Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum pertaruhan dalam perlumbaan kuda? Saya maksudkan, bertaruh dengan meneka kuda yang menang atau menikam nombor kuda yang menang dan seumpamanya. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami katakan bahawa perlumbaan kuda adalah diharuskan. Ini berdasarkan kepada hadith, Nabi SAW bersabda:
لا سَبَقَ إِلا فِي نَصْلٍ أَوْ خُفٍّ أَوْ حَافِرٍ
Maksudnya: “Tidak boleh (mengambil) hadiah kecuali pada anak panah (memanah), perlumbaan unta atau perlumbaan kuda.”
Riwayat Tirmizi (1700), Nasa’i (3585), Abu Daud (2574), dan Ibn Majah (2878); Ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih Abi Daud
Perkataan sabaq “سَبَقَ” dalam konteks hadith di atas merujuk kepada hadiah atau ganjaran. Manakala nasl “نَصْلٍ” maksudnya adalah anak panah, perkataan khuff “خُفٍّ” pula merujuk kepada unta, dan perkataan hafir “حَافِرٍ” maksudnya adalah kuda.
Hadith ini menunjukkan keharusan memberikan hadiah dalam perlumbaan kuda, sama ada wang hadiah itu diberikan oleh salah seorang peserta, kedua-dua mereka bersama-sama, atau oleh pihak luar seperti negara. Akan tetapi, ini tidak termasuk pertaruhan oleh orang ramai tentang siapa yang akan menang dalam perlumbaan, sama ada peserta ataupun kuda, kerana ini adalah judi yang haram, dan tidak ada kaitan dengan apa yang dibenarkan oleh syariat dalam perlumbaan.
Pertaruhan yang diharamkan ini telah tersebar di banyak negara dan telah menyebabkan kehilangan wang dan kerosakan harta benda. Jika dana syarikat digunakan untuk pertaruhan haram ini, maka tidak dibenarkan untuk bekerja dalam perkara/pekerjaan tersebut kerana ia membantu dalam perjudian yang diharamkan oleh Allah SWT dan dijadikan sama seperti arak sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan kedua-duanya boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk pengambilan harta orang lain secara batil. Di samping itu, ia juga melalaikan manusia daripada mengingati Allah SWT dan mengerjakan solat.
Beliau menjelaskan lagi, pertaruhan di dalam perjudian akan menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan ada yang sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga dia tidak ingat selain daripada harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49 dan 12/82).
Syeikh ‘Abd al-Majid Sulaim menyebutkan, berdasarkan hal ini, dapat diketahui bahawa pertaruhan yang dikenali sekarang, sama ada ia pertaruhan pada perlumbaan kuda atau bentuk lain, adalah termasuk dalam perjudian yang diharamkan oleh syariat, yang tidak ada nas yang membenarkannya. Bahkan sebaliknya, nas yang disebutkan sebelum ini menunjukkan kepada keharamannya. Syariat mengharamkan judi kerana kemudharatan besar yang dibawanya, yang kita dapat lihat setiap hari.
Judi telah menyebabkan kehilangan banyak wang daripada para petaruh, memusnahkan keluarga yang terhormat, dan mendorong ramai penjudi untuk melakukan pelbagai jenayah seperti mencuri, menyeleweng, bahkan membunuh diri. Jadi, sesiapa yang melihat semua ini dan akibat lain yang dibawa oleh judi akan semakin percaya bahawa larangan judi adalah satu rahmat besar daripada Allah dan bukti hikmah-Nya.[1]
Selain daripada itu, turut ditanyakan kepada kepada para ulama daripada al-Lajnah al-Da’imah li al-Ifta’ (iaitu Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Alu al-Syeikh, Syeikh Abdullah bin Ghadyan, Syeikh Soleh al-Fauzan, Syeikh Bakr Abu Zaid) berkenaan sekumpulan orang yang membeli majalah sukan yang diterbitkan oleh akhbar al-Syarq al-Ausat dengan tujuan untuk mengisi kupon di dalamnya yang berkaitan dengan perlumbaan kuda, di mana mereka memilih kuda pemenang untuk setiap perlumbaan. Mereka mengisi beberapa kupon dari beberapa majalah dengan tujuan memenangi hadiah, dan mereka kehilangan sejumlah wang kerana hal itu?
Mereka menjawab, perbuatan ini tidak dibenarkan kerana ia adalah pertaruhan haram yang termasuk dalam kategori perjudian, dan Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Oleh yang demikian, hal itu termasuk dalam perkara memakan harta secara batil. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 15/224).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa pertaruhan dalam perlumbaan kuda iaitu meneka atau menikam kuda-kuda yang menang dan seumpamanya sebagaimana yang dikenali sekarang, termasuk dalam salah satu bentuk pertaruhan dan perjudian yang diharamkan. Berbeza halnya dengan hadiah atau ganjaran yang disediakan bagi para pemenang dalam perlumbaan kuda tersebut.
Selain itu, berkenaan ganjaran atau hadiah dalam sesuatu pertandingan atau peraduan, satu garis panduan telah dikeluarkan, di mana di dalamnya dinyatakan:
- Hadiah peraduan disediakan oleh pihak penganjur mestilah daripada sumber yang halal.
- Hadiah peraduan tidak boleh diambil daripada kumpulan wang peserta sama ada melalui yuran penyertaan, caj dan seumpamanya.
- Sumber dana hadiah tidak boleh diambil daripada hasil caj perkhidmatan yang dikenakan untuk sms dan seumpamanya.
- Hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur mestilah bernilai, bermanfaat dan memenuhi spesifikasi yang telah dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan.
- Hadiah peraduan hendaklah disediakan terlebih dahulu sebelum sesuatu peraduan dijalankan bagi mengelakkan timbulnya sebarang unsur penipuan.
- Tempoh penyerahan hadiah kepada peserta mestilah ditetapkan dan dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan dengan jelas. (Lihat Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah, terbitan JAKIM, hlm. 15).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar–alifta.org/ar/fatawa/19553/حكم–القمار–والرهان–في–بعض–الالعاب–الرياضية. Diakses pada 27 Ogos 2024.