita ingin solat berjemaah.

Meskipun begitu, kami cadangkan agar dikuatkan sedikit suara makmum tersebut semasa takbiratul ihram agar orang yang sedang bersembahyang itu sedar akan kehadiran makmum. Sekiranya diyakini orang yang sedang bersolat itu tidak sedar kehadiran makmum, dengan dia tidak menguatkan suara pada takbir intiqal,[1] maka ketika itu tepuklah bahu imam tersebut dengan sekadarnya sahaja agar tidak menghilangkan khusyuk semasa solat.

Beginilah bagaimana para ulama terdahulu membincangkan pelbagai alternatif bagi memastikan imam dan juga makmum sama-sama memperoleh ganjaran solat berjemaah dengan sempurna. Semoga kita semua beroleh kefahaman di samping dapat beramal dengannya dalam kehidupan seharian.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam.

Nota Hujung:

[1] Takbir pada setiap kali berpindah rukun, seperti takbir semasa hendak berpindah dari berdiri kepada rukuk.

Leave a Reply