Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat hadith yang menyatakan bahawa kebanyakan sebab dicampakkan ke dalam neraka adalah kerana tidak menjaga mulut dan kemaluan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam.”
Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan benar, sememangnya di sana terdapat hadith yang menyatakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya dan begitu juga kemaluannya ketika hidup di dunia. Antara hadith yang menceritakan berkaitan hal tersebut adalah:
Daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ قَالَ: التَّقْوَى وَحُسْنُ الْخُلُقِ. وَسُئِلَ: مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّارَ قَالَ: الْفَمُ وَالْفَرْجُ
Maksudnya: “Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda SAW menjawab: ‘Bertaqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.’ Dan Baginda SAW turut ditanya berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka. Baginda SAW menjawab: ‘Mulut dan kemaluan.’”
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (2004), Ibn Majah (4246), dan al-Hakim (4/324) melalui jalur Abdullah bin Idris, katanya: Bapaku menyampaikan kepadaku, daripada datukku, daripada Abu Hurairah R.A, kemudian dinyatakan hadith sebagaimana yang kami sudah sebutkan di atas.
Imam al-Tirmizi menyatakan, hadith ini adalah sahih gharib. Manakala al-Hakim menyatakan, hadith ini sanadnya adalah sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, sedangkan al-Zahabi pula diam mengenai statusnya (tidak memberikan sebarang komentar).
Abdullah bin Idris adalah seorang yang thiqah (dipercayai), faqih dan abid sebagaimana disebutkan dalam al-Taqrib dan ayahnya iaitu Idris, juga seorang yang thiqah sebagaimana disebut dalam al-Taqrib. Manakala datuknya, Yazid bin ‘Abd al-Rahman al-Audi, hanya dinilai sebagai thiqah oleh al-‘Ajli,[1] dan Ibn Hibban menyebutnya dalam al-Thiqat (5/542). Al-Zahabi dalam al-Kasyif (2/386) berkata: Beliau dinilai sebagai thiqah, dan al-Hafiz dalam al-Taqrib menilainya sebagai maqbul. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/369).
Syeikh Abdullah al-Talidi menyebutkan dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini, hadith ini membicarakan berkaitan sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Adapun berkaitan maksud mulut di dalam hadith adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya. (Lihat Jawahir al-Bihar, 1/170).
Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan, manusia biasanya disebabkan oleh kedua-dua perkara tersebut (mulut dan kemaluan), dia terjatuh dalam perbuatan yang menyalahi perintah Pencipta dan meninggalkan pelanggaran dengan makhluk. Dengan itu, jelaslah hubungan antara dua perkara tersebut dalam percakapan, dan Allah lebih mengetahui maksud yang sebenarnya. Al-Tibi berkata: Perkataan “takwa kepada Allah” merujuk kepada kebaikan dalam berurusan dengan Pencipta, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, manakala “akhlak yang baik” merujuk kepada kebaikan dalam berurusan dengan makhluk.
Kedua-dua sifat ini membawa kepada kemasukan ke dalam syurga, dan lawannya adalah neraka. Oleh itu, disebutkan mulut dan kemaluan sebagai balasan sebaliknya bagi kedua-duanya. Adapun mulut, ia merangkumi lidah dan menjaga segala urusan agama, serta makan makanan halal adalah asas kepada takwa sepenuhnya. Manakala menjaga kemaluan adalah salah satu tingkatan tertinggi dalam agama. Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya.”
(Surah al-Mukminun: 5)
Begitu juga kerana syahwat atau keinginan ini adalah syahwat dan keinginan yang paling kuat menguasai manusia dan paling sukar dikawal oleh akal ketika ia bergelora. Sesiapa yang meninggalkan zina kerana takut kepada Allah, walaupun dia mampu melakukannya, tanpa sebarang halangan dan segala kemudahan ada, terutamanya ketika keinginannya benar-benar kuat, maka dia telah mencapai tingkatan siddiqin. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/3036).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada soalan di atas, kami katakan dan tegaskan sekali lagi bahawa benar, sememangnya di sana terdapat hadith yang menyatakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya dan begitu juga kemaluannya ketika hidup di dunia sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Hadith itu pula adalah sahih dan sabit daripada Nabi SAW.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Hujung:
[1] Penilaiannya sebagai thiqah oleh al-‘Ajli disebutkan oleh Ibn Hajar dalam Tahzib al-Tahzib (11/302) dan tidak didapati dalam kitab Tarikh al-Thiqat karya al-‘Ajli yang bercetak.