#7041: Anggaran Umur Anak-Anak Abu Talib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang umur anak-anak Abu Talib, susunan saudara-saudaranya seperti ‘Ali dan Ja’far (siapa lebih tua) serta usia mereka berbanding Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, antara anak-anak Abu Talib ialah:

Talib dan beliau tidak memeluk Islam dan mati dalam kekufuran, ‘Aqil bin Abu Talib, Ja‘far bin Abu Talib dan Ali bin Abu Talib, serta seorang adik-beradik perempuan iaitu Jumanah. Ummu Hani’ merupakan anak perempuan Abu Talib yang paling tua daripada kalangan adik-beradik perempuannya. Saudaranya Ali adalah yang termuda daripada mereka. Ja‘far lebih tua daripada Ali sepuluh tahun, dan ‘Aqil pula lebih tua daripada Ja‘far sepuluh tahun, manakala Talib lebih tua daripada ‘Aqil sepuluh tahun. Hal ini disebutkan oleh Ibn Qutaibah, Abu Sa‘id, dan Abu ‘Amr. (Lihat Kanz al-Durar wa Jami‘ al-Ghurar, 3/134; Subul al-Huda wa al-Rasyad fi Sirah Khair al-‘Ibad, 11/88 dan 11/116; Tarikh al-Khamis fi Ahwal al-Anfus al-Nafis, 1/163).

Aqil merupakan abang kepada Ali bin Abu Talib. Nama dan nasab Aqil adalah Aqil bin Abu Talib bin Abd al-Muttalib bin Hisyam bin Abd Manaf bin Qusai. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 4/31). Beliau adalah seorang Quraisy dari kalangan Bani Hasyim (Lihat al-Jarh wa at-Ta’dil oleh: Abu Hatim, 6/218). Aqil juga adalah saudara sebapa dengan Ja’far bin Abu Talib dan Ali bin Abu Talib. Namun, Aqil adalah yang tertua di antara mereka (Lihat Usd al-Ghabah, 4/61). Aqil dikenali juga dengan nama panggilan Abu Yazid dan ada juga yang menyebutnya sebagai Abu Isa. Ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abd Manaf bin Qusai. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 4/31)

Ja’far juga dikenali dengan ialah Abu ‘Abdillah. Usia Jaafar sepuluh tahun lebih tua daripada Ali, manakala saudaranya yang bernama ‘Aqil lebih tua 10 tahun daripadanya. Jaafar bin Abu Talib, Abu ‘Abdillah al-Hasyimi al-Tayyar, dijamin syurga, memiliki dua sayap di syurga. Beliau adalah orang melakukan dua hijrah iaitu berhijrah ke Habasyah dan berhijrah ke Madinah. Beliau syahid di Mu‘tah ketika hayat Rasulullah SAW sebagai panglima perang pada tahun 8 Hijrah. Beliau merupakan orang yang mirip dengan Rasulullah SAW daripada sudut rupa dan akhlak. Nabi SAW pernah menamakannya dengan nama Abu al-Masakin. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 2/511; Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/206; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/541)

Ummu Hani’ adalah kakak kepada Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A. Ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin ‘Abd Manaf. Dikatakan beliau lahir di Makkah sebelum Hijrah lebih kurang 50 tahun dan dia hanya lebih muda daripada Rasulullah SAW hanya beberapa tahun. Ummu Hani’ ini merupakan gelaran beliau, adapun nama sebenar beliau telah diperselisihi oleh ulama’. Sebahagian mereka mengatakan bahawa nama beliau adalah Hindun, dan dikatakan juga nama beliau adalah Fakhitah. Ummu Hani’ dikatakan hidup sehingga selepas dari tahun ke-50 hijrah, dan beliau meninggal dunia setelah pemergian Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/312-314; al-A‘lam, 5/126; al-Raudh al-Unuf, 7/109)

Ali pula dilahirkan di Makkah kira-kira 10 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW. Beliau ialah orang yang pertama masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak. Sebahagian riwayat mengatakan bahawa ketika beliau masuk Islam, umurnya baru 10 tahun. Diriwayatkan oleh Ibn Sa‘ad bahawa al-Hassan bin Zaid bin al-Hassan berkata: “Ali tidak pernah menyembah berhala sama sekali kerana dia memang masih kecil.” Beliau berasal daripada Bani Hasyim yang berketurunan Quraisy dan merupakan sepupu serta menantu kepada Nabi Muhammad SAW. Digelar dengan Zu al-Fiqar kerana keberanian dan sifat kepahlawanannya yang terserlah. Saidina Ali R.A meninggal dunia pada tahun 40 Hijrah. (Lihat Sifat al-Safwah, 1/135; Ashab al-Rasul, hlm. 312).

Berdasarkan kenyataan di atas, anggaran umur sebahagian mereka berbanding Rasulullah SAW adalah seperti berikut:

  • Ummu Hani’ dikatakan lahir di Makkah lebih kurang 50 tahun sebelum Hijrah. Ummu Hani’ merupakan anak perempuan Abu Talib yang paling tua daripada kalangan adik-beradik perempuannya. Justeru, dianggarkan Ummu Hani’ lebih muda daripada Nabi kira-kira 3 tahun.
  • ‘Ali dilahirkan di Makkah kira-kira 10 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ali adalah yang termuda daripada mereka. Justeru, ‘Ali dianggarkan lebih muda daripada Nabi SAW kira-kira 30 tahun.
  • Ja‘far lebih tua daripada Ali sepuluh tahun. Justeru, Ja’far dianggarkan lebih muda daripada Nabi kira-kira 20 tahun.
  • ‘Aqil pula lebih tua daripada Ja‘far sepuluh tahun. Justeru, ‘Aqil dianggarkan lebih muda daripada Nabi kira-kira 10 tahun.
  • Talib lebih tua daripada ‘Aqil sepuluh tahun. Maka, Talib dianggarkan usianya mungkin sebaya dengan Nabi SAW.

Manakala susunan sebahagian anak-anak Abu Talib adalah dianggarkan  seperti berikut:

  • Talib
  • Ummu Hani’
  • ‘Aqil
  • Ja’far
  • ‘Ali

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *