Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum menulis ayat-ayat al-Quran di dinding-dinding masjid? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
(Surah Sad: 29)
Dalam ayat ini, Allah menyatakan bahawa al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan juga peringatan kepada umat manusia seluruhnya. Imam al-Baidhawi mengatakan ayat ini bermaksud al-Quran diturunkan untuk tadabbur dan juga tazakkur (peringatan). (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 5/28).
Selain itu, Rasulullah SAW juga ada bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”
Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218); Ibn Hibban (772)
Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581).
Jadi, al-Quran adalah kalam Allah SWT yang mulia, merupakan petunjuk buat kita manusia, maka ia perlulah dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya.
Seterusnya, dalam menjawab soalan ini, Syeikh Dr. Ali Jum‘ah ada menyatakan, menulis ayat-ayat al-Quran di dinding masjid adalah perkara yang disyariatkan dalam Islam, dan ia telah diamalkan oleh umat Islam sejak kurun awal lagi. Mereka mencantikkan seni ini dan menganggapnya sebagai satu cara untuk membesarkan syiar Allah SWT, serta mematuhi perintah Ilahi dalam membangunkan dan memuliakan masjid. Ini menjadi lebih penting pada zaman sekarang, di mana ukiran dan hiasan dianggap sebagai simbol penyucian dan penghormatan, dan manusia membina rumah serta tempat pertemuan mereka dengan kemewahan dan keindahan yang tinggi.
Para ulama telah menetapkan garis panduan untuk penulisan ayat-ayat al-Quran ini; antaranya adalah perkara yang disepakati dan wajib dipatuhi: seperti penulisan yang kukuh dan terperinci, serta tidak mudah jatuh atau diabaikan. Terdapat juga perkara yang diperselisihkan: seperti tidak menulisnya di dinding kiblat, tidak menggunakan emas, tidak menggunakan dana wakaf, atau tidak berlebih-lebihan. Mereka yang tidak menyukainya atau mengharamkannya adalah disebabkan kegagalan mematuhi garis panduan ini. Begitu juga, penulisan ayat-ayat al-Quran di dinding selain masjid mesti dilakukan dengan teliti dan teratur, menjaga kesucian dan penghormatan terhadap ayat-ayat tersebut.
Perlu diingat bahawa perkara ini adalah termasuk dalam perkara yang diperselisihi (khilafiyah) yang tidak boleh dipertikaikan; maka tidak boleh diingkari amalan ini, dan tidak boleh dihapuskan jika ia ditulis dengan cermat dan teliti, kerana ia dilakukan untuk membesarkan syiar Islam, dan menghapuskannya pula akan merosakkan maksud ini. Ulama juga ada menyatakan bahawa “Boleh jadi akan diwajibkan dalam keadaan berterusan, perkara yang tidak diwajibkan pada mulanya.”
Apabila menulis ayat-ayat al-Quran di masjid atau tempat lain, mestilah mematuhi garis panduan yang telah disepakati dan dipersetujui, serta memastikan penulisan tersebut dijaga dengan baik, dibersihkan, dan diperbaiki apabila diperlukan. Penulisan tersebut juga harus diselaraskan dari segi bentuk dan isi kandungan, serta keseimbangan antara keindahan dan keagungan; seperti yang dapat dilihat dalam penulisan indah di masjid-masjid umat Islam sepanjang sejarah, di timur dan barat, yang kebanyakannya menjadi mercu tanda yang memperlihatkan atau menunjukkan kehebatan seni bina Islam.[1]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menulis ayat-ayat al-Quran di dinding masjid kerana ia merupakan salah satu mercu tanda yang memperlihatkan keindahan seni bina Islam dan keagungan syiarnya, serta sudah menjadi amalan yang dilakukan oleh umat Islam sejak dahulu lagi.
Walau bagaimanapun, keharusan tersebut diikat dengan syarat ia di berada di tempat atau bahagian dinding yang sesuai dengan kemuliaannya dan tidak dihinakan seperti di bahagian-bahagian dinding yang tinggi dan bukannya rendah. Begitu juga ayat-ayat al-Quran itu mestilah dijaga kesucian dan kebersihannya daripada dicemari dengan najis dan kotoran, serta segera diperbaiki apabila diperlukan demi menjaga kemuliaan dan kesuciannya. Ini kerana dibimbangi kecuaian dalam menjaga hal seperti itu akan menjadikan dia termasuk dalam golongan yang menghina atau merendah-rendahkan kedudukan al-Quran.
Apatah lagi terdapat ancaman yang keras bagi mereka yang sengaja menghina atau merendah-rendahkan al-Quran mahupun ayat-ayatnya. Al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar–alifta.org/ar/fatawa/13900/حكم–كتابة–القران–على–جدران–المسجد. Diakses pada 28 Ogos 2024.