Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah dikenakan ganti rugi terhadap wang yang diamanahkan kepada seseorang sekiranya berlaku kecuaian? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا یَعِظُكُم بِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِیعَۢا بَصِیرࣰا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar menyerahkan segala amanah dan tanggungjawab kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu mengadili antara manusia, hendaklah kamu menetapkan hukuman dengan adil. Sungguh, Allah memberi sebaik-baik pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(Surah al-Nisa’: 58)
Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa: Amanah merujuk kepada segala sesuatu yang telah diamanahkan kepada seseorang dan diperintahkan untuk dilaksanakan. Allah memerintahkan hamba-Nya untuk menunaikannya dengan sempurna, tidak dikurangkan, tidak diabaikan, dan tidak ditangguhkan. Ini termasuk amanah dalam bentuk tanggungjawab, harta benda, rahsia, serta kewajipan yang hanya diketahui oleh Allah. Fuqaha’ menyatakan bahawa sesiapa yang diamanahkan dengan sesuatu, wajib menjaganya dengan baik. Mereka berkata demikian kerana amanah tersebut tidak dapat ditunaikan melainkan dengan menjaga dan melindunginya, maka itu menjadi kewajipan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.183)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa berkaitan dengan ganti rugi harta simpanan yang diamanahkan kepada seseorang untuk dijaga (al-Wadi‘ah), terdapat padanya dua situasi:
Pertama, sekiranya harta simpanan tersebut rosak atau hilang disebabkan kecuaian pemegang amanah maka, dia perlu menggantikan balik harta tersebut sama dengan jenis yang sama atau nilian harta tersebut.
Kedua, sekiranya harta tersebut rosak atau hilang bukan dari kecuaian pemegang amanah, seperti berlakunya kerosakan, kebakaran dan sebagainya, maka dia tidak perlu menggantikan harta tersebut.
Imam al-Syairazi menyatakan bahawa: Barang amanah adalah amanah di tangan penerima amanah. Jika ia rosak tanpa kecuaian, maka tidak ada ganti rugi baginya. Ini adalah kesepakatan para ulama setempat/sezaman. Ini kerana penerima amanah menjaga barang tersebut bagi pihak pemiliknya, maka tangannya dianggap seperti tangan pemiliknya. Penjagaan barang amanah adalah suatu kebaikan dan ihsan. Sekiranya terdapat ganti rugi tanpa sebarang pencerobohan, orang akan enggan menerima amanah, yang akan menyebabkan terputusnya amalan kebaikan. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al- Syafi‘i, 2/181)
Yang demikian adalah berdasarkan sebuah hadith di mana Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أُودِعَ وَدِيعَةً فَلَا ضَمَانَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang diberi amanah (barang amanah), maka tiada tanggungan ganti rugi ke atasnya”
Riwayat Ibn Majah (2401)
Hadith ini menunjukkan bahawa sesiapa yang diberi amanah, maksudnya: diberikan barang amanah, iaitu sesuatu yang diserahkan kepadanya untuk tujuan penjagaan, maka tiada tanggungan ganti rugi ke atasnya. Ini kerana tangannya adalah tangan amanah dan bukan tangan dhaman (ganti rugi). Maka, tiada tanggungan ke atasnya. Namun, jika dia melampaui batas atau cuai, dia bertanggungjawab, kerana melampaui batas atau cuai adalah bertentangan dengan amanah. (Lihat Fath Zi al-Jalal wa al-Ikram, 4/415)
Begitu juga disebutkan dalam al-Muamalat al-Maliah Asalah wa Mua’sarah (19/33): Hukum tangan amanah ialah ia tidak menanggung tanggungan ganti rugi terhadap apa yang berada di bawah tanggungannya, kecuali jika berlaku pelanggaran dengan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan, atau kecuaian dengan meninggalkan apa yang sepatutnya dilakukan.
Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, adalah jelas bahawa pemegang amanah tidak diwajibkan untuk mengganti rugi harta yang diamanahkan kepadanya sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan, kecuali jika kerosakan atau kehilangan tersebut disebabkan oleh kecuaiannya. Dalam isu ini juga, kami menasihatkan bahawa sekiranya berlaku sebarang perselisihan antara dua pihak, maka hendaklah merujuk kepada badan berautoriti seperti mahkamah untuk menyelesaikan segala perselisihan yang timbul. Ini kerana kaedah menyebutkan:
أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam