Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Nabi SAW diserahkan oleh datuknya kepada Abu Talib untuk menjaganya, dan bukan kepada bapa saudaranya yang lain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ
Maksudnya: “Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?”
(Surah al-Dhuha: 6)
Menjawab persoalan di atas, mungkin kerana Abu Talib adalah saudara seibu dan sebapa dengan Abdullah, bapa Nabi SAW. Jadi, datuknya Abdul Muttalib menyerahkan Baginda Nabi SAW kepada Abu Talib untuk dijaga dan diasuh.
Dr. Zaid Abd al-Karim berkata: Abu Talib ialah saudara kandung Abdullah bin Abdul Muttalib, dan ibu mereka ialah Fatimah binti Amr bin ‘Aiz. Oleh itu, sebelum Abdul Muttalib meninggal dunia, beliau berpesan kepada Abu Talib untuk memelihara Muhammad SAW. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/193; Fiqh al-Sirah oleh Dr. Zaid Abd al-Karim, hlm. 59)
Ibn Kathir berkata: ‘Abdul Muttalib berpesan agar Baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib, kerana Abu Talib adalah saudara kandung ayahnya, ‘Abdullah. Maka, Baginda pun diasuh oleh bapa saudaranya ini. Abu Talib benar-benar menjaga Baginda dengan sebaik mungkin. Malah, Abu Talib mempertahankan Baginda ketika diutus menjadi Rasul dengan segala kemampuannya. Namun, sayangnya Abu Talib tetap dalam kemusyrikan hingga akhir hayatnya. Oleh itu, Allah memberikan keringanan azab kepadanya, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih. (Lihat al-Fusul fi Sirah al-Rasul oleh Ibn Kathir, hlm. 21)
Ibn al-Jauzi menyebut: “Abdullah, Abu Talib, dan al-Zubair, semuanya berasal daripada ibu yang sama, iaitu Fatimah binti ‘Amr.” Antara isteri Abd al-Muttalib yang lain ialah Halah binti Wahb bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah. Isterinya ini melahirkan anak-anak bernama Hamzah dan Safiyah. (Lihat al-Wafa bin Ahwal al-Mustafa oleh Ibn al-Jauzi, hlm. 50)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”