Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, maksud Jund al-Gharbi berdasarkan hadith Nabi SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada ‘Amr bin al-Hamiq R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
تَكُونُ فِتْنَةٌ أَسْلَمُ النَّاسِ فِيهَا أَوْ قَالَ: خَيْرُ النَّاسِ فِيهَا الْجُنْدُ الْغَرْبِيُّ
Maksudnya: “Akan terjadi fitnah (ujian), dan orang-orang yang selamat pada saat itu adalah pasukan dari wilayah Barat,” atau Baginda juga bersabda, “Sebaik-baik manusia pada saat itu adalah pasukan dari wilayah Barat.”
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bazzar (2311), at-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8740), dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/448), daripada hadith Amr bin al-Hamiq R.A. Al-Hakim mengatakan: “Hadith ini mempunyai sanad yang sahih.”
Syeikh al-Azhar Dr. Ahmad al-Tayyib berkata: “Dan tentera Barat – sebagaimana dijelaskan oleh ulama’ yang mensyarahkan hadith merujuk kepada tentera Mesir,” berdasarkan riwayat hadith itu sendiri yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin al-Hamiq yang berhijrah ke Mesir dan meninggal dunia di sana, dengan harapan bahawa dia adalah sebahagian dari tentera Barat yang dipuji oleh Nabi SAW.
Hadith ini berdasarkan pendapat saya adalah salah satu mukjizat daripada mukjizat kenabian Nabi Muhammad SAW; kerana hadith ini berbicara tentang fitnah yang akan menimpa orang Arab dan orang Islam, dan kemudian ia berbicara tentang satu tentera yang selamat dalam fitnah ini, iaitu tentera Barat, dan ia merupakan tentera Mesir. Dan lihatlah, wahai tuan-tuan! – apa yang terjadi baru-baru ini kepada tentera Arab daripada fitnah yang mengacau dan merobohkannya, memecah belahkannya, dan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang bertelagah, dan batalion-batalion yang saling memusnahkan, setelah sebelumnya setiap tentera di antaranya berdiri di bawah satu bendera, mengikuti satu pemimpin, dan bersatu di bawah satu arahan.
Peristiwa ini berlaku pertama kali dalam tentera Iraq, dan fitnah terus berkekalan dengan kejahatan dalamnya sehingga kini. Hal ini juga berlaku di dalam tentera Syria, tentera Libya, dan tentera Yaman. Rancangan fitnah ini adalah untuk melengkapkan lingkaran agar tentera Arab terbesar di rantau ini roboh, termasuk tentera Mesir yang agung. Namun, seperti yang telah dikhabarkan oleh Nabi SAW, Allah SWT melindungi mereka daripada fitnah ini, dan mereka keluar daripadanya dengan selamat, tidak terjejas, menidakkan semua rancangan yang telah diusahakan dengan tenaga, perhatian, dan harta yang sukar digambarkan oleh sesiapa.
- Ya, diketahui bahawa tentera Mesir menolak untuk terlibat dalam campur tangan asing dan tetap kukuh dengan keutuhannya dan imannya di hadapan fitnah ini yang cuba merosakkan mereka melalui pelbagai cara. Mereka bersikap tegas dan tidak mudah diperalat ke dalam nasib malang yang menimpa tentera-tentera besar di sekeliling kita. Tentera Mesir juga menentang projek pembahagian dan fragmentasi dunia Arab, yang merupakan projek kolonial terbesar sejak perjanjian “Sykes-Picot” pada tahun 1916 Masihi dalam abad yang lalu.
- Dan patut diingat bagi tentera ini bahawa mereka telah menjaga darah rakyat Mesir dan mempertahankan revolusi mereka daripada bahaya yang mengancam banyak revolusi lain; termasuk pertumpahan darah, perang saudara, dan penghancuran serta kerosakan terhadap struktur negara.
Perlu ditegaskan di sini bahawa ketahanan sejarah ini disokong oleh tentera yang setia seperti singa-singa pemecah, dengan kekuatan, dan keberanian, serta pemimpin-pemimpin yang setia yang sentiasa berjaga-jaga untuk melindungi tanah air yang tercinta ini, serta menjaga kesatuan, keselamatan rakyat dan wilayahnya. Dan di sebalik semua ini, terdapat rakyat Mesir yang akarnya terus membentang dalam sejarah peradaban lebih dari 7000 tahun, yang selalu tegak dengan kepala yang tinggi, yang hanya mengenal kehormatan dan kemuliaan, serta hanya menyimpan kasih sayang, keamanan, dan perdamaian. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 3/96-97)
Kami juga berpendapat tatkala tentera Mongol atau Tatar meratah negara Islam dengan tumbangnya kota Baghdad dan kerajaan Abbasiyyah tetapi benteng terakhirnya adalah Mesir yang ketika itu dipimpin oleh Qutuz.
Tentera Tatar telah mara hampir ke Turki, ke Palestin, Syria tetapi Allah bangkitkan seorang tokoh yang luar biasa, Qutuz Rahimahullah yang akhirnya pertempuran yang dahsyat telah mengalahkan tentera Tatar buat kali pertama selepas kemaraan mereka serta kezaliman dan keganasan mereka.
Peperangan Ain Jalut berlaku pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260 Masihi. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang hebat di antara kerajaan Islam Mamalik Mesir dan tentera Mongol.
Kekuatan Tentera Islam Mamalik dicatatkan sekitar 20,000 sehingga 50,000 orang. Manakala tentera Mongol pula adalah sekitar 20,000 tentera. (Lihat ‘Ain Jalut bi Qiyadah al-Malik al-Muzaffar Qutuz oleh Dr. Shauqi Abu Khalil, hlm. 74 dan Qissah al-Tatar min al-Bidayah hatta ‘Ain Jalut oleh Dr. Raghib al-Sirjani, hlm. 245)
Tentera Mongol sangat terkenal dengan kekuatan mereka dari sudut ketenteraan. Sifat mereka yang hidup secara nomad membentuk sifat dan kekuatan fizik mereka. Proses yang alami ini menjadi satu proses latihan ketenteraan bagi pasukan Mongol. (Lihat The Mongol oleh David Morgan, hlm. 84)
Sultan Qutuz telah memainkan peranan yang penting dalam menyatukan kekuatan bagi menghadapi tentera Mongol termasuklah menyelesaikan isu ketamakan sebahagian daripada pembesar yang berniat untuk merampas takhta Mesir dari tangannya. Seterusnya beliau mengambil langkah selanjutnya dengan mengobarkan semangat para tentera Mamalik di Akka, Palestin yang pada awalnya menolak untuk berjihad melawan tentera Mongol. Sultan Qutuz telah memberikan pidato sebelum peperangan bermula agar seluruh tentera Islam berjuang atas nama menegakkan Islam serta memerangi kekufuran. (Lihat Mongol and Mamluks-Ilkhanid War, hlm. 39)
Akhirnya setelah berlangsungnya pertempuran yang dahsyat di sebuah kawasan bernama Ain Jalut, pasukan Mamalik yang dipimpin panglima tenteranya Baibars telah berjaya meraih kemenangan yang gemilang. Tentera-tentera Islam yang telah memenangi peperangan tersebut lantas mengejar tentera Mongol. Sultan al-Muzaffar Qutuz kemudiannya telah mengirimkan berita berkenaan kemenangan yang diraih dalam pertempuran tersebut ke Damsyiq. (Lihat Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti, hlm. 556)
Kemenangan tersebut selepas pertempuran yang berlangsung selama tiga hari telah memberi tamparan yang cukup hebat kepada tentera Mongol yang sangat terkenal dengan sifatnya yang ganas dan buas. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 13/258-260.
Hasil kemenangan ini telah berjaya memberi pukulan maut terhadap pasukan Mongol lantas sedikit sebanyak mengekang misi perluasan dan penawanan wilayah oleh tentera Mongol.
Kemenangan tersebut juga telah menjadikan kerajaan Mamalik sebagai harapan umat Islam di sekitarnya. Kepercayaan dan taat setia oleh pemerintah-pemerintah Syria lantas diberikan terhadap pemerintah Mamalik. Kemenangan tersebut juga merupakan balasan terhadap bangsa Mongol yang telah menghancurkan Baghdad sebagai pusat pemerintahan Islam sebelumnya. (Lihat al-Sultan Saif al-Din Qutuz wa Ma’rikah ‘Ain Jalut fi ‘Ahd al-Mamalik oleh Muhammad ‘Ali al-Salabi untuk maklumat lanjut)
Dikatakan riwayat yang masyhur bahawa jumlah tentera Tartar seramai 20,000 orang yang dipimpin oleh Katija sebagai wakil dan jumlah yang terbunuh dari kalangan tentera Mongol dalam pertempuran tersebut adalah hampir semua tenteranya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”