Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum solat dengan pakaian yang terkena air Mani?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أَفَرَأَيْتُم مَّا تُمْنُونَ (58) أَأَنتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ (59)
Maksudnya: “(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?”
(Surah al-Waqi’ah: 58-59)
Ibn Kathir menyebut: “Maksud ayat itu, “Apakah kamu yang menetapkan air mani itu di dalam rahim, dan mencipta anak di dalamnya, atau Kamilah yang menjadi Penciptanya?” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/223)
Air mani manusia dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa air mani manusia adalah suci di sisi ulama mazhab Syafi‘i. Inilah pendapat yang tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafi‘i adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir. Selain itu, pendapat ini juga — yakni air mani manusia adalah suci merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad yakni dalam mazhab Hanbali.
Kesucian air mani itu adalah berdasarkan hadith yang menceritakan mengenai cara membersihkannya dengan cara menggosoknya. Jika air mani itu dianggap sebagai najis, maka tidak cukup sekadar membersihkannya dengan cara menggosoknya sebagaimana darah, air mazi dan selainnya — yang perlu dibasuh dengan air.
Adapun perkataan Aisyah R.Anha “إِنَّمَا كان يُجْزِئُكَ” yakni sekalipun secara zahirnya menunjukkan kepada wajib. Namun, ia dapat difahami sebagai sesuatu yang digalakkan (sunat) kerana beliau sendiri (yakni Aisyah R.Anha) berhujah dengan perkataan al-Fark (yakni membersihkan air mani itu dengan cara menggosoknya). Kalaulah membasuh air mani itu adalah wajib, maka sudah tentu perkataannya itu merupakan hujah ke atasnya dan bukannya hujah bagi pihaknya. Sebenarnya Aisyah R.Anha ingin mengingkari perbuatan lelaki itu yang membasuh keseluruhan pakaiannya. Justeru, beliau menyebutkan bahawa membasuh keseluruhan pakaian — yang terkena air mani itu — adalah bidaah yang tercela, sebaliknya cukup bagi engkau untuk mendapatkan yang afdhal dan sempurna begini dan begini. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/554). Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili juga selepas menukilkan kedua-dua pendapat (iaitu yang berpendapat ia adalah suci dan yang berpendapat ia adalah najis) berserta dalil-dalilnya turut membuat kesimpulan bahawa menurutnya pendapat yang paling kuat (yakni rajih) ialah pendapat yang menyatakan kesuciannya, sehingga tidak memestikan daripadanya yakni pendapat yang menyatakan kenajisannya merupakan asal usul manusia dan memudahkan ke atas umat manusia. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/316).
Sekalipun air mani dianggap suci, namun kita digalakkan (sunat) untuk membersihkan badan atau pakaian yang terkena air mani itu berdasarkan hadith-hadith yang sahih yang terdapat dalam sahih al-Bukhari dan Muslim berkenaan perbuatan Aisyah R.Anha yang telah membasuh air mani pada pakaian Rasulullah SAW. Hal ini adalah bertujuan untuk keluar daripada khilaf ulama yang menyatakan mengenai kenajisannya — yakni air mani itu. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/553-554).
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan air mani dihukum tidak najis namun dikira sebagai suatu yang kotor. Oleh itu, disunatkan untuknya basuh bahagian yang terkena air mani itu sehingga hilang kesannya, sebelum dipakai dalam solat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”