Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah metode al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah diterima di dalam Islam? Terima kasih. 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab persoalan yang diajukan kepada kami di atas, kami dahulukan dengan membawa potongan ayat suci al-Quran al-Karim sebagai pedoman buat kita bersama. Allah SWT berfirman di dalam Kitab-Nya:

﴿شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّى بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَنْ يُنِيبُ﴾

Maksudnya: “Telah disyariatkan sebuah agama kepada kalian, iaitu agama yang diwasiatkan oleh Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu; begitu juga apa yang Kami arahkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, bahawa hendaklah kalian menegakkan agama ini dan janganlah berpecah-belah dalam melaksanakannya. Orang-orang Musyrik itu amat sukar untuk menerima apa yang kalian serukan ini. Allah-lah yang memilih sesiapa yang memasukinya dalam kalangan sesiapa yang Dia hendaki, dan Allah-Lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang ingin kembali (kepada-Nya).”

(Surah al-Syura: 13)

Ayat di atas melarang perpecahan, penyimpangan dan perbezaan di atas dasar hawa nafsu dan kesesatan. Perkara inilah yang merosakkan umat-umat Nabi terdahulu. Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata ketika menafsirkan ayat di atas ini dalam tafsir beliau bahawa maksudnya, janganlah kalian berpecah-belah dalam urusan agama yang diarahkan kepada kalian untuk beramal dengannya; sepertimana berpecahnya pengikut-pengikut agama yang lain sebelum kalian.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 20/481)

Justeru, umat Islam wajib bersatu dan wajib kembali kepada pegangan yang disepakati bersama iaitu al-Quran dan al-Sunnah; dalam setiap gerak kerja untuk melaksanakan agama dan menegakkannya. Allah SWT berfirman:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah dengan erat pada tali Allah secara bersatu padu dan janganlah kalian berpecah-belah.”

(Surah Ali ‘Imran: 103)

Tali Allah adalah agama Allah, yang terkandung di dalam al-Quran dan merupakan kebenaran seluruhnya. Imam Ibn Jarir al-Tabari menafsirkan ayat di atas khususnya berkenaan mafhum Tali Allah di dalam ayat tersebut menerusi nas beliau: “Yang dimaksudkan oleh Allah SWT menerusi ayat di atas adalah berpautlah pada asbab-asbab yang ditetapkan oleh Allah SWT secara beramai-ramai. Makna yang dikehendaki-Nya adalah berpegang eratlah pada agama Allah yang diarahkan supaya kalian menganutnya, janji Allah yang telah kalian pegang sepertimana yang telah termaktub di dalam Kitab-Nya (al-Quran); berupa kasih-sayang dan perpaduan di atas Kalimat Kebenaran, dan berserah sepenuhnya kepada keputusan Allah.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 5/643)

Manakala kalimat kebenaran itu hanya berlegar di dalam ruangan Kitabullah iaitu al-Quran al-Karim beserta Sunnah Rasulullah iaitu hadith-hadith baginda Nabi Muhammad SAW; inilah pedoman yang wajib disepakati bersama buat sekalian umat Islam. Sebuah aliran itu diiktiraf sebagai benar, apabila menepati al-Quran dan al-Sunnah dengan tafsirannya yang muktabar di sisi para ulama.

Allah SWT berfirman berkenaan kewajiban kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا 

Maksudnya: “Jika kalian berselisih pendapat tentang sebuah perkara, maka kembalikanlah perkara tersebut kepada Allah dan Rasul-Nya; sekiranya benar kalian beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih baik dan lebih elok natijahnya.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Dalam menafsirkan ayat di atas, Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Imam ‘Ata’ bin Abu Rabah, beliau menafsirkan ayat di atas sebagaimana katanya: “Mentaati Rasul; adalah dengan mengikuti pedoman al-Kitab (al-Quran) dan al-Sunnah.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 7/175)

Berhubung dengan kemusykilan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Al-Asya‘irah adalah aliran yang diasaskan oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari; ‘Ali bin Isma‘il bin Ishaq al-Basri al-Asy‘ari (w. 324H) daripada keturunan Sahabat Rasulullah SAW, Abu Musa al-Asy‘ari. Beliau merupakan seorang tokoh ilmuan Akidah di Basrah. Beliau mengarang kitab-kitab penting dalam ilmu Akidah dan Usuluddin seperti kitab al-Ibanah, Maqalat al-Islamiyyin dan al-Luma‘.

Aliran al-Asya‘irah ini diasaskan untuk membela akidah dan mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah berteraskan al-Quran dan al-Sunnah yang diwarisi oleh para ulama Muhaddithin dan Fuqaha’ dalam kalangan Salafussoleh. Majoriti yang mengikuti mazhab al-Asy‘ari adalah ulama-ulama mazhab Maliki dan mazhab al-Syafi‘i.

Adalah merupakan suatu realiti dan fakta yang tidak dapat disangkal lagi bahawa mazhab al-Asya‘irah hanya menuruti manhaj para Ahli Hadith dalam kalangan Salaf. Imam Ibn ‘Asakir meriwayatkan bahawa Imam Abu Bakr al-Baihaqi berkata:

“Sehinggalah kemasyhuran itu dikurniakan kepada Syeikh kami, Abu al-Hasan al-Asy‘ari dan beliau tidak mereka benda baharu dalam agama Allah, dan tidak membuat sebarang bidaah; bahkan beliau hanya mengambil pendirian-pendirian para Sahabat Nabi dan para Tabi’in serta para ulama yang datang selepas mereka dalam kalangan para Imam dalam bidang Usuluddin, lantas beliau membelanya dengan tambahan, penjelasan dan penerangan yang jelas. Beliau (al-Asy‘ari) menegaskan bahawa segala pendirian Salaf dan sekalian yang dikhabarkan di dalam nas-nas Syarak adalah sahih dari sudut akal juga, berbeza dengan pendirian ahli bidaah yang mendakwa bahawa sebahagian intipati nas Syarak dan pegangan Salaf tidak boleh diterima oleh logik akal. Penjelasan beliau merupakan penguat yang baharu kepada Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, serta pembela kepada pendirian para Imam yang terdahulu semisal Abu Hanifah dan Sufyan al-Thauri dalam kalangan ahli Kufah, al-Auza‘i dan lain-lain dalam kalangan ahli Syam, Malik, al-Syafi‘i dan lain-lain dalam kalangan ahli Dua Tanah Suci (Haramain), dan para ulama yang menuruti langkah mereka baik di Hijaz mahupun di lain-lain tempat; seperti Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama dalam kalangan Ahli Hadith, al-Laith bin Sa‘d dan lain-lain, begitu juga Abu ‘Abdillah Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Naisaburi; Imam kepada Ahli al-Athar dan para huffaz Sunnah Rasulullah yang merupakan sumber utama dan muara bagi syariat Islam keseluruhannya.” (Lihat Tabyin Kazib al-Muftari, hlm. 103)

Mazhab al-Asya‘irah adalah warisan mazhab Salafussoleh. Imam Tajuddin al-Subki menegaskan perkara ini ketika beliau menjelaskan berkenaan aliran al-Asya‘irah atau al-Asy‘ariyyah yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Asy‘ari, di mana beliau berkata:

“Ketahuilah bahawasanya Abu al-Hasan tidak membuat bidaah dalam pegangan dan tidak membuat mazhab yang baharu pun sebenarnya, yang beliau lakukan adalah menegaskan pendirian para ulama Salaf, yang diwarisi daripada para Sahabat Rasulullah; menisbahkan diri kepadanya hakikatnya bermaksud menisbahkan diri kepada jalan para Salaf dari segenap aspek, berpegang teguh dengannya dan membelanya dengan hujah dan bukti yang nyata, maka orang yang berpegang dengan semua ini dalam pendalilan dan penghujahan akan digelar seorang pengikut mazhab Asy‘ari.” (Lihat Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 3/365)

Manakala, al-Maturidiyyah pula adalah aliran yang sama seperti al-Asya‘irah, yang diasaskan oleh Imam al-Huda; Abu Mansur al-Maturidi, Muhammad bin Muhammad bin Mahmud (w. 333H); di wilayah Samarqand. Majoriti ulama yang berpegang dengan mazhab al-Maturidi adalah ulama mazhab Hanafi.

Imam al-Murtadha al-Zabidi menjelaskan peribadi Imam al-Maturidi, berkata:

“Beliau adalah Imam yang agung, pembela agama, penguat akidah Ahli al-Sunnah, membantah puak Muktazilah dan ahli-ahli bidaah yang lain dalam banyak siri perdebatan bersama mereka, dan membungkam mereka sehingga mereka terdiam. Beliau digelar Imam al-Huda iaitu Pemimpin ke arah Petunjuk.” (Lihat Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 2/5)

Syeikh Abu al-Hasanat al-Laknawi berkata berkenaan peribadi Imam al-Maturidi:

“Beliau (al-Maturidi) adalah Imam kepada sekalian ahli Kalam, pensahih akidah umat Islam, menuntut ilmu daripada Abu Bakr Ahmad al-Juzjani, daripada Abu Sulaiman al-Juzjani daripada Muhammad. Begitu juga al-Hakim al-Qadhi Ishaq bin Muhammad al-Samarqandi, ‘Ali al-Rustughfani dan Abu Muhammad ‘Abd al-Karim bin Musa al-Bazdawi pernah belajar dengan beliau. Selain itu, beliau juga ada mengarang kitab-kitab yang hebat, dan membantah pegangan akidah orang-orang yang batil dan sesat.” (Lihat al-Fawa’id al-Bahiyyah fi Tarajim al-Hanafiyyah, hlm. 195)

Semua persaksian para ulama menyaksikan bahawa mazhab al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah merupakan pembela Sunnah Rasulullah dan manhaj Salafussoleh, membantah ahli bidaah seperti Muktazilah, Jahmiyyah dan ahli Falsafah yang kafir. Kedua-dua aliran ini bukan sahaja menepati ajaran Islam yang sahih bahkan sesungguhnya, merekalah benteng yang mempertahankan Islam dengan begitu kukuh dan ampuh.

Kesimpulannya, kami nyatakan bahawa aliran al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah merupakan mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Aliran al-Asya‘irah digagaskan oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari, manakala aliran al-Maturidiyyah diasaskan oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi. Kedua-dua tokoh ini membela akidah dan pegangan Manhaj Salafussoleh dengan hujah-hujah berupa dalil naqli dan aqli yang tersusun kemas. Sudah tentu kedua-dua aliran ini bertepatan dengan manhaj kebenaran yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Majoriti ulama umat Islam zaman-berzaman memilih untuk berakidah dengan salah satu akidah ini.

Kami akhiri dengan kalam Imam al-Murtadha al-Zabidi dalam Syarah al-Ihya’:

“Hendaklah engkau tahu bahawa kedua-dua Imam ini, iaitu Abu al-Hasan (al-Asy‘ari) dan Abu Mansur (al-Maturidi), dan semoga Allah membalas kebaikan yang mereka persembahkan buat agama Islam; tidaklah membuat pendapat atau pegangan baharu, atau mendirikan sebuah mazhab yang asing, mereka hanya menegaskan pendirian para ulama Salaf, dan mempertahankan segala pegangan para Sahabat Rasulullah SAW, dan mereka berdebat membelanya, untuk membungkam dan mengalahkan ahli bidaah dan kesesatan sehingga mereka kalah dan berundur dalam keadaan hancur binasa (hujah-hujahnya).” (Lihat Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 7/2)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ الهُدَى والتُّقَى والعَفَافَ وَالغِنَى

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dari-Mu; petunjuk, ketakwaan, sifat menjaga diri daripada sebarang kehinaan, dan sifat tidak memerlukan selain-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply