Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya telah berdiskusi dengan beberapa kenalan tentang manusia sebelum Adam. Sudah pasti saya tidak menyetujui bahawa keturunan Adam berkahwin dengan manusia dari keturunan lain, yang saya tahu manusia hanyalah dari keturunan Adam. Saya telah memaklumkan kisah yang saya dengar dahulu, sekiranya ada manusia lain, kenapa dalam syariat Nabi Adam boleh berkahwin adik beradik. Kawan saya telah maklum pada saya yang di dalam alquran hanya sebut kisah pembunuhan dua orang anak Adam. Dan dalam ayat tersebut tidak dijelaskan nama anak Adam tersebut dan tidak beritahu kisah tentang penjodohan anak Adam. Boleh ustaz jelaskan hal ini? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab persoalan di atas, setakat kajian kami, apa yang disebutkan di dalam kitab-kitab tafsir berkenaan makhluk yang menghuni bumi sebelum Nabi Adam A.S adalah kelompok Jin.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: ‘Sesungguhnya Aku akan menciptakan makhluk pengganti di atas muka bumi yang akan menggantikan kepimpinan bumi.’ Mereka berkata: ‘(Wahai Tuhan), adakah Engkau mahu menjadikan makhluk perosak dan yang akan saling menumpahkan darah di atas muka bumi sedangkan Kami ini memuji-Mu dan menyucikan-Mu.’ Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku tahu apa yang kalian tidak tahu.’” 

(Surah al-Baqarah: 30)

Perkataan khalifah (خَلِيفَةٌ) bermaksud pengganti; iaitu yang menggantikan sesuatu yang lebih dahulu sebelumnya. Ini bermakna, sudah ada makhluk yang menetap di bumi sebelum Adam. Para mufassirin membawakan riwayat-riwayat menjelaskan bahawa makhluk itu adalah kelompok jin.

Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas mengatakan: “Antara salah satu tafsiran ayat ini adalah makhluk yang menghuni bumi sebelum Adam adalah kelompok Jin. Hal ini berdasarkan athar ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, Ibn ‘Abbas menceritakan: “Makhluk yang paling awal sekali menghuni bumi sebelum Adam adalah kelompok Jin. Namun mereka melakukan kerosakan di atasnya dan saling berbunuhan dan menumpahkan darah. Lantas, Allah mengutuskan tentera para Malaikat yang diketuai oleh Iblis ketika itu untuk memerangi mereka semua dan menghalau mereka ke pulau-pulau, laut dan pinggir bukit. Kemudian, Allah menciptakan Adam dan meletakkan Adam di bumi.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 1/478)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi berkata: “Yang dimaksudkan dengan khalifah adalah pengganti. Hal ini kerana, Adam menggantikan para Jin yang hidup di bumi sebelumnya.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/102).

Namun, semua ini dikritik oleh al-‘Allamah Tahir bin ‘Asyur sebagai rekaan para pencerita dan penglipur lara. Beliau berkata: “Ataupun sebahagian pihak memahami lafaz khalifah ini sebagai sebuah hakikat. Ini membawa kepada teori yang mengatakan bahawa wujud makhluk lain yang memakmurkan Bumi sebelum Adam, dan ia diberi nama al-Hinn dan al-Binn, dan dikatakan juga ia bernama al-Tam dan al-Ramm; semua ini menurut saya, adalah suatu sangkaan semata-mata. Orang ramai sengaja mereka-reka nama ini sepertimana mereka mencipta nama Hayyan bin Bayyan, mereka hanya menghentam kromo dan mencipta nama palsu untuk menyedapkan cerita. Hakikatnya, ia tidak wujud pun. Ini hanya rekaan penglipur lara dan tukang cerita dalam kalangan orang Parsi dan Yunani. Masyarakat Parsi mendakwa makhluk sebelum Adam yang menghuni Bumi adalah sejenis makhluk bernama al-Tamm dan al-Ramm, manakala orang Yunani pula percaya bahawa makhluk sebelum Adam adalah Titan dan Zeus, yang disangka sebagai Musytari dan pelbagai khurafat. Ini semua dinafikan oleh ayat al-Quran di atas. Hal ini kerana, Allah SWT menyebut bahawa Dia hendak terus menciptakan Adam selepas penciptaan langit dan bumi. Makna sebenar khalifah di sini adalah mengambil alih tugas yang diamanahkan Allah untuk memelihara dan memimpin Bumi selepas Allah menciptakannya.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/399)

Manusia Sebelum dan Selain Adam

Sebahagian pihak terutamanya agamawan Kristian begitu gencar cuba mencadangkan kewujudan spesies manusia yang dilabel sebagai homo sapiens sebelum Adam yang disebut sebagai non-Adamic humans. Hal ini kerana penemuan tulang-belulang dan fosil menunjukkan kewujudan manusia yang sudah berusia puluhan ribu bahkan ratusan ribu tahun lamanya menurut pengiraan kaedah pentarikhan radiokarbon. Idea pengharmonian antara prinsip agama dengan Teori Evolusi ini dipelopori oleh sebahagian agamawan moden Kristian dan pengkaji Alkitab.

Gleason Archer Jr., seorang pakar teologi Kristian dan pengkaji Alkitab berkata: 

To revert to the problem of the Pithecanthropus, the Swanscombe man, the Neanderthal and all the rest (possibly even the Cro-magnon man, who is apparently to be classed as Homo sapiens, but whose remains seem to date back at least to 20,000 BC) it seems best to regard these races as all prior to Adam’s time, and not involved in the Adamic covenant.” 

Maksudnya: “Untuk menyelesaikan polemik kewujudan pithecanthropus (Manusia Jawa), Manusia Swanscombe, Manusia Neanderthal dan semua jumpaan yang lain (termasuklah Manusia Cro-Magnon, yang turut dinilai sebagai homo sapiens dan ditemui lebih kurang 20,000 tahun Sebelum Masihi. Realiti terbaik bagi memahaminya adalah semua ini adalah terkecuali daripada zaman Adam (wujud sebelum Adam), dan tidak termasuk dalam perjanjian Adam (dan zuriatnya) dengan Tuhan.” (Lihat A Survey of Old Testament Introduction, hlm. 204-205)

John R.W Stott, agamawan Kristian neo-evangelical turut berkata: 

“[M]y acceptance of Adam and Eve as historical is not incompatible with my belief that several forms of pre-Adamic ‘hominid’ seem to have existed for thousands of years previously… It is conceivable that God created Adam out of one of them… I think you may even call some of them Homo sapiens.” 

Maksudnya: “Kepercayaan saya tentang Adam dan Hawa selaku peristiwa sejarah yang benar adalah sama sekali tidak bertentangan dengan kepercayaan saya bahawa ada hidupan mirip manusia yang telah hidup ribuan tahun sebelum Adam. Kita boleh terima bahawa Tuhan menciptakan Adam secara berasingan daripada mereka itu, hidupan mirip manusia itu kita gelarkan sekarang sebagai homo sapiens.” (Lihat Understanding The Bible (1984), hlm. 49)

Antara yang berpendapat kewujudan manusia sebelum dan selain Adam adalah pihak yang mempercayai Teori Evolusi yang diketengahkan oleh Charles Darwin, namun masih mahu mengharmonikannya dengan kepercayaan agama. Teori Evolusi kini mendominasi dan mengepalai wacana ilmu biologi kemanusiaan berkaitan asal-usul manusia. Pemikiran ini kembali dirancakkan oleh Hugh Ross, ahli astrofizik Kanada. 

Hugh Ross mendakwa: “Manusia-manusia hominids itu telah wujud jauh lebih lama sebelum Adam dan Hawa. Maka, penciptaan Adam dan Hawa adalah terpisah daripada mereka.” (Lihat The Genesis Question, hlm. 55)

Berdasarkan maklumat ini, beberapa pihak telah mengambil haluan Adamic exceptionalism mendakwa bahawa ada spesies manusia yang mengalami proses Evolusi sebelum Nabi Adam dan Hawa turun ke bumi, dan menurut mereka, inilah yang dinamakan Manusia Sebelum Adam. Mereka bahkan mendakwa, manusia-manusia yang berevolusi ini kemudian berkembang-biak bersama-sama zuriat keturunan Nabi Adam dan membentuk populasi manusia di bumi kini. 

Teori ini dipopularkan oleh Isaac La Peyrère, ahli teologi Judea-Kristian Perancis mendakwa suatu teori bahawa:

Not only did Adam come from pre-Adamic stock (rather than being formed by God from the dust of the ground), but also Cain’s wife and the inhabitants of Cain’s city came from other pre-Adamic stock.” 

Maksudnya: “Bukan sahaja Adam itu sendiri datang daripada unsur Manusia Sebelum Adam itu sendiri (berbanding ia dicipta secara langsung oleh Tuhan daripada tanah bumi), bahkan juga isteri Qabil dan penduduk di kota Qabil juga dipercayai merupakan saki-baki tinggalan Manusia Sebelum Adam ini.” (Lihat risalah Men Before Adam atau Prae-Adamitae, tahun 1655)

Maka, kita dapat ketahui bahawa yang mendalangi teori kewujudan Manusia Sebelum Adam adalah segelintir agamawan progresif dalam kalangan penganut Kristian. Namun, ia tidak pernah disambut secara popular oleh ulama Islam zaman-berzaman.

Semakan Dakwaan Manusia Sebelum Adam

Jika kita mengamati al-Quran, memang ada ayat-ayat yang difahami oleh para ulama, membawa kepada pemahaman tentang kewujudan manusia selain Nabi Adam, antaranya adalah firman Allah SWT:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الْأَرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الْأَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا

Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan juga tujuh bumi, sepertimana tujuh langit. Arahan-Nya sentiasa diturunkan kepada semua tempat tersebut, supaya kalian tahu bahawa Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan ilmu pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu.”

(Surah al-Talaq: 12)

Diriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma berkata ketika menafsirkan ayat ini:

سَبْعُ أَرَضِينَ فِي كُلِّ أَرْضٍ نَبِيٌّ كَنَبِيِّكُمْ، وَآدَمُ كَآدَمَ، وُنُوحٌ كَنُوحٍ، وَإِبْرَاهِيمَ كَإِبْرَاهِيمَ، وَعِيسَى كَعِيسَى

Maksudnya: “Tujuh bumi, setiap bumi ada nabi yang sama seperti nabi kalian di bumi ini. Adam seperti Adam kalian, Nuh seperti Nuh kalian, Ibrahim seperti Ibrahim kalian, Isa seperti Isa kalian.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (831)

Dari sudut sanad, ia dinilai sebagai dha‘if kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dikritik iaitu Syarik dan ‘Ata’ bin al-Sa’ib. 

Hadith yang semisal dengannya pula dinilai sahih sanadnya oleh Imam al-Baihaqi, namun mengandungi unsur syaz (ganjil) di dalam sanadnya, kerana perawi di dalam sanadnya yang bernama Abu al-Dhuha telah bersendirian dalam meriwayatkannya dan tidak disokong oleh perawi yang lain. Kesimpulannya, sanad kedua-duanya tidak lekang daripada kritikan dan sesuatu yang menghalang kejituannya. (Lihat al-Asma’ wa al-Sifat, 2/268).

Seterusnya, Imam Ibn Kathir membawakan riwayat Imam Ibn Abi al-Dunia dalam kitab al-Tafakkur wa al-I’tibar berupa athar daripada ‘Uthman bin Abu Darhasy yang meriwayatkan bahawa:

بَلَغَنِي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْتَهَى إِلَى أَصْحَابِهِ وَهُمْ سُكُوتٌ لَا يَتَكَلَّمُونَ فَقَالَ: «مَا لَكَمَ لَا تَتَكَلَّمُونَ؟» فَقَالُوَا: نَتَفَكَّرُ فِي خَلْقِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ: «فَكَذَلِكَ فَافْعَلُوا تَفَكَّرُوا فِي خَلْقِ اللَّهِ وَلَا تَتَفَكَّرُوا فِيهِ فَإِنَّ بِهَذَا الْمَغْرِبِ أَرْضًا بَيْضَاءَ نُورُهَا سَاحَتُهَا- أَوْ قَالَ سَاحَتُهَا نُورُهَا- مَسِيرَةَ الشَّمْسِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا بِهَا خَلْقٌ مِنْ خَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى لَمْ يَعْصُوا اللَّهَ طَرْفَةَ عَيْنٍ قَطُّ» قَالُوا: فَأَيْنَ الشَّيْطَانُ عَنْهُمْ؟ قَالَ: «مَا يَدْرُونَ خُلِقَ الشَّيْطَانُ أَمْ لَمْ يُخْلَقْ؟» قَالُوا: أَمِنْ وَلَدِ آدَمَ؟ قَالَ «لَا يَدْرُونَ خُلِقَ آدَمُ أَمْ لَمْ يُخْلَقْ؟

Maksudnya: “Telah sampai kepadaku bahawa Rasulullah SAW melintasi sebahagian sahabatnya yang duduk berdiam diri dan tidak berbual suatu apa pun. Maka Rasulullah bertanya mereka: ‘Mengapa kalian tidak bersuara?’ Para sahabat berkata: ‘Kami sedang berfikir tentang ciptaan Allah.’ Rasulullah bersabda: ‘Jika begitu, maka silakan. Fikirlah tentang keagungan ciptaan Allah, jangan fikir tentang Zat-Nya. Sesungguhnya di bahagian Barat bumi ini, ada sebuah tempat yang putih tanahnya, bersinar cahaya putih jua tempat itu seperti tanahnya, jarak ke arahnya adalah sepanjang 40 hari siang, di situ ada sebuah makhluk yang mentaati Allah dan tidak pernah memaksiati-Nya walau sekelip mata.’ Para sahabat bertanya: ‘Adakah syaitan tidak ganggu mereka?’ Nabi menjawab: ‘Mereka tidak tahu adakah syaitan itu diciptakan atau tidak.’ Mereka juga bertanya: ‘Adakah mereka itu merupakan zuriat keturunan Nabi Adam?’ Nabi bersabda: ‘Mereka juga tidak tahu adalah Adam itu diciptakan atau tidak.’”

Namun, hadith ini merupakan hadith mursal kerana ‘Uthman bin Abu Darhasy bukan seorang sahabat Nabi SAW, dan riwayat ini berstatus munkar oleh Imam Ibn Kathir. (Lihat Tafsir Qur’an al-‘Azim, 8/179)

Maka, semua riwayat yang disangka sebagai dalil kewujudan manusia selain Adam adalah lemah dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah yang kuat. Apatah lagi untuk mendakwa kewujudan manusia sebelum Adam, ia lebih jauh dan tidak disebutkan di dalam riwayat di atas.

Fatwa-Fatwa Badan Berautoriti

1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2019)

Menurut artikel al-Afkar: Adakah Wujud Manusia Lain Sebelum Nabi Adam AS bertarikh 29 April 2019 yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menegaskan bahawa:

“Secara tuntasnya, kami menyatakan bahawa tidak wujud umat manusia lain sebelum penciptaan Nabi Adam AS. Adapun firman Allah SWT yang seolah-olah menggambarkan bahawa telah wujud satu kaum manusia sebelum Baginda, maka ia ditafsirkan dengan satu bangsa daripada kalangan jin, sebagaimana riwayat yang disebut oleh para ulama tafsir. Mereka merupakan satu bangsa yang banyak berbuat kerosakan dan menumpahkan diri di bumi, dan dari sejarah bangsa jin inilah para malaikat mengqiyaskannya dengan manusia, dan mengetahui manusia akan mengulangi sikap yang sama dengan jin.

Namun terdapat juga sebab lain yang dikemukakan oleh para ulamanya, antara malaikat mendapat perkhabaran terus daripada Allah SWT, atau malaikat mendapat maklumat daripada Luh Mahfuz yang memperlihatkan kefasadan yang dilakukan oleh manusia.”

2. Fatwa Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdallah bin Baz

Syeikh Abd al-Aziz bin Baz berfatwa apabila ditanya berkenaan perkara ini: “Perkara tidak mempunyai sebarang asas, bahkan ia merupakan salah satu kepercayaan khurafat. Tiada manusia pun sebelum Adam.”

3. Fatwa Syeikh Dr. Muhammad Soleh al-Munajjid dan pasukan seliaannya 

Artikel berkenaan Wujudkah Manusia Sebelum Adam? yang diterbitkan di IslamQA pada 8 Januari 2007 menyatakan bahawa: “Tidak wujud sebarang rekod di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah yang membuktikan kewujudan sebarang hidupan yang menghuni di atas muka bumi sebelum penurunan Nabi Adam AS; yang ada hanyalah perkataan sebahagian ulama Tafsir dalam kalangan para Sahabat dan Tabi’in.”

Manakala di dalam kiriman fatwa di laman IslamWeb bertarikh 13 April 2009, Syeikh Soleh al-Munajjid menegaskan sekali lagi di dalam jawaban beliau bahawa: “Tiada sesiapa pun manusia lain atas muka bumi sebelum Nabi Adam AS, kerana baginda merupakan bapa induk kepada seluruh umat manusia.”

4. Syeikh Dr. ‘Uthman al-Khamis

Syeikh ‘Uthman al-Khamis menjawab: “Yang zahir daripada nas dan dalil al-Quran, bahawa tiada manusia lain sebelum Nabi Adam AS.”

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa kewujudan manusia sebelum Adam dan selain keturunan Adam tidak dapat dipastikan menerusi dalil-dalil al-Quran dan hadith yang sahih, sebaliknya riwayat-riwayat berkenaannya pula difahami secara salah bahkan berstatus dha‘if dan lemah. 

Apatah lagi, kejahilan mengenainya tidaklah mengakibatkan seseorang itu mendapat hukuman dan tidak juga memberi kesan ke atas iman orang yang beriman kerana ia bukanlah termasuk dalam perkara-perkara akidah yang dipertanggungjawabkan oleh agama. Justeru, meninggalkan daripada menyibukkan untuk membahaskan mengenainya adalah jauh lebih baik. Cukuplah kita mengetahui, manusia kesemuanya adalah anak-anak Adam Manakala, Adam pula diciptakan daripada tanah secara langsung oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:

النَّاسُ كُلُّهُمْ بَنُو آدَمَ، وَآدَمُ خُلِقَ مِنْ تُرَابٍ

Maksudnya: “Manusia itu semuanya anak-anak Adam, dan Adam diciptakan daripada tanah.”

Riwayat Abu Daud (5116) dan al-Tirmizi (4299)

Insya Allah, dalam isu ini, kami akan membuat kajian demi kajian dari semasa ke semasa bagi menemukan hakikat yang sebenarnya. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَزِدْنَا عِلْمَا

Maksudnya:Ya Allah, ajarkanlah kami ilmu yang memberi manfaat buat kami, dan manfaatkanlah apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami dan tambahkanlah ilmu kami.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply