Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Persoalan ini khususnya untuk Khutbah 7 Zulhijjah, Hari Nahr dan Hari Nafar Awal. Adakah ketiga-tiga khutbah ini hanya boleh dibuat oleh pemerintah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami mulakan dengan membawa firman Allah SWT dalam al-Furqan selepas memohon perlindungan-Nya daripada segenap keburukan, firman-Nya:
وَأَتِمُّوا۟ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِۚ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perlaksanaan ibadah Haji dan ‘Umrah dengan ikhlas kerana Allah semata-mata.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa sesiapa yang melaksanakan ibadah Haji atau Umrah, wajiblah ke atas dirinya untuk melaksanakan semua rukun dan wajib Haji, serta mestilah memenuhi tuntutan sunnah yang digalakkan di dalam Manasik Haji. Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi berkata ketika menafsirkan ayat suci di atas di dalam tafsir beliau: “Para ulama berbeza pendapat tentang arahan al-Itmam (menyempurnakan) di dalam ayat ini, sebahagiannya berkata: Iaitu mesti menyempurnakan semua manasiknya, mematuhi semua aturannya, melaksanakan semua sunnahnya. Ini adalah pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Alqamah, Ibrahim al-Nakha‘i dan Mujahid.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/241)
Berhubung dengan soalan yang diajukan kepada kami, termasuk dalam sunnah Haji adalah perlaksanaan khutbah-khutbah Haji. Khutbah ini ada empat, disunatkan dan mesti dilaksanakan oleh pemimpin Jemaah Haji. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Idhah, beliau berkata:
“Semua sekali khutbah-khutbah Haji itu ada empat khutbah: Yang pertama, khutbah pada hari-7 (Zulhijjah) di Makkah. Kedua, khutbah pada hari Arafah. Ketiga, khutbah pada Hari Nahr di Mina. Keempat, khutbah pada hari nafar awal di Mina juga. Di dalam setiap khutbah ini mestilah berisi ajaran tentang tatacara perlaksanaan Manasik Haji serta hukum-hakamnya sehinggalah tempoh khutbah seterusnya; semuanya dilakukan sebanyak satu khutbah sahaja dan selepas Solat Zohor, melainkan khutbah di Arafah; ia dilaksanakan sebanyak dua khutbah dan sebelum Solat Zohor.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 264-265)
Kesimpulannya adalah seperti berikut:
- Khutbah pada 7 Zulhijjah di Makkah al-Mukarramah.
- Khutbah pada 9 Zulhijjah (Hari Arafah) di ‘Arafah.
- Khutbah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina.
- Khutbah pada 12 Zulhijjah (Hari Nafar Awal) di Mina.
Khutbah Haji |
Isi Kandungan Khutbah |
Khutbah Hari al-Zinah (7 Zulhijjah) | Khutbah untuk menyeru agar jemaah Haji bersiap sedia untuk menuju ke Mina pada esok hari, 8hb Zulhijjah; serta menjelaskan ibadah Haji yang akan dilaksanakan sehingga 9hb Zulhijjah. |
Khutbah Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) | Khutbah sebelum Zohor; sama hukumnya seperti khutbah Jumaat, berpesan ke arah taqwa dan kebaikan, menjelaskan berkenaan ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (sehingga esok). |
Khutbah Hari Nahar (10 Zulhijjah) | Penjelasan tentang ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (sehingga 12 Zulhijjah) dan soal jawab berkenaan Fiqh Manasik Haji. |
Khutbah Hari Nafar Awal (12 Zulhijjah) | Penjelasan tentang ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (hingga selesai Haji) dan soal jawab berkenaan Fiqh Manasik Haji. |
Berhubung soalan di atas, secara asalnya, khutbah-khutbah Haji ini harus disampaikan oleh Imam iaitu pemimpin umat Islam. Namun, pemimpin boleh melantik seorang amir al-Haj (pemimpin Jemaah Haji) sebagai wakilnya untuk menyelia dan menyelenggara urusan Jemaah Haji bagi menggantikan dirinya (pemimpin umat Islam) yang tidak hadir.
Imam Muhyiddin al-Nawawi memfatwakan demikian di dalam kitab al-Idhah: “Dan ketahuilah bahawa dianjurkan (mustahab) bagi Imam yang merupakan pemimpin, jika dia sendiri tidak hadir dengan dirinya ketika sepanjang musim Haji, hendaklah dia melantik wakilnya berupa pemimpin Jemaah Haji. Sekalian jemaah hendaklah mematuhi arahan wakil pemimpin ini. Dan hendaklah pemimpin atau wakil pemimpin ini menyampaikan khutbah-khutbah Haji tersebut.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 264)
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari juga memfatwakan sedemikian di dalam kitab al-Asna: “[Dianjurkan bagi imam untuk menghadiri perlaksanaan Haji, atau pemimpin jemaah Haji] menghadiri perlaksanaan Haji, jika dia tidak hadir maka dianjurkan baginya untuk melantik seorang wakilnya berupa pemimpin jemaah Haji, dan sekalian mestilah mentaatinya dalam setiap arahan yang dia sampaikan mewakili pemimpin tertinggi. Rasulullah SAW pernah melantik ‘Attab bin Asid pada tahun ke-8H, dan melantik Abu Bakr pada tahun ke-9H, manakala pada tahun ke-10H Baginda sendiri memimpin perjalanan jemaah Haji ketika haji terakhir (hajjah al-Wada‘). Apabila salah seorang antara dua ini hadir, maka dia hendaklah menyampaikan khutbah seperti yang dinyatakan: [dan pemimpin atau wakilnya hendaklah menyampaikan khutbah] kepada mereka.” (Lihat Asna al-Matalib Syarh al-Raudh al-Talib, 1/485).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa khutbah-khutbah Haji ini seeloknya disampaikan oleh pemimpin tertinggi negara yang turut bersama hadir menunaikan Haji bersama sekalian umat Islam. Sekiranya pemimpin tertinggi tidak dapat hadir, maka pemimpin tertinggi mestilah melantik wakilnya menjadi pemimpin jemaah Haji dan wakil tersebut perlu menyampaikan khutbah-khutbah Haji tersebut.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”
Wallahu a‘lam.