Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah tafsiran ayat 17 Surah al-Ghasyiah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ
Maksudnya: “Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?”
(Surah al-Ghasyiah:19)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa seorang Muslim dituntut untuk merenung dan berfikir tentang ciptaan Allah SWT di muka bumi. Ini kerana dengan merenung ciptaan Allah, seperti gunung-ganang dan fenomena alam lainnya, ia adalah satu bentuk ibadah yang dapat memperkuat iman dan keyakinan kita terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah. Ia juga merupakan cara untuk lebih memahami tanda-tanda kekuasaan Allah dalam kehidupan kita sehari-hari.
Firman Allah SWT:
وَالْجِبَالَ أَوْتَادًا
Maksudnya: “Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?”
(Surah al-Naba’: 7)
Ibn Kathir berkata: “Dan Allah jadikan gunung-ganang dan bukit-bukau sebagai pasak untuk menstabilkan bumi sehingga menjadi tetap tanpa sebarang goncangan dan goyang bagi sesiapa yang berada di atas bumi.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/459)
Berkaitan dengan ayat di atas kami nyatakan tafsiran ulama sebagaimana yang berikut:
- Al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan: Bagaimana gunung-ganang ditegakkan di atas bumi sehingga ia tidak bergerak? Yang demikian kerana bumi, setelah dibentangkan, ia bergetar maka, Allah menegakkannya dengan gunung-ganang. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 20/36)
- Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa: mengenai gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan dengan bentuk yang menakjubkan, yang stabil dan tidak bergoyang. Allah juga telah meletakkan pelbagai manfaat yang besar di dalamnya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.922)
- Al-Alusi pula menyebutkan: “Ia diletakkan dalam kedudukan yang stabil, yang membolehkan ia tetap tegak tanpa condong atau goyang, dan memudahkan untuk naik ke tempatnya.” (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 15/329)
- Al-Nasafi menyatakan bahawa: mengenai gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan dengan teguh, sehingga ia kukuh dan tidak condong, walaupun ia tinggi. Begitu juga dengan “al-Namariq”. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Takwi, 3/635)
Justeru, ayat ini mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah dalam mencipta dan menegakkan gunung-ganang. Ini membantu kita mengagumi kebesaran ciptaan-Nya dan mengakui betapa hebatnya ciptaan Allah SWT. Keindahan, kekuatan, dan fungsi gunung-gunung ini tidak mungkin terjadi secara kebetulan, tetapi adalah hasil ciptaan yang sempurna dari Allah SWT, yang mengatur segala-galanya dengan kebijaksanaan-Nya.
Oleh yang demikian, dengan merenung ciptaan Allah seperti gunung-ganang ini, ia bukan sahaja memperkukuhkan keyakinan kita kepada-Nya, tetapi juga mengajar kita untuk sentiasa bersyukur dan menghargai segala nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam.