Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibolehkan mewakilkan kepada orang lain untuk menjaga barang yang diamanahkan kepadanya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا یَعِظُكُم بِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِیعَۢا بَصِیرࣰا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar menyerahkan segala amanah dan tanggungjawab kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu mengadili antara manusia, hendaklah kamu menetapkan hukuman dengan adil. Sungguh, Allah memberi sebaik-baik pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(Surah al-Nisa’: 58)
Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa: Amanah merujuk kepada segala sesuatu yang telah diamanahkan kepada seseorang dan diperintahkan untuk dilaksanakan. Allah memerintahkan hamba-Nya untuk menunaikannya dengan sempurna, tidak dikurangkan, tidak diabaikan, dan tidak ditangguhkan. Ini termasuk amanah dalam bentuk tanggungjawab, harta benda, rahsia, serta kewajipan yang hanya diketahui oleh Allah. Fuqaha’ menyatakan bahawa sesiapa yang diamanahkan dengan sesuatu, wajib menjaganya dengan baik. Mereka berkata demikian kerana amanah tersebut tidak dapat ditunaikan melainkan dengan menjaga dan melindunginya, maka itu menjadi kewajipan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.183)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa seseorang yang diberikan amanah tidak boleh mewakilkan orang lain untuk menjaga barang tersebut kecuali terdapat keuzuran. Dalam keadaan sedemikian, barang tersebut hendaklah diserahkan kepada individu yang dipercayai setelah mendapat keizinan daripada pemilik asalnya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أدِّ الأمانةَ إلى مَنِ ائتمنَكَ، ولا تخُنْ مَن خانَكَ
Maksudnya: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang mempercayaimu dan jangan engkau mengkhianati orang yang mengkhianatimu ”
Riwayat Abu Dawud (3535) dan al-Tarmizi (1264)
Al-Munawai dalam al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir (1/52) menyatakan: Amanah ialah setiap hak yang menjadi kewajipan kamu untuk menunaikannya kepada (seseorang yang) telah mempercayaimu. Oleh yang demikian, difahami bahawa seseorang yang telah diberikan amanah kepadanya tidak dibolehkan untuk melepaskan atau mewakilkan orang lain menjaga harta yang telah diamanahkan kepadanya melainkan terdapat keuzuran.
Selain itu juga perkara ini disandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata:
وَأَمَرَ -تعني رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ- عَلِيًّا رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنْ يَتَخَلَّفَ عَنْهُ بِمَكَّةَ حَتَّى يُؤَدِّيَ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ الْوَدَائِعَ الَّتِي كَانَتْ عِنْدَهُ لِلنَّاسِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memerintahkan Ali RA untuk menggantikannya di Makkah sehingga dia menyampaikan barang amanah yang ada pada Rasulullah SAW kepada pemiliknya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (12696)
Berdasarkan hadith ini dapat difahami bahawa perintah Rasulullah SAW kepada Ali RA menggambarkan bahawa seseorang yang memegang amanah perlu menunaikannya sepenuhnya. Ini menunjukkan bahawa tanggungjawab terhadap amanah tidak boleh diabaikan atau dipindahkan begitu sahaja tanpa mendapatkan keizinan terlebih dahulu dan hendaklah memastikan penerima amanah yang baru adalah orang yang dipercayai.
Dalam isu ini Dar al-Ifta-Misriyyah dalam fatwanya menyebutkan: Adalah tidak dibenarkan bagi penerima amanah untuk memindahkan barang amanah tanpa izin daripada pemberi amanah, dan pemindahan tersebut akan menyebabkan tanggungan ganti rugi, kecuali jika barang tersebut dipindahkan kepada seseorang yang dipercayai untuk menjaga harta tersebut.[1]
Begitu juga dinyatakan dalam al-Fiqh al-Muyassar fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah (1/250): Tidak dibenarkan untuk menyerahkan barang amanah kepada orang lain tanpa sebab yang sah. Namun, jika terdapat keuzuran seperti musafir atau menghadapi kematian, maka ia dibenarkan. Oleh itu, jika barang amanah diletakkan kepada orang lain dengan alasan yang sah dan barang tersebut rosak, maka tidak ada ganti rugi terhadap perkara tersebut. Tetapi jika tanpa kuzuran, maka dia bertanggungjawab, kerana telah melakukan kecuaian.
Sebagai kesimpulan, individu yang diberi tanggungjawab untuk menjaga harta orang lain tidak dibenarkan untuk menyerahkan atau mewakilkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain kecuali terdapat keuzuran seperti keperluan untuk bermusafir dan sebagainya. Walau bagaimanapun, tanggungjawab tersebut hendaklah diserahkan kepada individu yang dipercayai dan dengan keizinan pemilik asal terlebih dahulu.
Justeru, dengan memahami prinsip-prinsip ini, seseorang dapat menjalankan tanggungjawab menjaga amanah dengan penuh tanggungjawab, memastikan hak pemilik amanah dilindungi, dan memenuhi tuntutan syariat Islam dengan betul.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/20504/%D8%AD%D9% Diakses pada 26 Ogos 2024