Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz ceritakan kepada kami mengenai kepentingan mempelajari atau mengetahui fiqh sirah nabawi dalam memahami agama Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya:Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat ini menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu semua (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kita semua dapat mengikutinya. Justeru, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat. Selain itu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420).

Seterusnya, seelok-eloknya kita lihat dahulu definisi “Sirah Nabawiyyah” ini. Menurut Munir al-Ghadhban, “Sirah” dari segi bahasa bermaksud sunnah, cara/jalan, keadaan dan situasi yang dialami oleh seseorang atau lain-lain.

Sirah Nabawiyyah dan kitab-kitab sirah: diambil daripada perkataan sirah yang bermaksud cara/jalan, dan merangkumi juga peperangan serta lain-lain perkara. Dikatakan, “Saya telah membaca sirah si fulan,” iaitu sejarah kehidupannya.

Dalam erti kata lain, Sirah Nabawiyyah membahaskan perkara-perkara seperti mana berikut:

Pertama: Kehidupan Rasulullah SAW dari tanda-tanda kelahirannya sehingga pemergiannya kepada al-Rafiq al-A‘la — yakni wafat.

Kedua: Kehidupan para sahabatnya yang berjuang bersamanya dan membenarkan apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada mereka.

Ketiga: Sejarah penyebaran agama ini yang bermula dengan perkataan “Iqra’” (bacalah!) di Gua Hira’, yang diturunkan oleh malaikat Jibril A.S kepada Nabi Muhammad SAW sehinggalah seluruh Jazirah Arab tunduk kepadanya, dan manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai. (Lihat Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 13).

Selanjutnya, dalam menjawab soalan di atas, cukuplah kami nukilkan kenyataan Dr. Muhammad Sa‘id Ramadhan al-Buti dalam kitabnya, Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah (hlm. 15-16) mengenai kepentingan Sirah Nabawiyyah dalam memahami Islam. Beliau menyebutkan bahawa tujuan mempelajari Sirah Nabawiyyah dan memahami fiqhnya bukan sekadar untuk mengetahui peristiwa-peristiwa sejarah atau sekadar menyampaikan kisah-kisah dan peristiwa-peristiwa menarik. Oleh itu, kita tidak sepatutnya menganggap kajian/pembelajaran fiqh Sirah Nabawiyyah sebagai sebahagian daripada pembelajaran sejarah biasa, seperti mempelajari kehidupan seorang khalifah atau zaman sejarah yang lalu.

Sebaliknya, tujuan sebenarnya adalah supaya seorang Muslim dapat memahami hakikat Islam secara keseluruhannya dan menghidupkannya dalam kehidupannya selepas memahaminya sebagai prinsip, kaedah asas, dan hukum yang abstrak dalam fikirannya. Maksudnya, mempelajari Sirah Nabawiyyah adalah satu usaha praktikal yang bertujuan untuk merealisasikan hakikat Islam sepenuhnya, dengan contoh tertinggi dalam diri Muhammad, utusan Allah.

Sekiranya kita ingin mencapai tujuan ini dan menyusun bahagian-bahagiannya, maka adalah mungkin untuk merangkumnya dalam objektif-objektif terperinci berikut:

  1. Memahami keperibadian Rasulullah SAW (nubuwwah) melalui kehidupan dan keadaan yang dilalui Baginda, untuk memastikan/menegaskan bahawa Muhammad SAW bukan sekadar seorang yang genius yang diangkat oleh kecemerlangannya dalam kalangan kaumnya. Akan tetapi lebih dari itu, beliau adalah seorang Rasul yang didukung oleh wahyu daripada Allah dan bimbingan daripada-Nya.
  2. Agar manusia mempunyai contoh teladan tertinggi dalam setiap aspek kehidupan yang mulia, untuk dijadikan pedoman yang dipegang dan dilalui. Tidak diragukan lagi, manusia, tidak kira betapa dia mencari contoh tertinggi dalam mana-mana aspek kehidupan, akan menemui semua itu dalam kehidupan Rasulullah dengan kejelasan dan kesempurnaan yang paling hebat. Oleh sebab itu, Allah menjadikannya teladan bagi seluruh umat manusia sebagaimana firman-Nya:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya:Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply