Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Sekiranya terlelap sementara tetapi papan punggung tidak pada bumi adakah batal wudhu’ seseorang itu ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Terdapatnya perbezaan di kalangan fuqaha’ berkenaan status wuduk mereka yang tidur, sama ada masih sah atau sudah terbatal. Ia berbeza mengikut keadaan tidur seseorang itu.
Pandangan Pertama: Pandangan Mazhab Syafi‘i dan Mazhab Hanafi, tidur secara duduk dan tetap papan punggung di lantai tidak membatalkan wudhuk.
Pandangan Kedua: Pandangan Mazhab Maliki dan Mazhab Hanbali, tidur yang sebentar dan ringan tidak membatalkan wudhuk.
Kedua-dua pandangan ini telah kami bincangkan sebelum ini di dalam artikel kami yang bertajuk “Status wudhuk Apabila Tidur”. Saudara yang bertanya boleh merujuk artikel tersebut untuk mendapatkan perbahasan lanjut berkenaan status wudhuk orang yang tertidur menurut 4 mazhab dengan lebih terperinci.
Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah menyebutkan tidur sebagai salah satu perkara yang membatalkan wuduk kerana ia dikategorikan sebagai mereka yang hilang akal warasnya. Mereka beristidlal dengan hadith ‘Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْعَيْنَانِ وِكَاءُ السَّهِ، فَمَنْ نَامَ فَلْيَتَوَضَّأْ
Maksudnya: “Kedua-dua mata itu ibarat tali pengikat kepada dubur, barang siapa yang tidur (telah tertutup kedua matanya) maka berwudHuk lah.”
Riwayat Abu Dawud (203), Ibn Majah (477) dan Ahmad (887)
Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Safwan bin Assal R.A, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا سَفَرًا أَنْ لا نَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلا مِنْ جَنَابَةٍ، وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah memerintahkan kami apabila bermusafir agar kami tidak menanggalkan khuf kami (tak perlu berwuduk) selama 3 hari 3 malam kecuali bagi mereka yang berjunub, akan tetapi (memerintahkan kami untuk tanggalkan khuf dan berwuduk) jika berak, kencing dan tidur.”
Riwayat al-Tirmizi (96)
Kemudian, fuqaha’ al-Syafi‘iyyah menyebutkan pengecualian bagi mereka yang tidur secara duduk dalam keadaan papan punggung tetap di tempat duduknya, sama ada di atas lantai atau di atas tunggangannya, meskipun dalam keadaan duduk memeluk kakinya. Hal ini kerana tidur dalam keadaan duduk dan papan punggung tetap di tempat duduk ini selamat dari terkeluarnya sesuatu dari dubur. Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba‘asyan menjelaskan, duduk dalam keadaan papan punggung tetap itu adalah dengan tidak terdapatnya jarak antara papan punggung dan tempat duduknya. (Lihat Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 95)
Imam al-Nawawi mengatakan, jika seseorang itu tidur dalam keadaan duduk di atas lantai dan bersandar pada dinding atau selainnya, wudhuknya tidak terbatal, meskipun jika dinding yang disandar padanya itu dialihkan dia boleh terjatuh. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/74) Dalam erti kata lain, meskipun orang tersebut tidur lena dengan bersandar pada dinding, tetapi papan punggungnya tetap di lantai, wudhuknya tidak terbatal.
Imam al-Nawawi juga menyebutkan di dalam al-Majmu‘, tidak ada perbezaan tidur orang yang duduk (tidak terbatal wuduk), sama ada dia duduk bersila, duduk secara muftarisy ( seperti duduk antara 2 sujud), duduk tawarruq (seperti duduk tahiyyat akhir), atau selainnya, selagimana punggungnya melekat pada lantai atau selainnya dengan duduk yang tetap. Dan begitu juga sama ada orang itu duduk di atas lantai, atau menaiki kapal, atau unta, atau binatang lain, tidak membatalkan wuduk dengan salah satu daripada itu. Ini telah dinyatakan oleh Imam al-Syafi‘i di dalam kitab al-Umm dan dipersetujui oleh ashab beliau. (Lihat al-Majmu‘, 2/19)
Imam Abu al-Husain Yahya al-‘Imrani mengatakan, sekiranya seseorang tidur dalam keadaan duduk, kemudian hilang keadaannya (terlentok sehingga terangkat punggung), perlu diperhatikan terlebih dahulu:
- Jika kedua papan punggung atau salah satu daripadanya terangkat sebelum dia tersedar, maka wuduknya terbatal.
- Jika dia tersedar bahawa papan punggunnya sedang terangkat (yakni ketika terangkat itu, dia dalam keadaan sedar dan bukan tertidur), maka wuduknya tidak akan terbatal.
- Jika dia tertidur lena, kemudian apabila terjaga dia ragu-ragu sama ada dia tidur dalam keadaan duduk yang tetap atau hilang keadaan duduknya (terlentok sehingga terangkat punggung), maka wuduknya tidak terbatal. Ini berdasarkan dhabit asas:
الأَصْلُ بَقَاءُ الطَّهَارَةِ مَا لَمْ يَتَيَقَّنْ مِنَ الْحَدَثِ
Maksudnya: ‘Hukum asal adalah kekal dalam keadaan bersuci selagimana tidak meyakini bahawa telah berhadas.’ (Lihat al-Bayan, 1/178)
Syeikh Hasan al-Kaf pula ada menyebutkan beberapa syarat yang memungkin wuduk seseorang itu kekal dan tidak terbatal ketika tidur dalam keadaan duduk:
- Kedudukan tidur duduk yang tetap kedua punggungnya di atas permukaan lantai sekira-kira tidak ada potensi keluarnya angin.
- Mestilah mempunyai bentuk badan yang ideal iaitu tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk.
- Bangun daripada tidur dalam posisi yang sama.
- Tidak ada orang yang maksum memberitahunya bahawa dia kentut ketika tidur menurut Imam al-Ramli. Manakala menurut Imam Ibn Hajar, cukup orang yang adil memberitahunya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 101)
Sahib al-Fadhilah Syeikh Nuh ‘Ali Salman mengatakan di dalam fatwa beliau: “Duduk yang tetap itu adalah melekatkan dua papan punggung di tempat dia duduk.”
Antara hujjah mereka, sebuah hadith yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَامَ جَالِسًا فَلاَ وُضُوْءُ عَلَيْهِ، وَمَنْ وَضَعَ جَنْبِهِ فَعَلَيْهِ الْوُضُوْءُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidur sambil duduk, maka dia tidak perlu berwuduk dan sesiapa yang tidur mengiring, maka dia perlu berwuduk.”
Riwayat al-Dhiya’ al-Maqdisi di dalam al-Sunan wa al-Ahkam (1/150), al-Nawawi di dalam al-Majmu‘ (2/13) dan al-Mughlatai di dalam Syarh Ibn Majah (1/431)
Sebahagian pihak mungkin terkeliru kerana terdapatnya hadith yang menceritakan bahawa sahabat tidur sehingga kepala terlentok, tetapi masih meneruskan solat tanpa memperbaharui wuduk mereka. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ يَنْتَظِرُونَ الْعِشَاءَ الآخِرَةَ حَتَّى تَخْفِقَ رُءُوسُهُمْ، ثُمَّ يُصَلُّونَ وَلا يَتَوَضَّئُونَ
Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah SAW sedang menunggu untuk solat Isya’ sehingga lentok kepala mereka, kemudian mereka bangun untuk menunaikan solat dan tidak berwuduk kembali.”
Riwayat Abu Dawud (200)
Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah mengulas tentang hadith di atas bahawa terdapatnya kebarangkalian para sahabat ketika itu tidur dalam keadaan papan punggung tetap di tempat duduk. Hal ini menjelaskan bahawa, bagaimana sekalipun seseorang itu tertidur, selagimana papan punggungnya tetap di tempat duduk, maka wudhuknya tidak terbatal.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seseorang yang terlelap atau tertidur dalam keadaan berwudhuk namun papan punggungnya tidak tetap pada tempat duduk, dikira batal wudhuknya.
Sekiranya hanya satu bahagian sahaja yang tetap di atas tempat duduk ketika tertidur, maka wuduk seseorang itu dikira terbatal menurut Mazhab Syafi‘i.
Antara sebab utama ulama’ terdahulu meletakkan syarat supaya punggung tetap di lantai, agar dapat diketahui sekiranya angin terkeluar daripada dubur. Adapun tidur dalam keadaan papan punggung tidak tetap di lantai, berkemungkinan angin keluar dalam keadaan punggungnya sedang terangkat sedikit, mengakibatkan dia tidak tahu akan keluarnya angin dari dubur.
Semoga pencerahan ringkas ini dapat membantu kita untuk belajar memelihara wuduk kita pada sepanjang masa. Kami akhiri dengan doa:
اللهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
Wallahu a‘lam