Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Membaca surah al-Mulk melalui telefon tanpa wudhuk, boleh atau tidak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami kemukakan terlebih dahulu definisi dan takrif al-Quran.
Al-Quran pada bahasa mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, dan qiraah bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Quran pada mulanya seperti qiraah, iaitu masdar (infiniti) dari kata qara’a, qiraatan, quranan. Allah SWT berfirman:
إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧﴾ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ
Maksudnya: “Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu.”
(Surah al-Qiyamah: 17-18)
Al-Maraghi berkata: “Perkataan qur’anah memberi makna bacaannya, iaitu menetapkan bacaan itu menerusi lisannya.”
Kata qur’anah (قُرْآنَهُ) (bacaannya) pada ayat di atas bererti qiraatuhu (bacaannya/cara membacanya). Jadi, kata itu adalah masdar menurut wazan fu’lan dengan vokal u seperti ghufran dan syukran. Kita dapat mengatakan qara’tuhu, quran, qiraatan wa quranan, ertinya sama saja. Di sini maqru’ (apa yang dibaca) diberi nama quran (bacaan), yakni penamaan maf’ul dengan masdar.
Sedangkan ada istilahnya pula ialah kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.
Firman Allah SWT:
لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”
(Surah al-Waqi’ah: 79)
Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali RA, Ibn Mas’ud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, ‘Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’i. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan membaca al-Quran di telefon tidak memerlukan wudhuk kerana hakikatnya ia bukan mushaf al-Quran, tetapi alat digital sahaja. Akan tetapi, kami juga berpendapat, jika sekiranya laptop itu atau ipad itu adalah ipad khas al-Quran sebagai mushaf yang tiada hal yang lain, atau aplikasi serta bahan-bahan yang lain kecuali al-Quran semata-mata atau mushaf semata-mata, maka ketika itu, layaklah ia mengambil hukum mushaf.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”