Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah perkara yang boleh dan tidak boleh dalam berdoa kepada orang bukan Islam?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah al-Ghafir:60)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Riwayat Abu Dawud (1439),Tarmizi(2969) dan Ibn Majah (3828)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa syarak tidak  menghalang seseorang itu untuk berlaku baik kepada mereka yang  bukan islam termasuklah mendoakan kebaikan dan hidayah kepada mereka selagi mana mereka tidak memerangi islam.  Allah SWT berfirman:

 لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 8/135)

Diriwayatkan daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, katanya:

كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksudnya: “Dahulu orang-orang Yahudi bersin berhampiran Nabi SAW dengan harapan Nabi SAW berdoa kepada mereka: “يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ” (Semoga Allah merahmati kamu). Namun doa yang diucapkan Nabi SAW ialah: “يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ” (Semoga Allah memberi hidayah/petunjuk kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu).”

Riwayat Ahmad (15986), al-Tirmizi (2739), al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (940) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (8908).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Adapun dari sudut syarak, maka hadis Abi Musa menunjukkan bahawa mereka termasuk dalam mutlaq perintah untuk menjawab bagi orang bersin. Tetapi bagi mereka (orang bukan Islam), dikhususkan doa untuk mereka hidayah dan baik keadaan mereka. Maka keadaan itu tidaklah ditegah. Berlainan dengan menjawab bersin orang Islam. Ini kerana mereka berhak mendapat doa dan rahmat. (Lihat Fath al-Bari, 10/604)

Adapun, mendoakan kemampuan, rahmat, atau apa-apa perkara yang memberi manfaat kepada kehidupan duniawi mereka yang memerangi Islam adalah tidak dibolehkan. Hal ini juga sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi: Adapun solat ke atas orang kafir dan mendoakannya dengan keampunan, maka hukumnya adalah haram berdasarkan nas al-Quran dan ijmak. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/144)

Syeikh al-Mubarakfuri: “Dan janganlah seseorang dari kalangan orang Islam berkata kepada mereka ‘يَرْحَمْكُمُ الله’. Ini kerana rahmah dikhususkan kepada orang yang beriman. Tetapi hendaklah dia berdoa untuk mereka dengan apa yang membawa kebaikan seperti hidayah, taufik dan iman.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/10)

Justeru, kami nyatakan bahawa antara perkara yang diharuskan oleh syarak adalah mendoakan kebaikan dan hidayah kepada mereka yang bukan Islam, selagi mana mereka tidak memusuhi Islam. Walau bagaimanapun, jika mereka termasuk dalam golongan yang menentang Islam, maka syarak melarang daripada mendoakan kebaikan atau sebarang manfaat kepada mereka, sama ada yang berkaitan dengan duniawi atau ukhrawi. Inilah prinsip yang digariskan oleh syarak dalam hal berdoa kepada mereka yang bukan Islam, yang berlandaskan kepada keseimbangan antara prinsip rahmat dan keadilan dalam Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Leave a Reply