Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Di dalam solat berjemaah asar atau zohor, kadang-kadang saya secara tidak sengaja telah mendahului bacaan imam ketika bacaan Al-fatihah dan tahiyyat akhir. Disebabkan imam menggunakan mikrofon, bacaan imam kadang-kadang boleh terdengar oleh makmum melalui pembesar suara. Apakah hukumnya Ustaz? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.

Riwayat Ibnu Majah (828)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefardhuan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/283)

Hal ini memberi maksud bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca semasa menunaikan solat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. Inilah juga yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’, 3/288)

Dijelaskan dalam kitab Fath al-Mu’in seperti berikut: “Jika makmum mendahului Imam dengan bacaan al-Fatihah atau tasyahhud yang mana menghabiskan bacaan salah satu dari keduanya sebelum imam memulakan bacaan itu, maka ia tidak memudaratkan.” (Lihat Fath al-Mu’in, 2/48. Lihat juga Mughni al-Muhtaj, 1/255)

Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A’raf: 204)

Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Fokuskanlah pendengaran kamu kepadanya (bacaan Al-Quran) supaya kamu dapat memahami ayat-ayatnya serta mengambil ibrah dengan peringatan-peringatannya. Dan diamlah kamu supaya kamu dapat berfikir serta mentadabburinya. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan merahmati kamu disebabkan kamu mengambil perhatian akan peringatannya.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/345)

Beliau turut berkata: “Ahli tafsir berbeza pandangan mengenai keadaan yang diperintahkan oleh Allah untuk diam dan mendengar bacaan al-Quran yang dibaca; sebahagian mereka berpendapat perintah tersebut adalah ketika makmum mendengar bacaan imam di dalam solat dan ayat tersebut diturunkan kerana itu.” ( Lihat Jami’ al-Bayan, 13/345)

Justeru, menjawab persoalan di atas, para ulama menjelaskan bahawa jika imam adalah merupakan seorang yang cepat bacaan al-Fatihahnya, seperti ketika mendirikan solat tarawih, manakala makmum pula perlahan dalam membaca al-Fatihah, maka dalam situasi ini, dibolehkan bagi makmum untuk mula membaca bagi mengelakkan daripada selalu tertinggal. Justeru, dalam isu ini, hendaklah dilihat pada suasana-suasana dan keadaan-keadaannya. Hal ini sering berlaku ketika melakukan solat fardhu, tarawih di kampung-kampung mahupun di masjid di tempat kita. Maka, dalam situasi anda, solat anda tetap dikira sah.

Semoga Allah mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply