Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar bahawa Abu Talib, iaitu bapa saudara Nabi SAW adalah seorang yang miskin dan tidaklah kaya. Benarkah kenyataan itu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dr. Zaid Abd al-Karim berkata: Abu Talib adalah seorang yang miskin dan mempunyai banyak tanggungan. Namun, beliau sangat menyayangi Rasulullah SAW, sering tidur dan pergi bersamanya. Saya akan menjelaskan sebuah hadis yang menerangkan penjagaan Abu Talib terhadap Nabi SAW semasa kecil dan perlindungannya semasa dewasa. Hal ini berlangsung selama lebih daripada empat puluh tahun. Dia menentang kaumnya di Mekah demi membela baginda, sehingga dia meninggal dunia pada tahun kesepuluh kenabian. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Dr. Zaid Abd al-Karim, hlm. 59)
Abu Talib – seperti yang disebut oleh para sejarawan – adalah seorang pemimpin yang mulia, dihormati, dan berwibawa meskipun dalam keadaan miskin. Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa beliau berkata – seperti dalam satu riwayat –: “Ayahku menjadi pemimpin dalam keadaan miskin, dan tiada orang miskin yang pernah menjadi pemimpin sebelum ini.” (Lihat Tarikh al-Ya’qubi, 2/14; al-Kuna wa al-Alqab, 1/108)
Namun, meskipun keadaan beliau miskin, beliau adalah seorang yang pemurah. Dikatakan tentang kemurahan hati dan kedermawanannya bahawa kaum Quraisy biasa memberi makan, tetapi apabila Abu Talib memberi makan, tiada seorang pun yang memberi makan pada hari itu selain daripadanya. (Lihat Ansab al-Asyraf, 2/288; Lihat juga Nihayah al-Ijaz fi Sirah Sakin al-Hijaz, 1/477)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”