Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bagaimanakah cara untuk kita menjadi anak yang baik dan soleh, serta tidak derhaka kepada kedua ibu bapa?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa merupakan suatu tuntutan ke atas setiap insan, bahkan ia merupakan tuntutan naluri dan fitrah tanpa mengira agama. Allah SWT menegaskan berkenaan perkara ini menerusi firman-Nya:
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَنْ كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
Maksudnya: “Dan sembahlah Allah, dan janganlah menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun. Dan berbuat baiklah dengan kedua-dua ibu bapa; serta kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran-jiran tetangga yang merupakan keluarga dan jiran bersebelahan rumah serta sahabat peneman di sisi, begitu juga dengan orang yang datang dari jauh dan hamba-hamba kepunyaan kalian. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang bersikap sombong dan berbangga diri.”
(Surah al-Nisa’: 36)
Berbuat baik kepada ibu bapa merupakan amalan yang paling dititikberatkan oleh Allah SWT selepas arahan beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun. Berbakti kepada ibu bapa merupakan kesempurnaan Tauhid seseorang.
Imam Ibn Kathir al-Dimasyqi menafsirkan ayat suci di atas seraya mengulas berkenaannya: “Kemudian, (Allah) mengarahkan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa; kerana Allah SWT menjadikan kedua-dua mereka sebagai sebab utama kepada keluarnya engkau daripada tiada kepada ada (wujud). Di dalam al-Quran, banyak kali Allah SWT menggandingkan antara arahan menyembah-Nya dengan arahan berbuat baik dengan ibu bapa, seperti firman-Nya: “أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ” (Hendaklah kalian mensyukuri-Ku dan kepada kedua ibu bapamu) [Surah Luqman: 14], dan firman-Nya: “وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا” (Dan Tuhanmu telah mengarahkan agar tidak menyembah sesiapa melainkan Dia sahaja dan (supaya) berbuat baik kepada kedua ibu bapa) [Surah al-Isra’: 23] .” (Lihat Tafsir Quran al-‘Azim, 3/99)
Menderhakai kedua ibu bapa pula merupakan salah satu dosa besar yang wajib dan mesti dihindari oleh setiap Muslim dan Muslimah. Rasulullah SAW bersabda:
أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَقَتْلُ النَّفْسِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ، وَقَوْلُ الزُّورِ، أَوْ قَالَ: وَشَهَادَةُ الزُّورِ
Maksudnya: “Dosa yang paling besar di sisi Allah adalah mensyirikkan Allah, kemudian membunuh nyawa yang tidak bersalah, kemudian menderhakai kedua ibu bapa, kemudian berdusta, atau memberi kesaksian palsu.”
Riwayat al-Bukhari (2919)
Betapa besarnya dosa menderhakai kedua ibu bapa, al-Qadhi ‘Iyadh mensyarahkan hadith di atas berkata: “Dalam riwayat lain, ada yang menyebut dosa membunuh sebagai dosa kedua terbesar selepas syirik, manakala dalam riwayat lain juga ada menyebut dosa derhaka kepada kedua ibu bapa merupakan dosa kedua selepas syirik; maka difahami daripada ini, kedua-dua dosa ini adalah sama martabatnya dan hukumannya juga sama (berat).” (Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim, 1/355)
Bersungguh-sungguh berbakti kepada kedua orang tua adalah jauh lebih utama berbanding ibadah Jihad berperang di jalan Allah yang merupakan sebuah tanggungjawab Fardhu Kifayah. ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma meriwayatkan bahawa:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW meminta izin baginda untuk keluar berjihad, maka Nabi bersabda: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Lelaki itu menjawab: “Ya.” Baginda pun bersabda: “Maka berjihadlah kamu untuk berbakti kepada kedua-duanya dahulu.”
Riwayat al-Bukhari (3004) dan Muslim (2549)
Begitu besar dan agungnya hak kedua-dua ibu bapa, sehingga syariat Islam mengaitkan antara keredhaan Allah SWT terhadap seseorang hamba-Nya itu adalah terkait dengan keredhaan ibu bapanya terhadap dirinya. ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:
رِضَا الرَّبِّ فِي رِضَا الْوَالِدِ، وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ
Maksudnya: “Redha Allah menurut redha ibu bapa, kemurkaan Allah menurut kemurkaan kedua ibu bapa.”
Riwayat al-Tirmizi (1899); al-Hakim (7249) secara marfu’; al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (2) secara mauquf; Imam al-Tirmizi dalam al-‘Ilal al-Kabir (312) menilai riwayat marfu’ sebagai dha‘if kerana Khalid bin al-Harith meriwayatkannya secara bersendirian, al-Tirmizi mengatakan: “Riwayat mauquf lebih sahih.”
Berhubung dengan soalan yang diajukan kepada kami atas, berkenaan cara untuk menjadi anak yang soleh dan tidak derhaka kepada kedua ibu bapa, kami nyatakan cara-caranya seperti berikut:
- Menjadi seorang anak yang baik dan berjaya membanggakan kedua ibu bapa
- Membantu memenuhi keperluan kedua ibu bapa menurut kadar kemampuan
- Mendoakan keampunan dan rahmat buat mereka berdua; sama ada ketika hidup mahupun selepas meninggal dunia
- Memelihara adab sopan di hadapan mereka dan menghormati mereka dengan penghormatan yang tinggi
- Sentiasa meluangkan masa untuk bersama kedua-dua ibu bapa
- Sentiasa menyahut seruan mereka apabila dipanggil dan diseru
- Sentiasa menyanjung sebutan nama ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain ketika berbicara berkenaannya dan tidak mencela kedua ibu bapa.
- Tidak menyebarkan aib atau kekurangan ibu bapa di khalayak atau sengaja mengumpat tentang mereka bersama sesiapa pun.
Berbakti kepada kedua ibu bapa merupakan penghapus dosa-dosa besar; terutamanya berbakti dan berbuat baik kepada ibu. Mu‘awiyah bin Haidah al-Qusyairi R.A meriwayatkan bahawa:
قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَنْ أَبَرُّ؟ قَالَ: «أُمَّكَ» ، قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: «أُمَّكَ» ، قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: «أُمَّكَ» ، قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: «أَبَاكَ»
Maksudnya: “Pernah ditanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, siapakah yang paling utama untuk aku berbuat baik?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayahmu.”
Riwayat Abu Daud (5139); al-Tirmizi (1897); Ahmad (20028); dinilai salih oleh Imam Abu Daud, dan dinilai sahih thabit masyhur oleh Imam Abu Musa al-Madini dalam al-Lata’if min Daqa’iq al-Ma‘arif (215)
Menyokong kenyataan di atas, diriwayatkan daripada ‘Ata bin Abi Rabah berkenaan Ibn ‘Abbas RAnhuma bahawa:
أَنَّهُ أَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ: إِنِّي خَطَبْتُ امْرَأَةً، فَأَبَتْ أَنْ تَنْكِحَنِي، وَخَطَبَهَا غَيْرِي، فَأَحَبَّتْ أَنْ تَنْكِحَهُ، فَغِرْتُ عَلَيْهَا فَقَتَلْتُهَا، فَهَلْ لِي مِنْ تَوْبَةٍ؟ قَالَ: أُمُّكَ حَيَّةٌ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: تُبْ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَتَقَرَّبْ إِلَيْهِ مَا اسْتَطَعْتَ. فَذَهَبْتُ فَسَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ: لِمَ سَأَلْتَهُ عَنْ حَيَاةِ أُمِّهِ؟ فَقَالَ: إِنِّي لَا أَعْلَمُ عَمَلًا أَقْرَبَ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ بِرِّ الْوَالِدَةِ
Maksudnya: “Ada seorang lelaki datang kepada ‘Abdullah bin ‘Abbas, dan bertanya kepada beliau: “Aku meminang seorang wanita, namun dia enggan menikahiku. Kemudian, ada lelaki lain masuk meminang wanita tersebut dan dia menerima lelaki itu. Aku pun merasa cemburu lantas aku membunuh wanita itu. Adakah aku mempunyai peluang untuk bertaubat?” (Ibn ‘Abbas) berkata: “Adakah ibumu masih hidup?” Dia berkata: “Tidak.” Lantas Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah SWt dan dekatkanlah diri kepada-Nya sedaya upaya kamu.” Maka lelaki itu pun beredar pergi. Maka aku ( ‘Ata’) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanyakan tentang hayat ibunya?” Beliau menjawab: “Aku tidak tahu amalan yang lebih mendekatkan diri kepada Allah berbanding berbakti kepada ibu.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (4); dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah (6/711)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kekuatan untuk menjadi anak yang soleh dan solehah serta berbakti kepada kedua ibu bapa serta membanggakan mereka di dunia dan di akhirat, seterusnya mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ الهُدَى والتُّقَى والعَفَافَ وَالغِنَى
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dari-Mu; petunjuk, ketakwaan, sifat menjaga diri daripada sebarang kehinaan, dan sifat tidak memerlukan selain-Mu.”
Wallahu a‘lam.