Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada melihat seekor ikan yang dipanggil sebagai ikan mola mola atau common mola yang dikenali sebagai gergasi lautan. Ikan ini rupanya seperti sedikit pelik, jadi soalan saya halalkah ia untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan definisi dan sedikit penjelasan berkenaan ikan mola mola atau common mola ini. Mola, mana-mana daripada enam spesies ikan lautan daripada keluarga Molidae. Molas mempunyai bentuk unik seperti peluru, dengan badan pendek yang berakhir secara tiba-tiba dalam struktur tebal seperti kemudi yang dipanggil clavus tepat di belakang sirip punggung dan dubur yang berbentuk segitiga tinggi. Perkembangan clavus ini terhasil daripada lipatan sirip belakang mola ke dalam badannya semasa ikan membesar. Ikan-ikan ini juga diratakan dari sisi ke sisi, mempunyai kulit yang keras, mulut yang kecil, dan gigi yang bersatu seperti paruh. Molas adalah yang terbesar dalam kalangan ikan bertulang, dan mereka dibahagikan kepada tiga genera: Mola, Masturus, dan Ranzania.
(Sumber gambar: https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/8/84/Sunfish2.jpg)
Ikan mola (M. mola) adalah spesies besar berwarna kelabu atau kecoklatan yang mencapai panjang maksimum sekitar 3.3 meter (10.9 kaki) dan berat kira-kira 1,900 kg (4,000 paun). Bentuknya yang lebih kurang bujur atau bulat dinamakan sempena batu kisar, atau “mola,” yang mana ia disamakan oleh ahli botani dan taksonomi Sweden, Carolus Linnaeus. Mola ditemui di kawasan beriklim sederhana dan tropika di seluruh dunia, dan biasanya berada di laut terbuka, sering di permukaan. Ikan mola selatan (M. ramsayi) sedikit lebih kecil, dengan panjang sekitar 3 meter (9.9 kaki), dan berasal dari lautan Pasifik barat daya. Ikan mola hoodwinker (M. tecta) ditemui pada tahun 2017, menjadi spesies mola baru yang pertama dijumpai dalam lebih 130 tahun, dan dipercayai tersebar luas di lautan beriklim di Hemisfera Selatan. Ikan mola hoodwinker jauh lebih kecil daripada dua spesies lain dalam genus ini, dengan panjang maksimum 2.42 meter (7.9 kaki). Ahli terbesar dalam genus ini, M. alexandrini, adalah ikan bertulang paling besar yang diketahui; spesimen terbesar yang pernah direkodkan mencapai panjang 3.32 meter (10.9 kaki) dan boleh mencapai berat 2,300 kg (kira-kira 2.5 tan).
(Sumber gambar: https://www.livescience.com/61124-worlds-heaviest-bony-fish-found.html)
Variasi lain ikan mola dalam genus lain juga mempunyai bahagian belakang yang terpotong pendek di belakang sirip punggung dan sirip dubur. Ikan mola ekor tajam (Masturus lanceolatus) juga sangat besar; panjang maksimumnya adalah 3.37 meter (11.1 kaki). Namun, ikan mola langsing (Ranzania laevis) lebih kecil, dengan panjang tidak melebihi 1 meter (39.3 inci).[1]
Memakan Ikan Mola Mola (Common Mola)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, haiwan laut/air dapat dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/244)
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”
Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.
Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548).
Bahkan, ulama mazhab Hanafi berpendapat jenis hidupan air yang halal dimakan hanyalah ikan sahaja. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar al-Quduri (hlm. 207) bahawa tidak dimakan haiwan/hidupan air melainkan hanya ikan dan makruh (tahrim) memakan yang terapung daripadanya (ikan tersebut), serta tidak mengapa memakan al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut).[2] Begitu juga al-Sarakhsi daripada kalangan ulama Hanafiyyah turut menyebutkan bahawa semua jenis ikan adalah halal dimakan. Al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut) serta selainnya adalah sama sahaja (dari segi hukumnya). Manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi kami. (Lihat al-Mabsut, 11/248).
Di antara sebab haiwan/hidupan air selain ikan tidak halal dimakan di sisi Hanafiyyah kerana ia dianggap sebagai khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Hidupan air selain ikan adalah termasuk dalam benda khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh ‘Abd al-Ghani al-Maidani dalam al-Lubab fi Syarh al-Kitab (3/231) ketika mensyarahkan kenyataan al-Quduri dan begitu juga turut disebutkan oleh al-Marghinani dalam al-Hidayah fi Syarh Bidayah al-Mubtadi (4/353).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa ikan mola mola (common mola) adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya seperti mengandungi racun dan seumpamanya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan lautan dalam dan dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.
Bahkan terdapat fakta menunjukkan bahawa daging ikan mola ini dianggap sebagai makanan istimewa di beberapa wilayah, pasaran terbesar ialah Taiwan dan Jepun.[3] Begitu juga dikatakan bahawa ikan Mola Mola, atau Ocean Sunfish, bukanlah ikan yang biasa ditemui dalam kalangan masakan. Walau bagaimanapun, ia telah dimakan di beberapa kawasan, terutamanya di Mediterranean. Meskipun boleh dimakan, terdapat kebimbangan mengenai keselamatan makanan, khususnya berkaitan dengan keracunan makanan dalam beberapa kes. Satu lagi kebimbangan utama bagi mereka yang mempertimbangkan untuk memakan Mola Mola ialah potensi paras merkuri yang tinggi. Pencemaran merkuri adalah isu yang biasa berlaku dalam haiwan laut besar, terutamanya ikan, dan boleh memberi ancaman kepada kesihatan manusia apabila dimakan dalam kuantiti yang tinggi.[4]
Oleh yang demikian, kami tegaskan sekali lagi bahawa ikan mola mola harus dan halal untuk dimakan sebagaimana hukum asalnya sebagai haiwan laut selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.” (Lihat Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, hlm. 360).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/mola-fish-family#ref1254235. Diakses pada 30 Ogos 2024.
[2] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).
[3] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Ocean_sunfish#:~:text=Collisions%20with%20sunfish%20are%20common,markets%20being%20Taiwan%20and%20Japan. Diakses pada 30 Ogos 2024.
[4] Lihat https://www.americanoceans.org/facts/can-you-eat-sunfish/. Diakses pada 30 Ogos 2024.