Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, boleh Dato’ Seri jelaskan berkenaan tiga tahapan dan tingkatan bagi penuntut ilmu?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Bagi menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan mendulang pedoman daripada firman Ilahi dalam al-Kitab yang suci. Allah SWT berfirman:
وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِیَنفِرُوا۟ كَاۤفَّةࣰۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةࣲ مِّنۡهُمۡ طَاۤىِٕفَةࣱ لِّیَتَفَقَّهُوا۟ فِی ٱلدِّینِ وَلِیُنذِرُوا۟ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ یَحۡذَرُونَ
Maksudnya: “Dan tidak wajar bagi kaum Mu’minun itu untuk keluar semuanya pergi berperang. Namun hendaklah ada tinggal sekelompok dalam kalangan mereka yang mempelajari ilmu agama dan memberi peringatan (mengajar) kepada kaum mereka apabila mereka pulang (daripada medan perang); supaya mereka semua berada dalam keadaan berwaspada (dan bertakwa).”
(Surah al-Taubah: 122)
Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i ketika menafsirkan ayat di atas di dalam Tafsir beliau yang masyhur; menukilkan sebuah perkataan yang dinisbahkan kepada Imam al-Syafi‘i, beliau berkata:
طَلَبُ الْعِلْمِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ النَّافِلَةِ
Maksudnya: “Menuntut ilmu itu jauh lebih utama (afdhal) berbanding melaksanakan solat nafilah (solat sunat).” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 4/113)
Menuntut ilmu juga merupakan suatu kewajiban ke atas setiap Muslim dan Muslimah. Anas bin Malik RA meriwayatkan sebuah hadith yang menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu itu merupakan suatu kefardhuan (kewajiban) ke atas setiap Muslim (baik lelaki mahupun perempuan).”
Riwayat Ibn Majah (224); dinilai dha‘if oleh Imam al-Bazzar dalam al-Bahr al-Zakhkhar (1/172) dan Imam Zakariyya al-Saji seperti yang Imam al-Daraqutni nukilkan di dalam Ta‘liqat ‘ala al-Majruhin (102)
Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, Imam Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri membahagikan tahapan penuntut ilmu kepada tiga [3] peringkat sepertimana yang beliau nyatakan dalam kitab Hasyiah:
Tahap Penuntut Ilmu | Takrifan; Definisi |
Mubtadi’ (مُبْتَدِئُ) | Orang yang tidak mampu untuk melakukan taswir al-mas’alah (iaitu tidak mampu membayangkan dan mengetahui topik/bab yang dibincangkan dalam sesebuah ilmu).
Contoh: Ali tidak tahu apakah takrif Riba. |
Mutawassit (مُتَوَسِّطُ) | Orang yang mampu melakukan taswir al-mas’alah (mampu mengetahui/membayangkan bab/topik dalam sebuah ilmu), namun dia tidak mengetahui dalil-dalilnya yang digunakan oleh ulama.
Contoh: Arif mengetahui takrifan Riba dan jenis-jenis Riba beserta takrifnya satu per satu sahaja. |
Muntahi (مُنْتَهِي) atau Mutaqaddim (مُتَقَدِّمُ) | Orang yang mampu melakukan taswir al-mas’alah (mampu mengetahui/membayangkan bab/topik dalam sebuah ilmu) dan mengetahui dalil-dalilnya beserta wajah istidlal.
Contoh: Muhammad mengetahui takrifan Riba serta jenis-jenisnya satu per satu bersama dalil-dalil daripada nas syarak (al-Quran dan al-Sunnah) disertai wajah istidlal bagi setiap dalil tersebut. |
(Lihat Hasyiah al-Bajuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/34)
Kesimpulannya, kami galakkan supaya kita semua menuntut ilmu sehingga martabat kita dalam keilmuan dan makrifah menjadi semakin meningkat dan meninggi, kerana ia melazimkan peningkatan darjat dan martabat di sisi Allah SWT. Perkara ini senada dengan firman Allah di dalam al-Quran al-Karim:
یَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتࣲۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣱ
Maksudnya: “Allah akan meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kalian dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa ketinggian darjat; dan Allah Maha Mengetahui setiap apa yang kalian lakukan.”
(Surah al-Mujadalah: 11)
Imam al-Syaukani menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan, maksudnya adalah Allah SWT mengangkat orang-orang yang berilmu dengan darjat lebih sedikit yang begitu tinggi berupa pangkat kemuliaan di dunia, dan keagungan ganjaran pahala di akhirat kelak.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/226)
‘Abdullah bin ‘Abbas RAnhuma juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَقِيهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ
Maksudnya: “Seorang yang faqih (berilmu dan faham dengan baik) lebih dibenci oleh syaitan berbanding seribu orang yang hanya kuat beribadah sahaja (namun tidak berilmu).”
Riwayat al-Tirmizi (2681); Ibn Majah (222); dinilai dha‘if kerana kewujudan perawi bernama Rauh bin Junah oleh Imam Ibn Hibban dalam al-Majruhin (1/374), Imam al-Baihaqi dalam Syu ‘ab al-Iman (2/739)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”
Wallahu a‘lam.