Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum solat jenazah jika imam menunaikannya dalam keadaan berjunub? Terdapat seorang lelaki yang bangun tidur dalam keadaan berjunub, kemudian dia diberitahu tentang kematian seorang saudaranya. Dia segera pergi, dan ketika solat jenazah, dia dilantik menjadi imam, lalu dia menunaikan solat tersebut sebagai imam dalam keadaan terlupa bahawa dia dalam keadaan berjunub. Dia hanya teringat tentang junubnya selepas pulang dari pengebumian. Apakah hukum solatnya? Dan apakah hukum solat makmum yang mengikutinya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jenazah mempunyai keutamaan yang besar dan ganjaran yang agung. Ia adalah salah satu hak si mati ke atas orang yang masih hidup, dan termasuk dalam fardhu kifayah. Syariat Islam sangat menekankan pelaksanaannya dan mendorong umat untuk merebut ganjarannya. Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اتَّبَعَ جَنَازَةَ مُسْلِمٍ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، وَكَانَ مَعَهُ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا وَيَفْرُغَ مِنْ دَفْنِهَا، فَإِنَّهُ يَرْجِعُ مِنَ الأَجْرِ بِقِيرَاطَيْنِ، كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ، وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ قَبْلَ أَنْ تُدْفَنَ، فَإِنَّهُ يَرْجِعُ مِنْ الأَجْرِ بِقِيرَاطٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengiringi jenazah muslim dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, serta tetap bersamanya hingga dia selesai solat jenazah ke atasnya dan mengebumikannya, maka dia akan pulang dengan membawa pahala sebanyak dua qirat, dengan setiap satu qirat menyamai bukit Uhud. Barangsiapa yang solat ke atas jenazah dan kemudian pulang sebelum ia dikebumikan, dia pulang dengan membawa pahala sebanyak satu qirat.

Riwayat al-Bukhari (47)

Imam al-Tibi menyebutkan dalam Syarh al-Misykah (4/1393) bahawa sabda Nabi “كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ”, hal itu adalah tafsiran/penjelasan bagi maksud kata-kata tersebut, bukannya makna bagi lafaz qirat. Sebenarnya, ia merujuk kepada dua bahagian daripada jenis ganjaran, di mana makna qirat yang merupakan bahagian dari dinar, menunjukkan bahawa ungkapan “dua qirat” tidak jelas dari dua sudut; pertama, jenis ganjaran dijelaskan dengan perkataan “dari ganjaran,” kemudian jumlah yang dimaksudkan pula dijelaskan dengan perkataan “seperti Uhud.”

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dalam Fath al-Bari (3/ 195),  al-Zain bin al-Munir menyebutkan, maksudnya adalah untuk memuliakan/membesarkan ganjaran; maka ia diumpamakan kepada yang paling besar dalam bentuk dan yang paling dicintai oleh jiwa-jiwa yang beriman.

Suci daripada Hadas Merupakan Syarat Sah Solat Jenazah

Dalam hukum syarak, suci daripada hadas besar dan kecil adalah syarat untuk sahnya solat jenazah, berdasarkan hadith-hadith umum yang berkaitan. Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لاَ يَقْبَلُ اللهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Maksudnya: “Allah tidak akan menerima solat salah seorang kamu apabila dia berhadas sehinggalah dia berwuduk.”

Riwayat al-Bukhari (6954)

Begitu juga riwayat daripada Abu al-Malih ‘Amir bin Usamah al-Huzali, daripada bapanya R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 إنَّ اللهَ لا يَقبَلُ صَلاةً بِغَيرِ طَهورٍ، وَلا صَدَقةً مِن غُلولٍ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak menerima solat tanpa taharah (dalam keadaan bersuci), dan tidak menerima sedekah daripada hasil penipuan.

Riwayat Abu Daud (59); al-Nasa’i (139); Ibn Majah (271) dan Ahmad (20708); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menilai sanadnya sebagai sahih.

Syams al-Din al-Safiri dalam Syarh Sahih al-Bukhari (2/ 263) menyebutkan, hadith Nabi SAW, “لاَ يَقْبَلُ اللهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ” adalah dalil yang menunjukkan kepada batalnya solat dengan hadas. Selain itu, padanya juga terdapat larangan bagi orang yang berhadas kecil untuk mendirikan solat, baik ia adalah solat sunat mahupun solat jenazah.

Ini adalah pandangan yang dipegang oleh majoriti fuqaha, dan ia disetujui dalam teks-teks mereka:

Al-‘Allamah al-Haddadi al-Hanafi dalam al-Jauharah al-Nayyirah (1/107) menyebutkan, di antara syarat sah solat jenazah adalah bersuci, menutup aurat, menghadap kiblat, dan berdiri.

Begitu juga Imam Ibn Rusyd al-Hafid al-Maliki dalam Bidayah al-Mujtahid (1/257) menyatakan ketika menyebut syarat-syarat solat jenazah bahawa kebanyakan ulama bersepakat bahawa antara syaratnya adalah bersuci, begitu juga mereka bersepakat bahawa syaratnya termasuk menghadap kiblat.

Selain itu, Imam al-Nawawi al-Syafi‘i dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (5/222) ada menyatakan, nas-nas Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya sepakat bahawa syarat sah solat jenazah adalah suci daripada hadas, serta suci daripada najis di badan, pakaian, dan tempat.

Menurut Imam Ibn Qudamah al-Hanbali ketika membincangkan syarat solat jenazah menyatakan, di antara syaratnya adalah bersuci, menghadap kiblat, dan niat; kerana ia adalah salah satu solat, maka ia menyerupai solat yang lain. (Lihat al-Kafi, 1/363).

Menurut Abu al-Sa‘adat al-Buhuti al-Hanbali dalam Kassyaf al-Qina‘ (1/134) menyatakan, sesiapa yang mengalami hadas besar atau kecil, maka dia dilarang mendirikan solat berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A bahawa Nabi SAW bersabda: “لَا يَقْبَلُ اللهُ الصَّلَاةَ بِغَيْرِ طُهُورٍ” (Allah tidak menerima solat tanpa taharah) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Ini merangkumi solat wajib, sunat, sujud semata-mata seperti sujud tilawah, dan berdiri semata-mata seperti solat jenazah.

Pandangan Ulama tentang Solat Jenazah jika Imam Solat dalam Keadaan Berjunub

Para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukum solat jenazah jika imam solat dalam keadaan junub dan tidak menyedarinya (kerana terlupa); sama ada solat makmum di belakangnya batal ataupun tidak? Perbezaan pendapat ini bergantung kepada sama ada sahnya solat makmum bergantung kepada sahnya solat imam atau tidak?

Pendapat yang mengatakan ia bergantung kepada sahnya solat imam berpendapat bahawa solat makmum menjadi batal jika imam dalam keadaan berjunub. Sebaliknya, pendapat yang mengatakan tidak bergantung pula berpendapat solat makmum adalah sah, walaupun imam dalam keadaan junub. Ada juga yang membezakan antara kelalaian dan sengaja berdasarkan prinsip mereka mengenai kesamaan niat antara imam dan makmum, seperti yang dinyatakan dalam Bidayah al-Mujtahid oleh Imam Ibn Rusyd al-Hafid (1/166).

Majoriti fuqaha daripada mazhab Maliki, Syafi‘i, dan Hanbali berpendapat bahawa solat makmum adalah sah secara mutlak, dan tidak perlu diulang, sama ada imam sedar atau tidak tentang keadaan junubnya. Ini kerana kesahihan solat makmum tidak bergantung kepada kesahihan solat imamnya. Oleh kerana perbuatan imam tidak menggantikan perbuatan makmum, maka solat makmum tidak terbatal disebabkan solat imam batal. Dalilnya adalah Imam yang berhadas ketika dalam solatnya, lalu dia meninggalkan (membatalkan) solat, makmum boleh meneruskan solatnya tanpa membatalkannya, dan solat makmum serta taharahnya tidak terbatal disebabkan terbatalnya taharah imam meskipun dia diikuti (dalam solat). Hal ini juga telah diriwayatkan daripada Umar, Uthman, Ali, dan Ibn Umar R.A, serta merupakan pendapat al-Hasan al-Basri, Sa‘id bin Jubair, al-Auza‘i, Sulaiman bin Harb, dan Abu Thaur.

Terdapat riwayat daripada al-Syarid al-Thaqafi R.A bahawa:

أَنَّ أمير المؤمنين عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ صَلَّى بِالنَّاسِ وَهُوَ جُنُبٌ، فَأَعَادَ، وَلَمْ يَأْمُرْهُمْ أَنْ يُعِيدُوا

Maksudnya: “Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A telah mendirikan solat dengan mengimamkan orang ramai dalam keadaan berjunub, kemudian beliau mengulangi solatnya, tetapi tidak menyuruh orang lain mengulanginya.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4073), al-Daraqutni dalam al-Sunan (1371) dan Ibn Abi Shaibah dalam al-Musannaf (4642)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Muhammad bin ‘Amr bin al-Harith bahawa:

أَنَّ أمير المؤمنين ذا النورَين عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ صَلَّى بِالنَّاسِ وَهُوَ جُنُبٌ، فَلَمَّا أَصْبَحَ نَظَرَ فِي ثَوْبِهِ احْتِلَامًا، فَقَالَ: كَبِرْتُ وَاللهِ إِنِّي لَأَرَانِي جُنُبًا ثُمَّ لَا أَعْلَمُ! ثُمَّ أَعَادَ، وَلَمْ يَأْمُرْهُمْ أَنْ يُعِيدُوا

Maksudnya: “Amirul Mukminin Zu al-Nurain Uthman bin Affan R.A solat dengan mengimamkan orang ramai dalam keadaan junub, dan apabila beliau melihat pakaiannya dan mendapati ia bercampur dengan air mani, beliau berkata: ‘Saya telah tua dan demi Allah, saya mengetahui diri saya dalam keadaan junub, kemudian saya tidak tahu (tidak mengingatinya)!’ Kemudian beliau mengulangi solatnya, tetapi tidak menyuruh orang lain mengulanginya.”

Selain itu, ‘Abd al-Rahman bin Mahdi berkata: “Aku bertanya kepada Sufyan dan dia berkata: ‘Aku mendengarnya perkara ini daripada Khalid bin Salamah, dan aku tidak dapat mengungkapkannya seperti yang aku kehendaki.’” ‘Abd al-Rahman berkata lagi: “Ini adalah perkara yang sudah disepakati; orang yang berhadas besar perlu mengulangi solat, tetapi makmum tidak perlu mengulangi solat. Saya tidak mengetahui adanya perbezaan pendapat dalam hal ini.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4132), al-Daraqutni dalam al-Sunan (1372)

Menurut Imam Abu al-Walid Ibn Rusyd al-Jad al-Maliki dalam al-Bayan wa al-Tahsil (2/263) berkenaan sekiranya imam solat jenazah dalam keadaan berjunub dan tidak menyedarinya sehinggalah jenazah dikebumikan, bagaimana jika mereka mengetahui hal itu sebelum jenazah dikebumikan tetapi selepas dimasukkan ke dalam lahad (liang); Adakah solat tersebut perlu diulang? Ibn al-Qasim menyebutkan, aku berpendapat solat mereka sah dan tidak perlu diulang. Bukankah jika seorang lelaki solat wajib dalam keadaan junub dalam keadaan terlupa, dan kemudian menyedarinya selepas salam, solat mereka tetap sah?! Begitu juga dengan solat jenazah; solat tersebut sah dan tidak perlu diulang semula

Imam al-Mawardi al-Syafi‘i dalam al-Hawi al-Kabir (2/238) menyatakan, Imam al-Syafi‘i menyebutkan, jika seorang yang sedang dalam junub solat mengimamkan orang ramai, dia perlu mengulangi solatnya, tetapi orang ramai tidak perlu mengulanginya. Beliau berhujah mengenai perkara itu berdasarkan kepada perbuatan Umar bin al-Khattab dan al-Abbas R.Anhuma. Al-Muzani menyatakan, beliau (Imam al-Syafi‘i) juga ada menyebutkan, seperti mana perbuatan imam itu tidak mencukupi bagi (menggantikan) perbuatanku, begitulah juga kerosakan/batalnya solat imam tidak membatalkan solatku — tidak memberi kesan kepada solat makmum. Jadi, sebagaimana dibolehkan bagi Imam yang berhadas untuk membatalkan dan beredar (untuk pergi berwuduk), sedangkan aku (makmum) pula boleh meneruskan solat tanpa membatalkannya. Maka terbatallah perbuatan aku mengikuti imam tersebut, tetapi solatku tidak terbatal, begitu juga taharahku tidak terbatal disebabkan terbatalnya taharah imam.

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali juga ada menyebutkan, jika seseorang imam solat dengan mengimamkan jemaah dalam keadaan berhadas atau junub tanpa disedarinya, dan dia serta jemaah tidak mengetahuinya sehinggalah selesai solat; maka solat mereka adalah sah, tetapi solat imam adalah batal. Ini diriwayatkan daripada Umar, Uthman, Ali, dan Ibn Umar R.Anhum, dan pendapat ini dipegang oleh al-Hasan, Sa‘id bin Jubair, Malik, al-Auza‘i, al-Syafi‘i, Sulaiman bin Harb, dan Abu Thaur.

Namun, Ali berpendapat bahawa imam dan jemaah perlu mengulangi solat, dan pendapat ini dipegang oleh Ibn Sirin, al-Sya‘bi, Abu Hanifah, dan ashabnya, kerana dia solat mengimamkan mereka dengan keadaan berhadas, seolah-olah dia mengetahuinya. Bagi kami (mazhab Hanbali), terdapat ijma‘ para sahabat R.Anhum, begitu juga terdapat riwayat daripada Umar R.A solat Subuh mengimamkan jemaah, kemudian pergi ke jurf (الجرف), lalu beliau menuangkan air dan mendapati terdapat kesan air mani pada pakaiannya, maka beliau mengulangi solatnya tetapi tidak menyuruh jemaah mengulanginya.

Begitu juga diriwayatkan daripada Muhammad bin ‘Amr bin al-Mustaliq al-Khuza‘i bahawa Uthman solat Subuh dengan mengimamkan orang ramai. Apabila pagi menjelang dan matahari sudah tinggi, beliau mendapati terdapat kesan junub. Beliau berkata: “Aku telah tua, demi Allah,” lalu beliau mengulangi solatnya tetapi tidak memerintahkan orang ramai untuk mengulanginya. (Lihat al-Mughni, 2/73-74).

Pendapat Mazhab Hanafi dalam Solat Jenazah, Jika Imam Mendirikan Solat dalam Keadaan Berjunub

Menurut pandangan mazhab Hanafi, jika imam mengimami solat dalam keadaan junub atau tidak berwuduk, maka solatnya dianggap batal begitu juga solat para makmum yang mengikutinya. Tidak kira sama ada imam tersebut sedar akan keadaan junubnya atau terlupa, mereka semua wajib mengulangi solat tersebut. Ini disebabkan solat imam berkait rapat dengan solat makmum dari segi sah atau batalnya. Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الْإِمَامُ ضَامِنٌ، وَالْمُؤَذِّنُ مُؤْتَمَنٌ، اللهُمَّ أَرْشِدِ الْأَئِمَّةَ، وَاغْفِرْ لِلْمُؤَذِّنِينَ

Maksudnya: “Imam adalah penjamin, dan muazzin adalah orang yang dipercayai. Ya Allah, bimbinglah para imam dan ampunilah para muazzin.”

Riwayat Ahmad (7169); Abu Dawud (517); al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (9486); al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (1/633)

Yang dimaksudkan dengan “jaminan” di sini ialah adanya maksud mengandungi (solat imam merangkumi solat makmum), bukan jaminan dalam erti kata sebenar. Maksudnya, solat imam merangkumi solat makmum, bukan sebaliknya. Sekurang-kurangnya, ia menunjukkan bahawa kedua-dua solat itu perlu setara. Jika solat imam batal, maka solat makmum juga batal kerana solat yang batal tidak boleh merangkumi solat yang sah; seperti mana sesuatu yang tidak wujud tidak boleh merangkumi sesuatu yang wujud.

Diriwayatkan daripada Sa‘id bin al-Musayyib secara mursal bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالنَّاسِ وَهُوَ جُنُبٌ، فَأَعَادَ وَأَعَادُوَا

Maksudnya:Nabi SAW pernah solat dengan mengimami orang ramai dalam keadaan berjunub, lalu Baginda mengulangi solat tersebut, dan para makmum juga mengulanginya.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (4568), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4077) dan al-Daraqutni dalam al-Sunan (1369)

Ala’ al-Din al-Kasani menyebutkan dalam kitabnya Bada’i‘ al-Sana’i‘ (1/140) mengenai solat di belakang imam yang dalam keadaan tidak berwuduk atau berjunub bahawa jika imam tersebut mengetahui/sedar tentang hal itu, maka solatnya tidak sah berdasarkan ijma‘. Namun, jika dia tidak mengetahui/sedar perkara tersebut dan kemudian baru mengetahuinya, maka hukumnya tetap sama menurut kami (mazhab Hanafi). Dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan bahawa Nabi SAW mengimami solat bersama para sahabatnya, kemudian Baginda teringat bahawa Baginda dalam keadaan junub, lalu Baginda mengulangi solatnya dan memerintahkan para sahabat untuk mengulanginya juga. Baginda bersabda: “Sesiapa yang mengimami suatu kaum kemudian dia teringat bahawa dia dalam keadaan junub, maka dia hendaklah mengulangi solatnya, dan mereka juga hendaklah mengulanginya.” Hadith semisalnya juga diriwayatkan daripada Umar dan Ali R.Anhuma.

Kamal al-Din Ibn al-Humam menyatakan dalam kitabnya Fath al-Qadir (1/374) ketika menjelaskan mengapa solat makmum menjadi tidak sah jika solat imam tidak sah: “[Antara yang dijadikan dalil untuk hal ini ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ‘Imam adalah penjamin.’ Ini menunjukkan bahawa maksud penjamin adalah merujuk kepada makna/konsep mengandungi/meliputi (التضمن), bukan dalam erti kata sebenar sebagai penjamin. Sekurang-kurangnya, ia menunjukkan bahawa kedua-dua solat itu perlu setara. Ini bermaksud setiap tindakan yang dilakukan oleh imam turut melibatkan perkara yang sama pada makmum. Dalam konteks ini, jika solat imam batal, maka solat makmum juga batal, kerana sesuatu yang wujud (tidak sah) tidak boleh mengandungi/meliputi sesuatu yang wujud (yang sah). Inilah maksud pernyataan tersebut mengenai keharusan dan batalnya solat.

Zain al-Din Ibn Nujaim juga ada menyebutkan dalam kitabnya al-Bahr al-Ra’iq (2/193) mengenai syarat sahnya solat jenazah bahawa jika imam solat tanpa berwuduk, mereka (makmum) harus mengulanginya, kerana solat tanpa wuduk tidak sah, maka jika solat imam tidak sah, solat makmum juga tidak sah.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbincangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa solat makmum tetap sah dalam semua keadaan, dan mereka tidak perlu mengulangi solat, sama ada imam itu sedar akan keadaan junubnya atau terlupa tentangnya sebagaimana pendapat jumhur ulama. Ini juga adalah pendapat yang difatwakan oleh Dr. Syauqi Ibrahim ‘Allam dalam Dar al-Ifta’ al-Misriyyah.[1] Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat yang sabit daripada para sahabat dan tabi‘in, bahkan ia dilihat lebih dekat dan sesuai dengan semangat syariat dan selaras dengan tujuan umum syariat, yang antaranya termasuk firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).

(Surah al-An‘am: 164)

Adapun pendapat yang dipegang oleh mazhab Hanafi dalam isu ini telah dikritik dan dijawab oleh para ulama, di mana hadith Sa‘id bin al-Musayyib hanyalah daripada hadith-hadith mursalnya, dan ia tidak diketahui melainkan melalui Abu Jabir al-Bayadhi, yang dianggap sebagai perawi yang lemah dan ditinggalkan hadithnya. Imam Malik tidak meredhai riwayat daripadanya, manakala Ibn Ma‘in menuduhnya sebagai pembohong. Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan mengenainya: “Sesiapa yang meriwayatkan daripada al-Bayadhi, semoga Allah memutihkan matanya,” seperti yang disebut dalam Khulasah al-Ahkam oleh Imam al-Nawawi (2/697), al-Tanqih oleh Syamsuddin al-Zahabi (1/264), Nasb al-Rayah oleh Fakhruddin al-Zaila‘i (2/58), al-Badr al-Munir oleh Sirajuddin Ibn al-Mulaqqin (4/442) dan al-Dirayah oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (1/174).

Manakala hadith Abu Hurairah R.A yang dijadikan dalil oleh mazhab Hanafi; penjelasannya adalah yang dimaksudkan dengan “jaminan” dalam hadith tersebut adalah imam menanggung kesalahan makmum seperti yang berlaku dalam kes terlupa, bacaan dengan kuat, surah, al-Fatihah, dan lain-lain, seperti yang disebutkan dalam Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syirbini (1/436) dan Hasyiah Syams al-Din al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib (1/193).

Sebagai kesimpulannya juga, berbalik kepada soalan di atas dan merujuk kepada situasi dalam soalan, oleh kerana lelaki yang disebutkan itu telah diangkat menjadi imam solat jenazah ketika dia terlupa akan keadaan junubnya, lalu dia mengimamkan solat jenazah dan hanya teringat semula tentang junubnya selepas selesai solat dan kembali dari pengebumian, maka kami katakan bahawa solatnya adalah batal untuk dirinya sendiri sahaja. Namun, solat makmum yang mengikutinya adalah tetap dianggap sah dari segi syarak, dan tidak ada apa-apa ke atas mereka sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/18459/حكمصلاةالجنازةاذاصلىالاماموهوعلىجنابة. Diakses pada 30 Ogos 2024.

Leave a Reply