Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan bagaimana keyakinan dan akidah Umar Mukhtar terhadap isu qadha dan qadar terutamanya jawapan beliau ketika ditangkap oleh tentera Itali pada tahun 1931?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami terangkan terlebih dahulu, makna Qadha dan Qadar:
Beriman kepada qadha’ dan qadar termasuk dalam rukun iman yang enam yang wajib kita yakini. Hadith Ibn Umar bin al-Kattab yang lebih dikenali sebagai hadith Jibril menyebut tentang iman. Antaranya:
قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الْإِيمَانِ. قَالَ: «أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ» قَالَ: صَدَقْتَ.
Maksudnya: Kemudian dia bertanya lagi: ‘Ceritakan kepadaku tentang Iman.’ Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk.’ Kemudian dia berkata: ‘Anda berkata benar.’
Riwayat Muslim (8) pada permulaan kitab al-Iman
Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qada’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qada’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah.
Ibn al-Athir mengumpamakan dengan mengatakan Qadar adalah asas atau tapak binaan, dan Qada’ pula ialah binaan yang dibangunkan di atas asas tersebut. Sayyid Sabiq melalui kitabnya Aqidah Islam menyebut, telah disebut berulang kali di dalam al-Quran al-Karim masalah qadar atau takdir, antaranya:
Segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan. Firman Allah SWT:
وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ
Maksudnya: “Dan segala sesuatu itu di sisi Tuhan adalah ketentuan takdir.”
(Surah al-Ra’d: 8)
Al-Maragi mengulas: Setiap sesuatu mempunyai batas waktu yang telah ditentukan iaitu tidak lebih dan tidak kurang.
Segala sesuatu diciptakan dengan takdir sebagaimana firman Allah SWT:
وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ
Maksudnya: “Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.”
(Surah al-Hijr: 21)
Sayyid Qutb berkata: Hanya kepada Allah SWT pulangnya segala sesuatu dan pulangnya setiap orang tepat pada waktu nya yang ditetapkan.
Segala sesuatu diciptakan dengan takdir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:
إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir.”
(Surah al-Qamar: 49)
Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi dalam kehidupan dunia ini, adalah ketentuan Allah SWT dan pembentukannya, menurut ketentuan hikmah-Nya Yang Maha Bijaksana dan aturan-Nya yang menyeluruh dan sesuai dengan sunnah-sunnah yang Dia letakkan pada makhluk-Nya.”
Kesimpulan yang dapat diambil daripada ayat di atas ialah bahawa makna qadar atau takdir itu ialah suatu peraturan yang tertentu yang telah dibuat oleh Allah SWT untuk segala yang ada di alam semesta yang maujud ini.
Menjawab persoalan di atas, kami katakan dengan menukilkan pendapat Dr. Ali Muhammad al-Salabi yang berkata bahawa saya tidak tahu ada seorang pun Muslim yang jujur yang merasakan kasih sayang terhadap orang Kristian secara umum, apatah lagi mereka yang mengatakan Allah adalah salah satu daripada tiga tuhan dan mengatakan Isa adalah anak Allah. Namun, dakwaan Graziani bahawa Umar Mukhtar tidak membenci rakyat Itali adalah satu dakwaan daripadanya.
Dan mengenai ucapan Umar Mukhtar, “Agamaku telah memerintahkan aku untuk memerangi kamu,” ini adalah yang selayaknya bagi keadaannya dan kebencian seorang Muslim terhadap orang Kristian yang tidak beriman, yang menyembah Pencipta mereka, Pemberi rezeki mereka, Pemilik mereka, dan Pengurus urusan mereka. Maha Suci Allah daripada apa yang dikatakan oleh orang-orang yang zalim dengan kezaliman yang besar.
Ayat-ayat yang jelas dan nyata sebelum ini menghalang seorang ulama yang berilmu dan seorang syeikh yang mulia daripada mengatakan bahawa dia tidak membenci musuh-musuh Allah, pelindung salib.
Graziani meneruskan dalam bukunya “Barqah yang Tenang” dengan berkata: Umar Mukhtar telah mengucapkan kata-kata bersejarah: Sesungguhnya penahanan saya adalah ketentuan Allah dan telah ditetapkan dalam ilmu-Nya yang Maha Suci. Sekarang saya berada di tangan kerajaan Fasis Itali dan kini menjadi tawanan mereka. Allah melakukan apa yang Dia kehendaki terhadap saya.
Kamu telah menangkapku sebagai tawanan dan kamu mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja terhadapku. Apa yang ingin aku katakan dengan penuh keyakinan ialah aku tidak pernah terfikir untuk menyerahkan diriku kepada kamu walau seberat mana pun tekanan yang aku hadapi. Namun, kehendak Allah telah menentukan ini, maka tiada siapa yang dapat menolak ketentuan Allah.”
Ini adalah aqidah qada’ dan qadar yang merupakan salah satu rukun iman yang dibawa oleh Islam. Ia telah terjelma dalam kehidupan Umar al-Mukhtar. Ayat-ayat yang mulia ini menjelaskan bahawa segala yang berlaku kepada manusia telah ditetapkan, maka dia tidak seharusnya bersedih atau berputus asa kerana segala urusan adalah dengan ketentuan dan takdir-Nya.
Umar al-Mukhtar telah dibesarkan dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Ibn Abbas meriwayatkan daripada Rasulullah SAW:
وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ
Maksudnya: “Ketahuilah, jika seluruh umat berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat memberi manfaat kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkanmu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat memudaratkan kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” [Riwayat al-Tirmizi (2516) dan Ahmad (2669)]
Akidah yang benar ini telah mantap dalam hati Syeikh yang mulia, dan telah diterjemahkan menjadi amalan dalam kehidupannya, yang tercermin dalam pendirian akidah dan tindakan kepahlawanannya. Tidak salah jika kita mengatakan bahawa pendirian dan perjalanan hidupnya yang harum menunjukkan bahawa beliau adalah seorang lelaki yang teguh berpegang pada akidah.
Semoga Allah thabitkan di atas agama Islam sehingga akhir hayat kita. Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”