Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW, semasa zaman remajanya, tidak pernah terlibat dengan perkara-perkara melalaikan, tidak pernah menyembah berhala dan perkara-perkara keji yang lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan daripada Syeikh al-Mubarakfuri yang menyebut:

Nabi Muhammad SAW dibesarkan dalam kelas sosial yang terhormat dan terbaik serta memiliki kelebihan personaliti dan karakter. Baginda adalah contoh terbaik dari segi cara berfikir. Baginda mempunyai pemikiran yang benar, pandangan yang tajam, bijak, serta pemikiran bernas yang mampu merealisasikan sesuatu matlamat dengan tepat dan benar. Dalam kebanyakan keadaan, baginda lebih banyak berdiam diri untuk melakukan pemerhatian yang mendalam, berfikir dengan penuh penghayatan untuk menghasilkan keputusan dan pemikiran yang benar. Baginda sentiasa menggunakan akal dan fitrahnya yang sihat serta murni untuk berfikir dan memerhatikan kehidupan manusia serta keadaan mereka.

Baginda bebas daripada sebarang unsur khurafat dan sentiasa menjauhkan diri daripadanya. Baginda menilai tindakan orang ramai berdasarkan pertimbangan akal yang waras. Jika baginda mendapati sesuatu itu baik, baginda akan turut serta bersama mereka. Jika tidak, baginda akan mengasingkan diri daripada masyarakat. Baginda tidak meminum arak, tidak memakan haiwan yang disembelih atas nama berhala, dan tidak menghadiri perayaan serta upacara penyembahan berhala. Sejak lahir, baginda menjauhkan diri daripada penyembahan yang batil sehingga tiada perkara yang lebih dibenci baginda selain penyembahan berhala. Baginda tidak sanggup mendengar sumpah yang dibuat atas nama berhala Al-Lat dan Al-Uzza.

Tidak syak lagi bahawa takdir Allah SWT memelihara Nabi Muhammad SWT. Ketika nafsu menginginkan keseronokan duniawi dan seseorang ingin mengikut adat yang tidak baik, Allah SWT memisahkan Nabi Muhammad SAW daripada perkara-perkara tersebut.

Ibnu al-Athir mencatatkan, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا هَمَمْتُ بِشَيْءٍ مِمَّا كَانَ الْجَاهِلِيَّةُ يَعْمَلُونَهُ غَيْرَ مَرَّتَيْنِ، كُلُّ ذَلِكَ يَحُولُ اللَّهُ بَيْنِي وَبَيْنَهُ، ثُمَّ مَا هَمَمْتُ بِهِ حَتَّى أَكْرَمَنِي بِرِسَالَتِهِ، قُلْتُ لَيْلَةً لِغُلَامٍ يَرْعَى مَعِي بِأَعْلَى مَكَّةَ: لَوْ أَبْصَرْتَ لِي غَنَمِي حَتَّى أَدْخُلَ مَكَّةَ وَأَسْمَرَ بِهَا كَمَا يَسْمَرُ الشَّبَابُ. فَقَالَ: أَفْعَلُ. فَخَرَجْتُ حَتَّى إِذَا كُنْتُ عِنْدَ أَوَّلِ دَارٍ بِمَكَّةَ سَمِعْتُ عَزْفًا، فَقُلْتُ: مَا هَذَا؟ فَقَالُوا: عُرْسُ فُلَانٍ بِفُلَانَةٍ، فَجَلَسْتُ أَسْمَعُ، فَضَرَبَ اللَّهُ عَلَى أُذُنِي فَنِمْتُ، فَمَا أَيْقَظَنِي إِلَّا حَرُّ الشَّمْسِ، فَعُدْتُ إِلَى صَاحِبِي فَسَأَلَنِي فَأَخْبَرْتُهُ. ثُمَّ قُلْتُ لَهُ لَيْلَةً أُخْرَى مِثْلَ ذَلِكَ وَدَخَلْتُ مَكَّةَ، فَأَصَابَنِي مِثْلُ أَوَّلِ لَيْلَةٍ، ثُمَّ مَا هَمَمْتُ بَعْدَهُ بِسُوءٍ

Maksudnya: “Aku tidak pernah menginginkan apa-apa yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyah kecuali dua kali sahaja. Kesemua itu, Allah melindungiku daripada melakukannya. Setelah itu, aku tidak pernah menginginkannya lagi sehinggalah aku dimuliakan dengan pelantikanku sebagai rasul. Pada suatu malam, aku berkata kepada rakanku yang juga mengembala kambing di kawasan tinggi di Mekah, ‘Bolehkah engkau menjaga kambingku ini supaya aku dapat memasuki Mekah dan menyaksikan hiburan di sana bersama pemuda-pemuda lain?’ Rakanku berkata, ‘Pergilah.’ Aku pun pergi sehingga sampai di rumah pertama di Mekah. Aku terdengar bunyi tabuhan rebana. Aku bertanya, ‘Apakah ini?’ Mereka menjawab, ‘Ini majlis perkahwinan.’ Aku pun duduk di situ dan mendengarnya. Kemudian Allah membuatku rasa mengantuk dan aku tertidur. Aku terjaga apabila merasakan bahang matahari. Aku pulang menemui rakanku dan dia bertanya apa yang aku lihat. Aku memberitahunya. Pada malam yang lain, aku juga berhasrat melakukan perkara yang sama. Aku masuk ke Mekah dan perkara yang sama berlaku seperti malam sebelumnya. Selepas peristiwa itu, aku tidak lagi menginginkan perkara-perkara yang tidak baik.”

Al-Bukhari mencatatkan bahawa Jabir bin Abdillah berkata:

لَمَّا بُنِيَتِ الكَعْبَةُ، ذَهَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَبَّاسٌ يَنْقُلاَنِ الحِجَارَةَ، فَقَالَ عَبَّاسٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اجْعَلْ إِزَارَكَ عَلَى رَقَبَتِكَ يَقِيكَ مِنَ الحِجَارَةِ، فَخَرَّ إِلَى الأَرْضِ وَطَمَحَتْ عَيْنَاهُ إِلَى السَّمَاءِ، ثُمَّ أَفَاقَ، فَقَالَ: إِزَارِي إِزَارِي! فَشَدَّ عَلَيْهِ إِزَارَهُ.

Maksudnya: “Ketika Kaabah dibina semula, Nabi SAW dan ‘Abbas pergi untuk mengangkat batu-batu (untuk membantu membinanya). Abbas berkata kepada Nabi SAW: “Letakkanlah kain sarungmu di atas tengkukmu supaya ia melindungimu daripada terkena batu.” Tiba-tiba Baginda  tersungkur ke tanah dan kedua mata Baginda memandang ke langit. Kemudian Baginda sedar dan berkata: “Sarungku… sarungku…” Baginda pun mengetatkan semula ikatan kain sarungnya.”

Riwayat al-Bukhari (3829) dan Muslim (340)

Dalam riwayat hadith yang lain, dinyatakan bahawa selepas kejadian tersebut, aurat baginda dipelihara daripada pandangan manusia.

Nabi Muhammad SAW terkenal dalam kalangan kaumnya sebagai seorang yang berbudi pekerti mulia dan berakhlak terpuji. Baginda adalah individu yang paling bermaruah dan berakhlak mulia. Baginda adalah jiran yang terbaik, orang yang paling santun, paling benar kata-katanya, paling lembut, paling pemaaf, dan paling mulia. Perbuatannya adalah yang terbaik, menepati janji, dan amanah. Oleh itu, baginda digelar Al-Amin kerana memiliki segala akhlak dan peribadi yang baik serta disenangi.

Isterinya, Khadijah, yang juga ibu kepada wanita-wanita beriman, berkata, ‘Baginda adalah seorang yang mengasihi dan membantu anak-anak yatim serta orang yang lemah, berusaha keras untuk mendapatkan wang bagi membantu mereka yang memerlukan, memuliakan tetamu, serta membantu mereka yang ditimpa kesusahan dan kesenangan. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 49)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply