Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah disyariatkan bagi suami untuk bersedekah bagi pihak isterinya atau berbuat baik kepadanya selepas kematiannya melalui apa-apa amalan kebajikan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa Allah SWT menjadikan hubungan yang erat antara suami isteri sebagai kasih sayang dan rahmat. Allah SWT berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

(Surah al-Rum: 21)

Islam sangat menekankan untuk menjaga kasih sayang ini walaupun berlaku perkara paling buruk dalam perkahwinan, iaitu berakhirnya perkahwinan tersebut. Ini jelas daripada firman Allah selepas menerangkan berkenaan hak-hak semasa perceraian sebelum sempat bersama (bersetubuh):

وَلَا تَنسَوُا الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ

Maksudnya: “Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.

(Surah al-Baqarah: 237)

Justeru, keutamaan dan kasih sayang antara suami isteri yang telah hidup bersama lebih erat dan mendalam daripada mereka yang berpisah sebelum sempat bersama (bersetubuh), dan bahkan lebih mendalam lagi antara mereka yang dipisahkan oleh kematian salah seorang daripada mereka. Tidak ada halangan untuk suami menunjukkan kebaikan dan kasih sayangnya kepada isterinya selepas kematiannya. Malah, hadith-hadith Nabi dan peristiwa-peristiwa dalam hidupnya menjadi asas kepada kebaikan terhadap isteri yang telah meninggal dunia dalam pelbagai cara, yang menunjukkan manifestasi kemanusiaan dalam makna yang paling tinggi.

Antara manifestasi kebaikan suami terhadap isterinya selepas kematiannya ialah Rasulullah SAW sering menyebut isterinya, Ummul Mukminin Khadijah R.Anha selepas kematiannya dan menghormati keluarganya sebagai tanda penghormatan kepadanya. Sehinggakan terdapat riwayat daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, beliau berkata:

مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ مِنْ كَثْرَةِ ذِكْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاهَا، قَالَتْ: وَتَزَوَّجَنِي بَعْدَهَا بِثَلاَثِ سِنِينَ، وَأَمَرَهُ رَبُّهُ أَوْ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ

Maksudnya: “Aku tidak pernah cemburu terhadap seorang wanita sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. (Ini kerana) Rasulullah SAW sering menyebut (nama)nya.” Aisyah R.anha turut berkata: ‘Baginda mengahwiniku tiga tahun selepas (kewafatan)nya (Khadijah). Baginda diperintahkan oleh Tuhannya atau Jibril AS untuk memberikannya khabar gembira berupa rumah di syurga yang dibina daripada permata.’

Riwayat al-Bukhari (3817)

Begitu juga terdapat riwayat daripada  Aisyah R.Anha, katanya:

اسْتَأْذَنَتْ هَالَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ، أُخْتُ خَدِيجَةَ، عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَعَرَفَ اسْتِئْذَانَ خَدِيجَةَ فَارْتَاعَ لِذَلِكَ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ هَالَةَ. قَالَتْ: فَغِرْتُ، فَقُلْتُ: مَا تَذْكُرُ مِنْ عَجُوزٍ مِنْ عَجَائِزِ قُرَيْشٍ، حَمْرَاءِ الشِّدْقَيْنِ، هَلَكَتْ فِي الدَّهْرِ، قَدْ أَبْدَلَكَ اللَّهُ خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Halah binti Khuwailid – saudara perempuan Khadijah – meminta izin (masuk) kepada Rasulullah SAW. Baginda mengenali cara Khadijah minta izin, maka Baginda  terkejut sejenak , lalu bersabda: ‘Ya Allah, ini Halah (rupanya).’” Aisyah berkata: “Aku cemburu dan berkata: ‘Kenapakah engkau ingat pada salah seorang wanita tua Quraisy, yang kedua rahangnya telah merah (kiasan untuk orang tua) dan meninggal sejak lama. Allah telah menggantikan untukmu (isteri) yang lebih baik daripadanya.’

Riwayat al-Bukhari (3821) dan Muslim (2437)

Ini menunjukkan bahawa kasih sayang dan kesetiaan kepada isteri berterusan walaupun selepas kematiannya.

Imam Nawawi menyebutkan dalam Syarh Sahih Muslim (15/202), sabda Baginda: “فارتاح لذلك” (sebagaimana dalam riwayat Muslim) maksudnya adalah berasa senang dengan kedatangannya dan berasa bahagia kerana mengingatkan Baginda kepada Khadijah dan zaman atau hari ketika bersamanya dahulu (sebagai suami isteri). Ini semua adalah bukti kebaikan menjaga hubungan, memelihara kasih sayang, dan menghormati sahabat dan pasangan dalam hidupnya dan selepas kematiannya, serta memuliakan keluarga sahabat tersebut.

Di antara gambaran kasih sayang Nabi SAW kepada isteri Baginda yang telah meninggal ialah Baginda sering memuliakan sahabat-sahabat isterinya dan memberi mereka hadiah. Daripada Anas R.A, beliau berkata:

 كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أُتِيَ بِالشَّيْءِ يَقُولُ: «اذْهَبُوا بِهِ إِلَى فُلَانَةٍ، فَإِنَّهَا كَانَتْ صَدِيقَةَ خَدِيجَةَ. اذْهَبُوا بِهِ إِلَى بَيْتِ فُلَانَةٍ، فَإِنَّهَا كَانَتْ تُحِبُّ خَدِيجَةَ

Maksudnya: “Apabila Nabi SAW diberi sesuatu, Baginda akan berkata: ‘Bawakan ini kepada si fulanah, kerana dia adalah sahabat kepada Khadijah. Bawakan ini ke rumah si fulanah, kerana dia sangat menyayangi Khadijah.’

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (232); al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Futuhat al-Rabbaniyyah (4/107) menilainya sebagai hasan.

Selain itu, Baginda SAW juga sentiasa mendoakan dan memohon keampunan untuk Ummul Mukminin Khadijah R.Anha. Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

 كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ خَدِيجَةَ لَمْ يَكُنْ يَسْأَمُ مِنْ ثَنَاءٍ عَلَيْهَا وَالِاسْتِغْفَارِ لَهَا

Maksudnya: “Setiap kali Rasulullah SAW menyebut tentang Khadijah, Baginda tidak pernah jemu memujinya dan memohon keampunan untuknya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (21)

Daripada gambaran dan contoh-contoh daripada kehidupan Nabi SAW ini, jelaslah bahawa berbuat baik kepada isteri adalah sesuatu yang tidak terhad (tidak terbatas), dan boleh dilakukan dengan apa sahaja yang dianggap sebagai kebaikan.

Bersedekah bagi pihak Isteri Selepas Kematiannya

Seterusnya, berkenaan dengan bersedekah bagi pihak isteri secara khusus, ia adalah sesuatu yang disyariatkan sebagai salah satu bentuk kebajikan yang digalakkan untuk dilakukan, seperti yang kami telah jelaskan sebelum ini. Sedekah ini juga termasuk dalam amalan-amalan yang tidak terputus pahalanya walaupun seseorang telah meninggal dunia, malah pahalanya akan terus mengalir kepada si mati. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.

Riwayat Muslim (1631)

Hadith ini menunjukkan dengan jelas bahawa bersedekah untuk si mati adalah dibolehkan oleh sesiapa sahaja, dan pahalanya akan sampai serta memberi manfaat kepada si mati. Bahkan, telah dinukilkan adanya ijma‘ (kesepakatan ulama) mengenai perkara ini.

Imam al-Zaila‘i al-Hanafi menyebutkan, manusia boleh menghadiahkan pahala amalannya kepada orang lain menurut Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, sama ada ia berupa solat, puasa, haji, sedekah, bacaan al-Quran, atau zikir-zikir, dan lain-lain jenis amalan kebajikan. Amalan tersebut akan sampai kepada si mati dan memberi manfaat kepadanya. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 2/83).

Imam Ibn ‘Abd al-Barr al-Maliki pula menyebutkan dalam al-Tamhid (20/27), adapun bersedekah untuk si mati, maka para ulama telah sepakat tentang keharusannya, dan tidak ada perselisihan dalam hal ini.

Begitu juga Imam al-Nawawi al-Syafi‘i ada menyebutkan, para ulama Islam telah bersepakat bahawa sedekah untuk si mati memberi manfaat kepadanya dan sampai pahalanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/323).

Al-‘Allamah al-Buhuti al-Hanbali menyatakan dalam Syarh Muntaha al-Iradat (1/385) bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim dan dia menghadiahkan pahalanya kepada Muslim lain, sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia, maka pahalanya akan sampai kepadanya, walaupun pemberi pahala tidak mengetahuinya. Ini kerana Allah mengetahuinya, seperti doa, istighfar, kewajipan yang boleh diwakilkan, dan sedekah sunat secara ijma‘. Imam Ahmad berkata: “Pahala kebaikan akan sampai kepada si mati dari segala bentuk kebaikan, sama ada sedekah, solat, atau yang lainnya, berdasarkan hadith-hadith.”

Jelas daripada apa yang disebutkan bahawa berbuat baik kepada isteri dan berbakti kepadanya selepas kematiannya secara umum adalah perkara yang disyariatkan. Ini adalah salah satu sunnah yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Jenis-jenis kebajikan dan kebaikan adalah luas, dan ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti memuji dan mengingatinya dengan kebaikan, mendoakan dan memohon keampunan untuknya, bersedekah atas namanya, atau melakukan apa-apa ibadah lalu menghadiahkan pahalanya kepadanya.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa adalah disyariatkan (dibolehkan) bagi suami untuk berbakti kepada isterinya selepas kematiannya dengan pelbagai jenis kebaikan seperti memuji dan mengingati kebaikannya, mendoakan dan memohon keampunan untuknya, bersedekah atas namanya, atau dengan apa-apa amalan kebaikan lain yang pahalanya sampai kepada si mati.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.

Leave a Reply