Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan cara doakan jenazah kanak-kanak yang meninggal dunia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Kesemua orang yang meninggal dunia daripada 4 bulan kandungan mesti diuruskan dengan cara pengurusan jenazah islam, iaitu, dimandikan, disolatkan, dikafankan dan dikebumikan.

Hal ini sekiranya janin tersebut gugur selepas 4 bulan dan terzahir tanda kehidupan dengan teriakan atau suara (istihlal), kemudian mati maka sepakat ulama bahawa bayi tersebut perlu dimandikan, disolatkan, dikafankan dan ditanam kerana dia adalah seorang manusia yang bernyawa. Jika kandungan tersebut gugur sebelum 4 bulan dan tiada istihlal, maka tidak diwajibkan untuk dimandikan atau disolatkan. Cukup diletakkan dalam bungkusan kain dan ditanam. Namun, begitu jika janin gugur selepas 4 bulan umur kandungan tetapi keluarnya tanpa ada istihlal atau bergerak (tanda-tanda nyawa), maka disini ulama berbeza pandangan;

  • Pertama, al-siqt, atau kandungan yang gugur itu dimandikan dan disolatkan kerana kandungan yang berusia 120 hari sudah dimasuki ruh. Ini ialah pendapat qadim Imam al-Syafie.
  • Kedua, kandungan yang gugur itu tidak disolatkan kerana tidak sabit baginya hak-hak dunia seperti perwarisan dan sebagainya, lantaran tidak bukti roh pernah dimasuki. Ini ialah pendapat jadid Imam al-Syafie dalam al-Umm. Inilah pendapat yang asah menurut Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab. (Lihat al-Majmu’, 5/255)

Kanak-kanak dimandikan dan disolatkan menurut pandangan umum para ulama. Ibn Qudamah berkata bahawa hal ini tidak ada perselisihan. Ibnu al-Munzir juga menyatakan ijma’ (kesepakatan) para ulama bahawa dia disolatkan. (Lihat al-Mughni, 3/458).

Doa untuk Jenazah Kanak-kanak

Jika seorang kanak-kanak meninggal dunia, tidak disyariatkan untuk mendoakan keampunan bagi kanak-kanak itu, kerana dia tidak mempunyai dosa, dan keampunan adalah untuk menutupi dosa dan tidak dikenakan hukuman ke atasnya. Namun, tidak ada masalah untuk mendoakan rahmat baginya, kerana rahmat Allah diperlukan oleh setiap makhluk, sama ada kecil atau besar. Sunnah mengajarkan agar mendoakan ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Hal ini berdasarkan riwayat daripada al-Mughirah bin Syu’bah bahawa Nabi SAW bersabda:

والطِّفْل يُصَلَّى عَلَيْهِ وَيُدْعَى لِوَالِدَيْهِ بِالْمَغْفِرَةِ وَالرَّحْمَةِ

Maksudnya: “Kanak-kanak disolatkan dan didoakan untuk ibu bapanya dengan keampunan dan rahmat.”

Riwayat Abu Dawud (3180) dan al-Tirmizi (1031). Hadith ini disahihkan oleh al-Albani dalam Ahkam al-Janaiz (hlm. 73)

Namun begitu, tidak terdapat dalam sunnah doa khusus yang dianjurkan untuk ibu bapa kanak-kanak tersebut. Dalam kitab Aun al-Ma’bud syarah Sunan Abi Dawud, disebut: “Adapun solat jenazah untuk kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh, ia adalah sama seperti solat jenazah untuk orang dewasa, dan tidak ada riwayat sahih daripada Nabi SAW yang mengajarkan para sahabatnya doa khusus untuk anak kecil yang meninggal, selain daripada doa yang diajarkan untuk orang dewasa yang meninggal. Bahkan baginda SAW biasa berdoa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua.”

Sebagaimana yang telah diketahui. Malik meriwayatkan dalam al-Muwatta’ daripada Yahya bin Sa’id bahawa dia berkata: ‘Aku mendengar Said bin al-Musayyib berkata: Aku solat di belakang Abu Hurairah untuk seorang kanak-kanak yang tidak pernah melakukan dosa, lalu aku mendengarnya berkata: Ya Allah, lindungilah dia daripada azab kubur.’” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 5/101-102)

Ibn Qudamah berkata: “Jika si mati adalah seorang kanak-kanak, digantikan doa keampunan baginya dengan:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطًا لِوَالِدَيْهِ، وَذُخْرًا وَسَلَفًا وَأَجْرًا، اللَّهُمَّ ثَقِّلْ بِهِ مَوَازِينَهمَا، وَأَعْظِمْ بِهِ أُجُورَهمَا، اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ فِي كَفَالَةِ إِبْرَاهِيمَ، وَأَلْحِقْهُ بِصَالِحِ سَلَفِ الْمُؤْمِنِينَ، وَأَجِرْهُ بِرَحْمَتِكَ مِنْ عَذَابِ الْجَحِيمِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ.

Ya Allah, jadikanlah dia sebagai pendahulu bagi ibu bapanya, sebagai simpanan, pelopor, dan pahala bagi mereka. Ya Allah, beratkanlah timbangan mereka dengan keberkatan kehadirannya, dan perbesarkanlah pahala mereka. Ya Allah, tempatkanlah dia di dalam naungan Ibrahim dan gabungkanlah dia dengan para pendahulu yang soleh dalam kalangan orang beriman, dan selamatkanlah dia dengan rahmat-Mu daripada azab neraka, serta gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumahnya dan keluarga yang lebih baik daripada keluarganya …” atau doa-doa yang seumpamanya. Dengan mana-mana doa yang disebutkan atau yang serupa dengannya, cukuplah ia sebagai ganti dan tiada tempoh masa yang ditetapkan.” (Lihat al-Mughni, 2/182).

Al-Bahuti berkata: “Tidak disunnahkan untuk mendoakan keampunan baginya kerana dia adalah pemberi syafaat yang tidak memerlukan syafaat, dan tidak dikenakan hukum ke atasnya, maka beralih kepada mendoakan ibu bapanya adalah lebih utama daripada mendoakannya. Apa yang disebutkan daripada doa itu sesuai dengan keadaan yang dialaminya, maka disyariatkan sebagaimana keampunan bagi orang dewasa.” (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/115).

Syeikh Ibn Uthaimin berkata: “Demikianlah kata para ulama fiqh dan ia adalah doa yang baik, meskipun sebahagiannya tidak bersumber daripada sunnah, namun ia adalah doa yang baik.” (Lihat Liqa al-Bab al-Maftuh, Liqa No. 149).

Beliau juga berkata dalam al-Syarh al-Kafi : “Adapun kata-kata: ‘Lindungilah dia dengan rahmat-Mu daripada azab neraka’: ‘Hal ini menjadi kekeliruan bagi para ulama dan mereka bertanya bagaimana boleh didoakan agar Allah melindunginya daripada azab neraka sedangkan dia tidak akan diseksa kerana pena (penulisan dosa) telah diangkat darinya? Maka sebahagian mereka menjawab; doa ini untuk saat melintasi (titian sirat) di atas Jahannam, kerana manusia mungkin merasakan penderitaan semasa melintasi, termasuklah kanak-kanak, tetapi jawapan ini tidak kukuh. Jika didoakan untuk ibu bapanya dengan rahmat, pahala, dan ganjaran, itu sudah memadai.”

Syeikh Abdul Aziz bin Baz juga menyatakan: Didoakan untuk semua orang yang telah meninggal dunia, sama ada lelaki atau perempuan, atau kedua-duanya dengan lafaz: “Ya Allah, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka…” hingga akhir doa. Jika mereka berdua, maka dikatakan: “Ya Allah, ampunilah mereka berdua dan rahmatilah mereka berdua…” hingga akhir doa. Adapun bagi kanak-kanak, dikatakan dalam doa:

 اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ ذُخْرًا لِوَالِدَيْهِ، وَفَرَطًا وَشَفِيعًا مُجَابًا، اللَّهُمَّ أَعْظِمْ بِهِ أُجُورَهُمَا، وَثَقِّلْ بِهِ مَوَازِينَهُمَا، وَأَلْحِقْهُ بِصَالِحِ سَلَفِ الْمُؤْمِنِينَ، وَاجْعَلْهُ فِي كَفَالَةِ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ، وَقِهِ بِرَحْمَتِكَ عَذَابَ الْجَحِيمِ.

“Ya Allah, jadikanlah dia sebagai simpanan untuk ibu bapanya, sebagai pendahulu dan pemberi syafaat yang diterima, Ya Allah, perbesarkanlah pahala mereka dengan kehadirannya, beratkanlah timbangan mereka, dan gabungkanlah dia dengan para pendahulu yang soleh dalam kalangan orang beriman, dan tempatkanlah dia dalam naungan Ibrahim ‘alaihissalam, serta lindungilah dia dengan rahmat-Mu dari azab neraka.

Jika makmum tidak mengetahui bilangan orang yang telah meninggal, dia berdoa untuk mereka, dan jika tidak mengetahui jumlah mereka, dia berkata: “Ya Allah, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka…” hingga akhir doa. Dan Allah adalah Pelindung yang memberi taufik. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalat Syeikh Ibn Baz, 13/145).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa dalam pengurusan jenazah Islam, semua orang yang meninggal dunia selepas empat bulan kandungan mesti diuruskan mengikut tatacara yang ditetapkan, termasuk dimandikan, disolatkan, dikafankan, dan dikebumikan. Jika janin tersebut gugur sebelum mencapai empat bulan dan tidak menunjukkan tanda-tanda kehidupan seperti menangis atau bergerak, maka tidak diwajibkan untuk dimandikan atau disolatkan, cukup hanya dengan dikafankan dan dikebumikan.

Begitu juga tidak ada doa khusus yang diriwayatkan daripada Nabi SAW untuk kanak-kanak dalam solat jenazah. Namun, disebabkan oleh kanak-kanak tidak mempunyai dosa, sebahagian ulama menganjurkan agar menggantikan doa keampunan untuknya dengan doa untuk kedua-dua ibu bapanya. Bagi mayat kanak-kanak, boleh didoakan doa berikut atau seumpamanya :

اللّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطاً لِأَبَوَيهِ وَسَلَفًا وَذُخْرًا وَعِظَةً وَاعْتِبـَارًا وَشَفِيعًا، وَثَقِّلْ بِهِ مَوَازِينَهُمَا وَأَفْرِغْ الصَّبْرَ عَلَى قُلُوبِهِمَا وَلاَ تَفْتِنْهُمَا بَعْدَهُ وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهُ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah dia sebagai laba bagi ibu bapa kandungnya, sebagai pinjaman, sebagai simpanan, pengajaran, iktibar dan pemberi syafaat kepada mereka. Berikanlah timbangan amal mereka kerananya dan limpahkanlah kesabaran ke dalam hati mereka. Jangan menimbulkan fitnah kepada mereka selepas kematiannya dan jangan hilang pahalanya daripada dinikmati oleh mereka.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply