Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan secara ringkas biodata al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi Ba ‘Alawi, yang merupakan pengarang Matan al-Risalah al-Jami‘ah baina Usul al-Din wa al-Fiqh wa al-Tasawwuf? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beliau ialah Syihabuddin, Ahmad bin Zain bin ‘Alawi bin Ahmad Sahib al-Sya‘b bin Muhammad bin ‘Alawi bin Abu Bakar al-Habasyi Ba ‘Alawi al-Hadrami al-Syafi‘i. Beliau adalah seorang yang zuhud, al-‘Arif billah (yang arif tentang Allah), alim lagi berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang, dan pemilik bandar al-Hautah di Hadramaut. Beliau dilahirkan di bandar (al-Ghurfah) di wilayah Hadramaut pada awal tahun 1069 Hijrah.

Latar Belakang Pendidikannya

Beliau menuntut ilmu dan mendapat pendidikan daripada para ulama besar di wilayahnya dan  para imam zamannya di Wadi Hadramaut. Antara guru-gurunya ialah:

Imam besar, al-‘Arif billah, al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad al-Haddad Ba ‘Alawi (1132 H). Beliau mendampingi dan kerap mengunjunginya selama empat puluh tahun, di mana beliau mempelajari lebih daripada tujuh puluh karya dalam pelbagai bidang ilmu. Guru beliau wafat ketika beliau sedang membaca kepada gurunya, kitab al-Muwatta’ yang merupakan karya Imam Malik bin Anas.

Beliau juga mengambil ilmu/belajar daripada al-Imam al-‘Allamah al-Jalil al-Faqih, al-Habib Abdullah bin Ahmad Balfaqih, yang meninggal dunia pada tahun 1112 Hijrah. Beliau mempelajari banyak kitab dengannya serta mendapat manfaat daripadanya. Selain itu, beliau juga mengambil ilmu dengan Syeikh Ahmad bin Abdullah Syarahil di Shibam (شبام), Syeikh ‘Abd al-Rahim bin Qadhi Bakathir di Tres (تريس), dan ramai lagi.

Rehlahnya dalam menuntut ilmu berakhir selepas kewafatan gurunya, Imam al-Haddad, beliau mula menjadi tumpuan orang ramai. Ini berlaku setelah beliau menetap di bandar (Khal‘ Rasyid – خلع راشد), yang kemudian dikenali sebagai (Hautah Ahmad bin Zain). Orang ramai datang kepadanya dari segenap pelusuk, dan beliau menjadi terkenal seperti gurunya.

Al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi memberikan perhatian yang besar terhadap masjid-masjid. Beliau memberikan perhatian yang mendalam dan membina sebelas buah masjid, selain masjid-masjid yang diperbaharui dan dibangunkan semula setelah ia rosak. Masjid pertama yang dibina olehnya ialah Masjid (Ba ‘Alawi) di al-Ghurfah pada tahun 1103 Hijrah.

Karya-karyanya

Di antara karya-karya dan sumbangan ilmiahnya adalah seperti:

  • Al-Safinah al-Kubra.
  • Al-Maqasid al-Salihah fi Syarh Syai’ min ‘Ulum al-Fatihah.
  • Al-Qaul al-Ra’iq Syarh Hikmah al-Imam Ja‘far al-Sadiq.
  • Tiryaq al-Qulub wa al-Asrar fi Syarh Syai’ min ‘Ulum Sayyid al-Istighfar.
  • Al-Maslak al-Sawi.
  • Fath al-Hayy al-Qayum fi Syarh Syai’ min Syarrab al-Qaum.
  • Al-Risalah al-Jami‘ah wa al-Tazkirah al-Nafi‘ah.
  • Sabil al-Rusyd wa al-Hidayah fi Wasiyyah Ahl al-Bidayah.
  • Al-Raudh al-Nadhir Syarh Qasidah: al-Hamdu lillah al-Syahid al-Hadir.

Anak-anak Muridnya dan Keturunannya

Ramai murid yang telah belajar dan berguru dengan al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi, termasuk beberapa orang terkemuka pada zamannya. Antara muridnya yang paling terkenal dan masyhur ialah:

  • Al-Sayyid al-Imam Muhammad bin Zain Ibn Sumait.
  • Al-Imam al-‘Arif Umar bin Zain Ibn Sumait.
  • Di antaranya juga adalah anak-anaknya sendiri iaitu al-Imam Ja‘far bin Ahmad, Muhammad bin Ahmad, ‘Alawi bin Ahmad, Abu Bakar bin Ahmad dan al-Hasan bin Ahmad.
  • Al-Syeikh al-‘Alim al-Fadhil: Muhammad bin Umar bin Qadhi Ba Kathir.

Al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi telah meninggal dunia di Khal‘ Rasyid (خلع راشد), pada waktu Asar hari Jumaat, bersamaan  19 Syaaban tahun 1145H dan dikebumikan di sana.

Penerangan berkenaan biodata al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi Ba ‘Alawi ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh pentahqiq ke atas kitab, Bahjah al-Wasa’il bi Syarh al-Masa’il Syarh al-Risalah al-Jami‘ah baina Usul al-Din wa al-Fiqh wa al-Tasawwuf li al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi Ba ‘Alawi (hlm. 13-17), Terbitan Dar Talib al-Azhar, Cetakan Pertama, tahun 2019 Masihi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Leave a Reply