Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanyakan soalan, adakah seseorang yang solat duduk tetapi bukan duduk di atas kerusi, perlukah untuk rukuk dan sujud seperti biasa jika dia mampu? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan jawapan ini dengan menegaskan kewajiban melaksanakan solat sebagai seorang Muslim dan ia merupakan salah satu Rukun Islam yang paling utama, dengan membawa sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RAnhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Dibina Islam itu di atas lima iaitu penyaksian bahawa sesungguhnya tiad Tuhan yang sebenar-benarnya layak untuk disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)

Dalam melaksanakan solat pula, kita harus memenuhi rukun-rukun solat yang wajib dilaksanakan. Berdiri ketika menunaikan solat merupakan salah satu rukun solat yang wajib dilakukan dan dipenuhi. Imam Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa, rukun solat yang ke-3: al-Qiyam (الْقِيَامُ) iaitu berdiri ketika menunaikan solat, dan dalil bagi kewajibannya adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِینَ

Maksudnya: “Dan berdirilah (dalam solat) kerana Allah dalam keadaan penuh taat.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Kewajiban berdiri ketika solat ini juga merupakan ijma‘ (persepakatan) umat Islam, dan perkara yang begitu dimaklumi dan diketahui di dalam agama Islam ini.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/97)

Namun, syariat Islam juga datang dengan kemudahan dan keringanan. Allah SWT tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Maka, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kalian.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak mampu untuk bersolat dalam keadaan berdiri, maka dia dibenarkan untuk melaksanakan solat dalam keadaan duduk. Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: “Sekiranya seseorang tidak mampu berdiri, maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan duduk; bagaimanapun cara duduknya itu, berdasarkan ijma‘ para ulama dan hadith.” (Lihat ‘Ujalah al-Muhtaj ila Taujih al-Minhaj, 1/193)

Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada ‘Imran bin Husain R.A, katanya: “Aku diuji dengan penyakit buasir (بَوَاسِيرُ) lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah secara berdiri, jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu juga maka solatlah dalam keadaan baring secara mengiring.

Riwayat al-Bukhari (1066)

Imam al-Khattabi berkata: “Makna hadith ini adalah pedoman bagi seseorang yang hendak melaksanakan solat-solat fardhu. Secara asalnya, dia diwajibkan untuk melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu berdiri dan menghadapi kesukaran dalam melaksanakannya, maka dia boleh melaksanakannya dalam keadaan-keadaan yang disebutkan selepas itu.” (Lihat A‘lam al-Hadith, 1/630-631)

Berhubung dengan soalan yang diajukan kepada kami berkenaan kaifiat rukuk dan sujud bagi orang yang solat duduk, Imam al-Nawawi memfatwakan dalam kitab Minhaj sepertimana nas beliau yang berikut: 

“Adapun rukuk bagi orang yang bersolat dalam keadaan duduk, kadar paling minimum adalah dia tunduk sedikit wajahnya menghadap ke arah kedua lututnya ke arah bawah. Adapun cara yang paling sempurna adalah dia menundukkan badannya sehingga dahinya bertentangan dengan tempat sujudnya. Adapun cara sujudnya, adalah sama seperti sujud orang yang solat berdiri (sujud seperti biasa). Hal ini, sekiranya orang yang bersembahyang duduk mampu untuk melakukan rukuk dan sujud.”

Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa bagi sesiapa yang solat duduk namun masih mampu untuk rukuk dan sujud, dia hendaklah rukuk dengan menundukkan kepalanya hingga dahinya setentang dengan tempat sujud; manakala sujud pula dilaksanakan seperti biasa. Adapun bagi yang tidak mampu melaksanakan sedemikian, Imam al-Nawawi juga menjelaskan seterusnya sebagai sambungan bagi nas di atas:

“Sekiranya dia tidak mampu (rukuk dan sujud seperti biasa) kerana penyakit yang jelas ternyata atau lain-lain sebab, maka dia boleh untuk tunduk sekadar yang dia mampu sahaja. Sekiranya orang yang bersolat duduk itu mampu untuk rukuk, namun tidak mampu untuk meletakkan dahinya di atas tanah, maka dilihat; sekiranya dia boleh melaksanakan kadar rukuk yang paling minimum bagi orang yang bersolat duduk dan cara yang paling sempurna tanpa sebarang penambahan, maka dia melakukan (rukuk) semampunya. Sesekali dia lakukan seperti itu ketika rukuk, sesekali dia melakukan seperti itu juga ketika sujud. Dan tiada masalah jika sama postur dalam melaksanakan kedua-duanya. Sekiranya dia mampu untuk melakukan lebih daripada kadar rukuk yang sempurna, maka dia hendaklah (melaksanakannya dengan) berpada dengan postur tunduk untuk rukuk dengan kadar yang sempurna (bagi keadaan solat duduk), supaya ada zahir perbezaan antara rukuk dengan sujud.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 1/236)

Kesimpulannya, kami nyatakan bahawa orang yang bersolat duduk dalam keadaan duduk iftirasy (duduk antara dua sujud) dan tidak di atas kerusi; untuk melaksanakan rukuk, dia mestilah menundukkan kepala sehingga dahi bertentangan dengan tempat sujud di bawah. Jika tidak mampu, maka hendaklah dia menundukkan sedikit kepala sehingga boleh melihat ke arah kedua-dua lututnya. Manakala untuk bersujud pula, dia mestilah bersujud seperti biasa sekiranya mampu bersujud seperti biasa.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply