#7080: Hadith Kelebihan Buah Tembikai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah terdapat hadith mengenai kelebihan atau khasiat tembikai yang sahih? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (110)

Begitu juga Nabi SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa ancaman yang cukup keras terhadap pendusta-pendusta terhadap hadith Nabi SAW. Untuk itu, dapat kita simpulkan bahawa hukum berdusta di atas nama Nabi SAW adalah haram secara jelas berdasarkan nas-nas di atas.

Tidak diketahui daripada kalangan sahabat Nabi SAW yang berdusta di atas nama Nabi SAW. Ini kerana, Rasulullah SAW merupakan insan yang mulia dan agung untuk didustakan di atas nama Baginda SAW. Terdapat lebih daripada seratus orang sahabat Nabi SAW meriwayatkan hadith yang menceritakan berkaitan ancaman terhadap orang yang berdusta ini dengan neraka sebagai nasihat (peringatan) buat umat ini (Nabi Muhammad SAW) dan juga menjauhkan mereka daripada berdusta di atas nama Rasulullah SAW.

Menurut ahli sejarah bermulanya pemalsuan hadith Nabi SAW adalah apabila berlakunya fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman bin Affan RA. Ini kerana, pada waktu itu masuklah golongan-golongan al-Ahwa’ (golongan yang mengikut hawa nafsu) apabila berlakunya perpecahan dan perselisihan yang membawa kepada pendustaan terhadap hadith Nabi SAW agar hadith yang didustakan itu bertepatan dengan tuntutan hawa nafsunya. (Lihat al-Wadha‘ Fi al-Hadith al-Nabawi, 19-20).

Seterusnya, dalam menjawab soalan yang diajukan, tidak dapat dinafikan bahawa tembikai mempunyai banyak khasiat dari segi kesihatan. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara khasiat tembikai termasuklah:

  1. Menyokong sistem imuniti badan.
  2. Mengawal tekanan darah.
  3. Baik untuk kesihatan kulit dan mata.
  4. Membantu fungsi otot.
  5. Membantu mengurangkan risiko kanser.
  6. Membantu kesihatan jantung.
  7. Membantu mengekalkan hidrasi badan.[1]

Namun, berkenaan hadith yang menyatakan berkenaan khasiat mahupun kelebihannya, kami katakan bahawa tidak ditemui atau didapati satu pun hadith sahih yang menceritakan berkenaan kelebihan tembikai melainkan hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah memakannya.

Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah ketika menyebutkan berkenaan hadith-hadith palsu di mana beliau menyebutkan, di antaranya hadith-hadith mengenai tembikai dan kelebihnya. Kemudian beliau menukilkan kalam Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah yang menyebutkan:

لا يَصِحُّ فِي فَضْلِ الْبَطِّيخِ شَيْءٌ إِلا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله عليه وسلم كان يَأْكُلُهُ

Maksudnya: “Tidak ada satu pun hadith sahih yang menceritakan berkenaan kelebihan tembikai melainkan Rasulullah SAW pernah memakannya.” (Lihat al-Manar al-Munif, 1/130)

Begitu juga Imam Ibn al-Jauzi ada mengatakan tidak ada hadith sahih yang menyatakan kelebihan buah tembikai. (Lihat al-Maudhu‘at, 2/286).

Bahkan Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa tidak ada satu pun hadith yang sahih padanya — iaitu pada kelebihan buah tembikai. (Lihat Fatawa al-Nawawi, hlm. 266).

Selain itu, Imam al-Zarkasyi menegaskan tidak ada hadith yang thabit (daripada Nabi SAW) berkaitan kelebihan tembikai. (Lihat al-Masnu‘ fi Ma‘rifah al-Hadith al-Maudhu‘, hlm. 77).

Demikian juga Imam al-Fattani mengatakan bahawa hadith-hadith yang menceritakan tentang kelebihan tembikai adalah batil (tidak sahih). (Lihat Tazkirah al-Maudhu‘at, hlm. 148)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa tidak terdapat satu pun hadith sahih yang menyatakan berkenaan kelebihan buah tembikai melainkan hadith yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah memakannnya semasa hayat Baginda SAW.

Hadith sahih yang dimaksudkan itu ialah hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْكُلُ البِطِّيخَ بِالرُّطَبِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah memakan buah tembikai bersama kurma basah.”

Riwayat al-Tirmizi (1843)

Maka, hadith selain daripada hadith sahih di atas, tidak boleh untuk diriwayatkan mahupun disebarkan melainkan dengan dijelaskan berkenaan kepalsuannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/buah-tembikai-sering-dijadikan-pencuci-mulut-buah-tembikai-kaya-dengan-nutrien-s/734854408676565/. Diakses pada 30 Ogos 2024.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *