Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila ada orang yang ditimpa ujian, adatnya kita akan menasihati mereka untuk bersabar. Tetapi masyarakat kita suka berprasangka buruk dengan berkata: “Cakap boleh lah, cuba engkau lalui sendiri!” Bagaimana kita ingin mendepani mentaliti begini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

(Surah Ali Imran: 100)

Pertamanya, musibah dan bala adalah suatu ujian bagi hamba, dan ia merupakan tanda kasih sayang Allah SWT kepadanya. Musibah itu umpama ubat, meskipun ia pahit, namun kita tetap akan memberikannya kepada orang yang kita sayangi – dan bagi Allah SWT jualah perumpamaan yang paling tinggi.

Anas bin Malik R.A telah meriwayatkan dalam sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عِظَمُ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ، وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ، فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ

Maksudnya: “Sesungguhnya besarnya balasan disertai besarnya bala, dan apabila Allah SWT mencintai suatu kaum Dia menguji mereka. Sesiapa yang redha, maka baginya keredhaan Allah dan siapa yang marah maka baginya kemarahan Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (2396) dan Ibn Majah (4031). Al-Albani menilai sanad hadith ini sebagai hasan dalam Hidayah al-Ruwah (2/169).

Selaku orang yang beriman dengan kekuasaan dan keesaan Allah SWT, kita perlu tahu bahawa ujian yang diturunkan buat mereka di muka bumi ini lebih baik bagi seorang mukmin daripada ditunda baginya azab di akhirat. Disebabkan ujian itu jugalah darjat seseorang itu diangkat dan dosa-dosanya diampunkan. Disebutkan dalam riwayat yang sama di atas, daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَفَّى بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Jika Allah menginginkan kebaikan pada hamba-Nya, Dia akan segerakan hukumannya di dunia, dan jika Allah menghendaki keburukan padanya, Dia akan melewatkan balasan atas dosa yang dia lakukan sehingga balasan tersebut ditunaikan pada hari Kiamat kelak”

Riwayat al-Tirmizi (2396), dan beliau mengatakan sanadnya hasan gharib. Al-Albani pula menilai sanadnya sebagai hasan dalam Hidayah al-Ruwah (2/168).

Menggambarkan betapa pentingnya tentang hakikat ujian dan bala ini, sehinggakan kejahilan terhadapnya mampu mengakibatkan mentaliti masyarakat Islam kita tersasar dari landasan kefahaman yang sebenar. Bagaimana mungkin seseorang yang ditimpa ujian dengan hati yang tidak redha akan ketentuan Allah SWT itu menuturkan: “Cakap boleh lah, cuba engkau lalui sendiri!” Tidakkah kita merenung sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Suhaib bin Sinan al-Rumi R.A:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan lalu dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”

Riwayat Muslim (2999)

Imam al-Munawi menukilkan kalam Imam al-Tibi, katanya: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Mendepani masalah yang kian berleluasa dalam masyarakat kita ini, ia tidak boleh dilakukan dengan kekerasan atau kata-kata yang menyinggung. Sebaliknya, sulamilah nasihat kita dengan bait-bait nas syara‘ yang sarat dengan fiqh dan juga hikmah. Ajarkanlah pada mereka bahawa sunnah yang diajarkan suri tauladan kita Nabi Muhammad SAW adalah dengan menasihati mereka yang ditimpa ujian untuk tetap bersabar. Usamah bin Zaid R.A pernah meriwayatkan, katanya:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَسُولُ إِحْدَى بَنَاتِهِ، وَعِنْدَهُ سَعْدٌ وَأُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ وَمُعَاذٌ، أَنَّ ابْنَهَا يَجُودُ بِنَفْسِهِ. فَبَعَثَ إِلَيْهَا: لِلَّهِ مَا أَخَذَ وَلِلَّهِ مَا أَعْطَى، كُلٌّ بِأَجَلٍ، فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Maksudnya: “Aku berada bersama Nabi SAW, tiba-tiba salah seorang utusan anak perempuan Baginda datang menemuinya – ketika itu Baginda sedang bersama Sa‘d, Ubai bin Ka‘b dan Mu‘az – untuk memberitahu bahawa anak daripada anak perempuannya berada dalam keadaan nazak. Kemudian Baginda mengutuskan seorang utusan kepadanya (untuk menyampaikan pesan): ‘Milik Allah apa yang telah diambil-Nya dan milik Allah juga apa yang telah diberikan-Nya, kesemuanya telah ditakdirkan ajalnya, maka hendaklah beliau bersabar dan mengharapkan  pahala (daripadanya)’.”

Riwayat al-Bukhari (6602) dan Muslim (923)

Kata Imam al-Nawawi, hadith ini menjadi salah satu dari kaedah Islam yang yang merangkumi pelbagai prinsip asas dalam agama dan cabang-cabangnya serta adab-adabnya. Ia merupakan dorongan untuk bersabar dan menerima ketentuan Allah. Penjelasannya adalah bahawa apa yang diambil dari kita itu (seperti orang yang tersayang, nikmat kesihatan, nikmat harta dan sebagainya) sebenarnya adalah milik Allah SWT dan bukanlah milik kita. Maka pada hakikatnya, Allah SWT tidak mengambil sesuatu kecuali apa yang sememangnya milik-Nya. Oleh itu, kita seharusnya tidak berputus asa, sebagaimana seseorang tidak akan berputus asa jika barang yang dipinjamkan atau disimpan dikembalikan kepada pemilik asalnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/225)

Apabila kita menasihati orang yang ditimpa ujian untuk terus bersabar, ia sebenarnya sejajar dengan firman Allah SWT:

وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۢ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.”

(Surah al-Taubah: 71)

Syeikh ‘Abd al-Rahman Nasir al-Sa‘di berkata, maksud kebaikan dalam hadith ini merangkumi segala perkara yang diketahui kebaikannya, sama ada dari sudut akidah, amalan soleh, atau akhlak yang mulia. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 343)

Lebih jelas lagi, Allah SWT sebutkan sebagaimana dalam firman-Nya berkenaan mereka yang bersabar semasa ditimpa ujian:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٥) ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ (١٥٦) أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۭ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ (١٥٧)

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155) Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ (156) Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan solawat (keampunan) serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. (157)”

(Surah al-Baqarah: 155-157)

Di dalam ayat ini terkandung penjelasan mengenai ganjaran orang-orang yang bersabar. Disebutkan bahawa mereka dilimpahi dengan solawat (صَلَوَٰتٌۭ), iaitu kiasan dengan makna ‘pujian dan keampunan.’ Oleh kerana itu ia diiringi dengan rahmat yang juga merupakan salah satu makna solawat (صَلَوَٰتٌۭ) secara kiasan.

Ini menjelaskan keutamaan sifat mereka yang mendapat petunjuk, kerana mereka menyedari hakikat sebenar sebagai seorang hamba yang berpengetahuan. Musibah tidak mengganggu mereka, dan tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk terus bersabar; kerana mereka tahu bahawa hidup ini tidak pernah terlepas dari kesulitan. Namun, bagi mereka yang tidak mendapat petunjuk, mereka menjadikan musibah sebagai alasan untuk membantah Allah SWT, berlaku kufur terhadap-Nya, berkata sesuatu yang tidak selayaknya, atau meragui kebenaran agama Islam yang mereka anuti. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/57)

Melihat kepada tafsiran Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur di atas, kita dapat melihat bahawa kesan-kesan apabila masyarakat kita kurang faham akan kelebihan bersabar semasa ditimpa ujian, maka mereka boleh tersasar sehingga menuturkan apa yang tidak selayaknya dituturkan, seolah-olah membantah ketentuan serta taqdir Allah SWT.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan. Semoga kita dapat beroleh manfaat serta dapat beramal sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara‘. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply