Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membuat orang lain tertunggu-tunggu? Sebagai contoh, saya pesan nasi goreng untuk makan, tetapi saya mendapati terlalu lama untuk makanan itu disiapkan sehingga membuatkan saya tertunggu-tunggu. Mohon penjelasan Ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).

Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila kita bekerja, kita sewajarnya bekerja dengan bersungguh-sungguh dan tidak bertangguh. Namun, dalam situasi anda, perkara yang perlu diambil cakna adalah keadaan sesuatu tempat. Sekiranya restoran tersebut dikunjungi ramai pelanggan, jumlah pekerja juga sedikit atau seumpamanya, maka kita sebagai pelanggan harus bersabar sementara hidangan sedang disiapkan. Justeru, perkara sebegini sebenarnya memerlukan tolak ansur antara pekerja dan pelanggan.

Kami akhiri dengan memesan kepada diri yang dha’if ini serta rakan-rakan semua supaya dapat melaksanakan tugas dengan seterbaiknya. Kalau ini menjadi pegangan dan moto kehidupan, maka sudah tentu keberhasilan dan produktiviti akan meningkat, di samping kurniaan keberkatan daripada Allah kepada orang seumpama ini.

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply